Friday, December 27, 2024

Cendol Jam Besar, Melaka

Tengah hari tadi pergi solat Jumaat di Masjid Kg. Keling. Tak jauh dari tempat kerja aku. Jalan kaki sendirian sahaja dengan melalui di celah-celah bangunan berdekatan Jonker Street. Hari ni tak balik rumah bersolat di dalam kariah.

Dalam perjalanan balik dari solat Jumaat, terserempak dengan seorang kakitangan aku. Kami berjalan seiringan sambil aku mempelawanya pekena Cendol Jam Besar. Dia bersetuju, jadi kami pun ke gerai tersebut. 

Sampai saja, ramai yang sudah beratur untuk memesan cendol atau ABC. Meja pun penuh. Aku minta dia standby untuk memerhati sekiranya terdapat meja kosong sambil aku beratur untuk memesan cendol. Konsepnya beratur, pesan, bayar dan duduk. Ala, layan dirilah tu. 

Aku order 2 mangkuk cendol campur yang berharga RM5.00 semangkuk. Dalam mangkuk tu, macam biasa ada santan dan cendol dicampur dengan kacang merah, jagung, cincau dan agar-agar.


Sedap? Ya sedap. Mana-mana kedai aku pergi jarang jumpa cendol tak sedap. Bagi aku, makan cendol ni biasa je. Takde jumpa lagi cendol yang amat sedap. Rasa semuanya hampir sama je.

Kalau berkunjung ke Bandar Hilir, Melaka jangan lupa singgah untuk menikmati Cendol Jam Besar. Dekat dengan Rumah Merah (Stadthuys). Seberang jalan pejabat/muzium aku je. 

Terima Hadiah Kalendar 2025 dari Blogger Linda

Tiada apa sangat yang hendak dikatakan. Cuma post ini adalah penghargaan kepada blogger Linda yang telah mengirimkan sebuah kalendar 2025 yang amat menarik untuk aku yang dipilih sebagai salah seorang pemenang bertuah sempena Giveaway 13th Anniversary yang telah beliau anjurkan baru-baru ini.


Kalendar yang cantik dan menarik ini mempunyai 15 keping gambar aku. Jadi ia amat bermakna bagi aku. Lepas penghujung 2025 nanti, masih boleh disimpan untuk kenang-kenangan. 

Terima kasih kepada blogger Linda yang mengirimkan kalendar ini. Reka bentuknya menarik. Mungkin juga blogger Linda ni seorang pereka atau seseorang yang minat mereka bentuk.

Sekali lagi, terima kasih diucapkan. Aku amat menghargainya. 

Wednesday, December 25, 2024

Sampai Bila Nak Jadi Pengacara Majlis?

Semalam, aku sekali lagi diarahkan menjadi pengacara majlis, kali ini untuk Pameran Retrospektif Citra Budaya dan Warisan Melaka dalam Seni Miniatur. Pameran ini dirasmikan oleh YB. Timbalan EXCO kerajaan negeri Melaka bagi portfolio pelancongan.

Nasib baik jurukamera ambil gambar, ada juga kenangan

Sejujurnya, tugasan ini bukanlah sesuatu yang aku gemar. Kalau boleh, aku nak elak. Tapi setiap kali nama aku naik, alasan yang sama muncul, tiada orang lain yang mahu. Jadi, nak tak nak, aku kena buat juga.

Majlis berjalan lancar. Bermula dengan ucapan alu-aluan, disusuli ucapan YB. Timbalan EXCO, dan akhirnya gimik perasmian yang cukup santai, sederhana tapi bermakna. Selepas itu, tetamu dibawa melawat pameran yang mempamerkan seni miniatur budaya dan warisan Melaka.

Walaupun aku dah biasa dengan tugas ini, rasa risau tetap ada. Bimbang tersasul atau tersalah sebut, terutamanya bila melibatkan nama-nama besar. Tapi bila tengok majlis berjalan lancar dan tetamu gembira, lega rasanya.

Namun, aku tetap berharap suatu hari nanti ada orang lain yang lebih rela dan berminat menggantikan aku sebagai pengacara. Tugas ini bukanlah kegemaran aku, tapi setakat ini, aku buat saja demi memastikan majlis berjalan seperti yang dirancang.