Tuesday, October 8, 2024

Rumah Merah @ Stadthuys

Rumah Merah atau kini lebih dikenali sebagai Stadthuys merupakan kediaman dan pejabat Gabenor Belanda. Tarikh pembinaan dan arkitek yang membina bangunan ini tidak dicatatkan, namun dipercayai ia dibina pada sekitar tahun 1641 hingga 1656 (rujuk peta J. Nessel). Bangunan ini berkeluasan 49,200 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat mengikut teres Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Warna asal bangunan ini ialah putih namun telah dicat dengan warna merah sekitar tahun 1910-an.


Merujuk kepada sumber zaman Belanda di Melaka, bangunan ini dikenali dengan beberapa nama seperti Gouverneurs Huÿs (1656: J. Nessel), Secretarÿ ende Gouverneurs Wooningk dan Beste pakhuÿsen seerschon en accomodabel (1663: anonymous), Gouverneurs Huys (1670: M. Cramer), Governor House (1678: B. Bort), Maison du Gouverneur (1698: F. Froger), Wohnung des Gouverneurs, Wohnung den Zweyten, Negotien Comtoir dan Negote Pack Häusser (1744: J.W. Heydt), Government, Secretarye en Negotie Comptoir, negotie Packhuys en swmiswinkel (1792: Reimer), Maison du Gouverneur (1750: N. Bellin), Government House (1795: W. C. Lennon), Government House (1807: E. H. Locker) dan Woning des Gouverneurs (1821: Stavenisse de Bruin).

Pelan lama zaman Belanda yang menunjukan Stadthuys sebagai Wohnung des Gouverneurs

Sekitar tahun 1825, pihak British meneruskan fungsi bangunan ini sebagai pejabat kerajaan. Pada ketika itu bangunan ini dikenali sebagai Stadt House (1834: (P. J. Begbie), (1865: J. Cameron), (1907: F. Swettenham) dan (1908: A. Wright), Stadthouse (1839: T. J. Newbold), (1847: J. B. Jukes) dan (1894: N. B. Dennys), Stadhouse (1847: C. Dyce) dan Stadthaus (1879: I. L. Bird) dan 1914 (FMSR Pamphlet of Information for Travellers). Tidak dapat dipastikan mengapa British menggunakan perkataan Stadt kerana ia merupakan perkataan Jerman, manakala perkataan Huys mungkin diadaptasi daripada perkataan Belanda. Seterusnya sehingga kini terus dikenali sebagai Stadthuys.

Setelah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, bangunan ini terus digunakan sebagai pejabat Ketua Menteri Melaka dan pejabat-pejabat kerajaan sehingga tahun 1979. Masyarakat tempatan Melaka mengenalinya sebagai Pejabat Kerajaan, Bangunan Merah atau Rumah Merah.

Artikel ini dibuat bagi penambahbaikan artikel yang INI.

Monday, October 7, 2024

Tak Ada Idea



Ada masanya, aku rasa macam duduk depan laptop ni buat berat je, sebab tak tahu nak tulis apa. Jari kat keyboard, tapi otak kosong. Kadang rasa macam dah fikir banyak benda, tapi tak ada satu pun yang rasa betul-betul untuk dijadikan post. Macam hari ni, langsung blur, tak tahu nak mula kat mana.

Biasa kalau jadi macam ni, aku akan cuba buat benda lain dulu. Kadang-kadang membaca artikel di JSTOR, layan Facebook atau baca sikit-sikit blog orang lain. Tapi, tak semua hari ilham akan datang lepas buat semua tu. Hari ni, walaupun dah buat semua tu, aku tetap tak jumpa idea. Hmm, memang hari malas agaknya.

Tapi aku terima je lah, bukan setiap hari kita boleh dapat idea fresh. Ada hari yang memang otak nak off sekejap, bagi rehat. Jadi aku pun tulis je apa yang aku rasa sekarang ni, tak ada idea. Siapa tahu, mungkin nanti bila aku tak terlalu fikir sangat, idea tu datang dengan sendiri.

Tuesday, September 17, 2024

Kepentingan Pencahayaan Dalam Pameran di Muzium



Pencahayaan memainkan peranan penting dalam pameran muzium untuk menonjolkan artifak atau bahan pameran. Pencahayaan yang tepat membantu menonjolkan butiran seperti tekstur, warna dan bentuk pada objek yang dipamerkan, menjadikannya lebih mudah diteliti. Selain itu, pencahayaan juga digunakan untuk mencipta suasana yang sesuai dengan tema pameran, seperti suasana tenang atau dramatik, bergantung pada jenis pameran yang dipersembahkan.

Selain itu, pencahayaan turut berfungsi melindungi artifak sensitif daripada kerosakan yang disebabkan oleh pendedahan kepada cahaya yang berlebihan. Dengan kawalan pencahayaan yang baik, pameran dapat melindungi objek berharga seperti kain, kertas dan lukisan daripada pudar atau rosak. Pada masa yang sama, pencahayaan juga boleh berfungsi sebagai panduan visual, menarik perhatian pengunjung kepada objek utama.