Friday, April 30, 2021

JALAN YANG LURUS DAN BENAR

Malam tidak sunyi

sayup-sayup kedengaran

bunyi-bunyian alam saling bertingkah

menghasilkan irama mendayu syahdu

pepohon hijau tak melambai

tegak berdiri kaku

tiada angin

embun mulai menitik

lantas kedinginan menyelubungi malam gelap pekat yang hanya ditemani lampu neon yang samar.


Menyendiri belajar mensyukuri

meneliti dan menaakul

alam ciptaan Allah yang Maha Agong

agar tidak menyimpang

dari landasan yang lurus lagi benar.


Fairus bin Haji Mamat

26-11-2020

Thursday, April 29, 2021

SALAM NUZUL AL-QURAN 1442 HIJRAH


Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan nabi Muhammad S.A.W ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira’.

Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah S.A.W beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s selama 23 tahun, iaitu 13 tahun diturunkan di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada Surah Al-Alaq.

Perkataan "Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan salam Nuzul al-Quran buat semua muslimin dan muslimat seantero dunia. Semoga kita semua tergolong dalam insan-insan yang membaca dan memahami isi kandungan al-Quran.