Saturday, December 17, 2011

BENARLAH ORANG YANG TAMAK SELALU RUGI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tamak adalah suatu sifat yang tidak baik. Orang yang bersifat tamak biasanya akan menerima kerugian pada waktu terdekat mahupun pada suatu masa yang mendatang. Dalam Bahasa Melayu terdapat peribahasa-peribahasa yang mengambarkan sifat tamat yang selalunya merugikan manusia. Antara peribahasa yang terkenal iaitu "Orang Tamak Selalu Rugi, Bagai Anjing Dan Bayang-Bayang" dan satu lagi iaitu "Yang Dikejar Tidak Dapat Dan Yang Dikendong Berciciran".


Kedua-dua peribahasa ini menunjukan seorang individu itu telah menerima sesuatu di dalam genggamannya, namun akibat sifat tamaknya untuk mendapatkan sesuatu lagi di luar genggamannya, maka apa yang telah amat yakin diperolehinya terlepas begitu sahaja. Namun dia mungkin akan bernasib baik sekiranya apa yang dikejarnya itu dapat, kalau tidak dapat? Jadinya semuanya terlepas, baik dari apa yang dia perolehi dan apa yang dikejarnya.

Sebagai contoh; Si A telah ditawarkan untuk bekerja di sebuah syarikat B yang besar dan akan mula melaporkan diri pada masa satu minggu lagi. Namun dalam masa yang sama, Si A telah tertarik dengan satu lagi syarikat C yang lebih besar yang sedang menawarkan kerja. Dengan kegopohannya dan sifat terlalu yakin bahawa dia dapat bekerja di syarikat C, maka dengan senangnya dia melepaskan untuk melaporkan diri di syarikat B dan mula pergi ke syarikat C untuk mencari kerja. Namun, hendak dijadikan cerita syarikat C tiba-tiba bankrap dan tidak lagi mengambil pekerja. Akhirnya si A telah terlepas kedua-dua tawaran pekerjaaan walhal syarikat B telah amat yakin akan mengambil dia bekerja.

Entri ini membawa kita supaya berfikir supaya janganlah sesekali mempunyai sifat tamak. Tamat tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sifat tamak biasanya diekori dengan perasaan ego. Jadi, sama-samalah kita hindari sifat ini.


Lihat juga :


Monday, December 12, 2011

DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kesesakan lalu lintas. Ianya boleh berlaku secara berterusan dan ada juga berlaku secara berkala. Di Kuala Lumpur misalnya, memang pada jalan-jalan tertentu pasti akan sesak tak kira masa. Ada juga sesak pada masa-masa tertentu sahaja.

Namun begitu, di Melaka lain pula ceritanya. Kesesakan berlaku terutama di Bandar Hilir akan terjadi pada waktu hujung minggu sahaja. Tetapi, ia akan menjadi kesesakan berganda apabila tiba musim cuti sekolah. Saya yang bekerja di tengah-tengah Bandar Hilir ini amat merasainya kerana memang terpaksa. Keluar dari parkir saja akan ketemu kesesakan. Iyalah, pejabat saya di kawasan Stadhuys (rumah merah), mana mahu lari lagi.

Dalam menghadapi situasi ini, untuk mengelakkan ditimpa kesesakkan yang berpanjangan, terpaksalah menggunakan jalan yang agak jauh untuk ke suatu destinasi bagi menggelakkan kesesakkan. Dengan menggunakan jalan yang jauh ini, kenderaan pun bergerak dengan laju tanpa ada kesesakkan.

Lain pula sekiranya kita hendak melalui juga jalan yang dekat. Maka terpaksalah kita bergerak secara perlahan kerana terpaksa menghadapi kesesakkan lalulintas.

Dari sinilah saya perolehi satu frasa yang saya gubah iaitu DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU bagi mengambarkan kesesakkan lalu lintas yang terdapat di Bandar Hilir.

Sebenarnya, kesesakan ini memang sukar dielakkan kerana terlalu banyak kenderaan yang memasuki Bandar Hilir. Namun begitu, ianya boleh dielakkan sedikit sekiranya pengguna mengetahui adanya jalan lain ke Bandar Hilir selain menggunakan jalan di kawasan Stadhuys. Mereka boleh memasuki dari Tengkera menghala Melaka Raya dan juga dari Bukit Katil - Duyong - Melaka Raya. Rasanya kalau masing-masing tidak tertumpu menggunakan satu jalan, nescaya kesesakkan dapat dikurangkan.

Ada kalanya pihak polis trafik akan berjaga-jaga di Jalan Bendahara dan mengalihkan haluan kenderaan ke arah Bukit Cina untuk mengelakkan kesesakkan yang tebih teruk. Bagi mereka yang kurang faham, ikuti saja arahan polis trafik tersebut kerana memang ada jalan yang lain untuk menghala ke tempat ditujui.

Sekarang pula, telah ada beberapa lokasi yang menempatkan papan tanda JALAN ALTERNATIF KE PUSAT BANDAR atau JALAN ALTERNATIF KE BANDAR HILIR. Arahan ini juga boleh dituruti kerana ianya akan menghala ke bandar Hilir.

Saya sebagai warga Melaka mengharapkan siapa yang membaca entri ini mendapat sedikit panduan. Jom melawat ke Melaka... ;)

Sunday, December 11, 2011

MELAKA INTERNATIONAL 12 HOUR WALK 2011





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 10 - 11 Disember 2011 telah diadakan Melaka International 12 Hour Walk 2011 atau dalam bahasa Malaysianya Lumba Jalan Kaki 12 Jam Peringkat Antarabangsa, Melaka 2011. Acara ini diadakan di Bandar Hilir Melaka yang melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.

Acara ini telah dimulakan pada pukul 8.00 malam (10 Disember) dan berakhir pada pukul 8.00 pagi (11 Disember). Saya yang kebetulan melalui jalan tersebut telah berpeluang menyaksikan acara ini.

Perlumbaan ini sebenarnya telah diadakan buat kali kedua di negeri Melaka di mana pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2010 merupakan tahun pertama acara ini diadakan. Pada tahun ini dilihat sambutannya amat menggalakan dan penyertaannya berkali ganda banyaknya dari tahun sebelumnya.

Saya yang berkesempatan mengambil beberapa gambar untuk simpanan peribadi telah disapa oleh 2 orang peserta yang menginginkan gambar tersebut dengan menanyakan sama ada saya akan meletakkan gambar tersebut di Facebook. Namun saya menjawab ianya hanyalah untuk simpanan peribadi. (sekiranya mereka tahu menggunakan internet, pasti akan terjumpa gambar ini melalui carian ke atas nama acara ini)

Di bawah ini disertakan beberapa gambar acara tersebut :