Showing posts with label durian kampung. Show all posts
Showing posts with label durian kampung. Show all posts

Saturday, June 19, 2021

MUSIM DURIAN KITA MAKAN DURIAN

Saya tidak habis belajar lagi bilakah musim durian bermula. Setahu saya, apabila telah ada peniaga menjual durian di tepi jalan, maka waktu itulah bermulanya musim durian. Musim yang dinanti-nantikan oleh peminat durian seluruh negara.

Anak buah beri durian dari kebunnya di Muar


Harga durian mahal? Ya, memang mahal harga durian sekarang. Durian kampung paling koman pun sudah RM10.00 sekilogram termasuk percuma kulit durian. Nak baik sedikit, beli durian kahwin, tak tahulah dia kahwin dengan siapa, harga pasaran kira-kira RM15.00 sekilogram pun dapat percuma kulit durian dan bijinya sekali.

Tapi sekarang, sudah banyak peniaga menjual buah durian yang telah dibuka kulitnya dan diletakkan di dalam bekas. Jual macam ni dikira bagus juga. Kita sudah tentu nampak isinya baik atau sebaliknya. Kalau yang ini tidak baik juga, mungkin ada masalah kita semasa memilih kerana tidak betul-betul perhatikan isi durian yang baik.

Murah ke, mahal ke durian, tetap ada yang membelinya. Peniaga berani meletakkan harga yang tinggi sebab ada yang sanggup membelinya. Itu belum lagi durian-durian dari benih yang baik seperti Musang King, 101, D24 dan sebagainya, lagi cekik darah harganya. Tapi, masih lagi orang membelinya. Kalau mampu beli, tak mampu, kita tengok sajalah. 

Saya sendiri tak pernah merasa durian kayangan ni. Macam manalah rasanya durian Musang King tu, sehingga harganya boleh membuatkan menggeletar nak keluar duit dalam dompet. 😅

Namun, dalam diam tak diam, musim durian kali ini puas jugalah makan durian. Hari tu sudah membeli 2 kali, orang beri sekali dan makan di rumah mak sekali. Dengar-dengar hari ni ada pesta durian lagi di rumah mak saya. Pulun lagilah jawabnya. 😀😀😀