Showing posts with label Istana Melaka. Show all posts
Showing posts with label Istana Melaka. Show all posts

Wednesday, May 24, 2023

Peranan Tun Kudu di Zaman Kesultanan Melayu Melaka

Dalam sejarah dunia terdapat beberapa orang wanita yang memainkan peranan penting dalam negaranya seperti Hua Mulan (China), Ratu Elizabeth I (England), Kleopatra (Mesir), Catherine Yang Termasyur (Rusia) dan lain-lain lagi. Namun, sejarah dalam negara kita juga tidak kurang hebatnya apabila turut mempunyai wanita-wanita yang memainkan peranan penting khususnya di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara wanita-wanita tersebut seperti Tun Fatimah, Tun Teja, Hang Li Po, Raden Galuh Cendera Kirana dan tidak ketinggalan Tun Kudu.



Tun Kudu merupakan anak kepada Bendahara Seri Wak Raja dan adik kepada Tun Perak. Beliau merupakan permaisuri kepada Sultan Muzaffar Syah iaitu Sultan yang memerintah Melaka pada tahun 1446 hingga 1459. Tun Kudu adalah seorang wanita mempunyai rupa paras yang baik.

Peranan Tun Kudu dianggap penting di zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana telah menyelesaikan masalah politik antara sesama pembesar Melaka iaitu Tun Ali dan Tun Perak. Tun Ali merupakan bapa saudara kepada Sultan Muzaffar Syah. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan Sultan Muzaffar Syah ke atas takhta kerajaan Melaka. Selepas kemangkatan Bendahara Seri Wak Raja, Tun Ali dijadikan sebagai Bendahara dengan gelaran Seri Nara Diraja. Namun, pelantikan ini menyebabkan berlakunya krisis politik antara Bendahara Seri Nara Diraja dan Tun Perak dengan kedua-dua pembesar ini bersama pengikut-pengikutnya tidak dapat bermuafakat.

Oleh hal demikian, Sultan Muzaffar Syah telah mencari jalan bagi mendamaikan kedua-dua pembesar. Baginda sultan telah mencadangkan agar Bendahara Seri Nara Diraja bersara dan dibenarkan memperisterikan dengan seorang gundik sultan. Bendahara Seri Nara Diraja bersetuju untuk bersara dengan namun dengan syarat Tun Kudu dijadikan sebagai isterinya.

Baginda sultan bersetuju lalu menceraikan Tun Kudu dan menyerahkannya kepada Bendahara Seri Nara Diraja untuk dijadikan sebagai isteri. Kemudian, Tun Perak pula dilantik sebagai Bendahara Melaka dengan gelaran Paduka Raja. Hal ini telah berjaya mengatasi krisis politik di Melaka. Bendahara Paduka Raja Tun Perak seterusnya menjadi seorang Bendahara yang cemerlang dengan berkhidmat bersama empat orang sultan bermula di zaman Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan di awal zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

Kisah ini menggambarkan pengorbanan Tun Kudu yang rela diceraikan oleh Sultan Muzaffar Syah dan kemudiannya bersuamikan Tun Ali iaitu seorang tua. Turut digambarkan bahawa Tun Kudu sanggup bercerai demi untuk menaikkan abangnya Tun Perak sebagai Bendahara Melaka. Pengorbanan Tun Kudu dilihat adalah semata-mata demi mengembalikan kestabilan politik di Melaka.