Thursday, May 1, 2025

Selamat Hari Pekerja 2025: Pekerja Kesuma Bangsa

Selamat menyambut Hari Pekerja 2025 kepada seluruh warga kerja tanah air yang menjadi nadi dan tulang belakang kemajuan negara. Pada hari yang penuh makna ini, marilah kita sama-sama mengangkat penghargaan setinggi-tingginya kepada setiap insan yang gigih berbakti dalam pelbagai bidang, dari sawah ke kilang, dari pejabat ke lautan dan anda semua adalah wira negara yang sebenar. Tema tahun ini, “Pekerja Kesuma Bangsa”, mengangkat martabat pekerja sebagai insan mulia yang menyemai harapan, menyulam kejayaan dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang.


Pekerja bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi mencurahkan tenaga, masa dan jiwa demi kelangsungan hidup masyarakat dan kemajuan negara. Kecekalan, kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh para pekerja menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial. Dalam menghadapi cabaran zaman seperti kemajuan teknologi, perubahan iklim dan ketidaktentuan global, pekerja tetap teguh berdiri, cekal mengadaptasi dan terus menyumbang demi negara tercinta. Inilah semangat sebenar "kesuma bangsa", indah dari segi budi, gagah dari segi jasa.

Marilah kita memperkukuh solidariti, meningkatkan kecekapan dan menuntut hak secara bijaksana demi kesejahteraan bersama. Semoga Hari Pekerja ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan, tetapi juga pemangkin kepada pembaharuan yang lebih adil dan progresif dalam dunia pekerjaan. 

Selamat Hari Pekerja 2025, semoga terus melangkah dengan gagah, demi Malaysia yang lebih maju, adil dan berperikemanusiaan. 

Tuesday, April 29, 2025

Servis Honda PCX 150

Hari ini aku sempat hantar motor Honda PCX aku untuk servis dekat sebuah kedai Cina berdekatan rumah. Aku pergi servis lepas balik dari kerja, sebab kebetulan ada masa dan kedai tu pun tak jauh.

Dah agak lama juga aku tak servis di pusat servis Honda sebab lokasi dia agak jauh dari rumah aku. Kedai ni pula dekat sangat, jadi senang aku nak uruskan. Lagipun, servis di sini pun boleh tahan cepat dan apek ni pun mesra pelanggan.


Untuk servis kali ini, aku cuma tukar minyak hitam dan minyak gear. Sebenarnya aku nak tukar sekali penapis minyak, tapi sayangnya tak ada stok pula hari ni. Tak mengapa, nanti aku datang semula bila barang tu dah ada. Walaupun tak lengkap semua yang dirancang, tapi dua benda penting tu dah selesai ditukar.

Jumlah keseluruhan yang aku bayar pun agak berpatutan, RM66.00 sahaja. RM43 untuk minyak hitam, RM15 untuk minyak gear dan RM8 sebagai upah kerja. Alhamdulillah, motor pun rasa lebih ringan bila bawa. Servis macam ni memang penting untuk jaga prestasi motor dan elakkan kerosakan yang lebih serius. 

Sunday, April 27, 2025

Cara Terbaik Untuk Bakar Lemang Dengan Sempurna

Semalam, aku ikut serta dalam aktiviti membakar lemang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di taman perumahan aku. Awal pagi lagi kami dah berkumpul di untuk buat persiapan.


Aku ditugaskan jaga lemang. Dalam gambar ni, aku tengah susun buluh lemang supaya masaknya sekata dengan bara api. Nak bakar lemang ni memang kena sabar, api tak boleh terlalu besar atau kecil. Kalau tak jaga, lemang boleh hangit atau tak masak. Walaupun berpeluh dan panas, rasa seronok sebab buat sama-sama dengan penduduk taman.

Lemang yang dibakar perlu sentiasa dipusingkan setiap sepuluh hingga lima belas minit supaya masaknya sekata dan tidak hangit di sebelah satu lagi. Buluh yang digunakan mesti diletakkan pada jarak yang sesuai daripada bara supaya kulit buluh tidak cepat terbakar. 

Selain itu, daun pisang digunakan untuk melapik bahagian dalam buluh bagi mengelakkan pulut melekat dan memudahkan proses mengeluarkan lemang apabila sudah masak. Santan pula mesti dipilih yang segar dan pekat supaya menghasilkan rasa lemang yang lebih lemak dan wangi.

Malamnya, kami adakan jamuan Hari Raya. Macam-macam makanan ada nasi beriani, ketupat, rendang, lemang yang kami bakar tengah hari tadi membawa ke petang dan kuih-muih raya. Ramai juga yang datang, meriah suasana.

Lepas makan, terus sambung dengan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk. Salah satu agenda malam tu ialah pemilihan jawatankuasa baharu. Sebenarnya, aku dah plan nak bersara dari jawatan setiausaha. Tapi bila undian dibuat, aku tetap dipilih semula. Berat juga nak terima, tapi bila fikir balik, demi membantu persatuan, aku terima juga amanah ni.

Harapnya tahun ni persatuan kami akan lebih aktif dan semua ahli terus beri sokongan. Semangat gotong-royong dan muafakat macam inilah yang buat taman perumahan kita hidup dan harmoni.