Tuesday, April 22, 2025

Cipta T-shirt Sendiri Guna Aplikasi AI

Ni baju untuk aku pakai

Kebelakangan ini, aku teruja bereksperimen dengan teknologi AI untuk menghasilkan rekaan t-shirt sendiri. Menggunakan aplikasi AI, aku dapat menghasilkan rekaan kreatif yang unik seperti yang aku bayangkan, contohnya gabungan nasi lemak dan teh tarik dengan slogan "Malaysian Style" seperti dalam gambar ini. Aku rasa seronok sebab AI banyak membantu mempercepatkan proses rekaan, tanpa perlu mahir dalam perisian grafik profesional.

Selepas siap rekaan, aku terus cetak baju ini melalui Shopee. Harga cetakan pun sangat berpatutan, jadi memang sesuai untuk koleksi harian. Kualiti baju pun memuaskan untuk harga yang ditawarkan. Aku pilih material yang selesa dipakai, jadi boleh pakai santai ke mana-mana. Cetakan pun nampak kemas dan warna terang seperti yang aku harapkan.

Ini sebenarnya kali kedua aku mencetak baju hasil rekaan sendiri menggunakan AI. Baju yang pertama hari tu, aku buatkan untuk anak sulung aku. Setiap kali dapat pegang dan pakai baju hasil kreativiti sendiri, memang rasa puas hati. Aku rasa selepas ini, mungkin aku akan terus buat koleksi untuk kegunaan sendiri, sebab harga cetakan di Shopee pun murah.

Baju ni aku design untuk anak sulung aku

Monday, April 21, 2025

Telur Rebus Separuh Masak Yang Sempurna

Pagi tadi aku buat telur rebus separuh masak yang dimasak sempurna. Sempurna sangatlah kan... Aku guna cara yang sangat mudah yang tular di media sosial. Mula-mula, aku didihkan air dalam periuk. Bila air dah betul-betul mendidih, aku terus tutup api dan masukkan telur. Aku biarkan telur terendam dalam air panas tu selama 4 minit.

Sempurna bukan? 😄

Bila cukup 4 minit, aku angkat telur dan kupas. Hasilnya memang menjadi. Putih telur masak elok, sedikit kental tapi tak keras. Bahagian kuning pula kekal cair macam yang selalu kita makan dekat kedai makan. Cara ni memang berkesan kalau nak telur separuh masak yang sekata tanpa pecah.

Untuk tambah rasa, aku campurkan kicap, serbuk lada hitam dan madu atas telur tu. Rasa manis, masin dan pedas bergaul sekali, memang sedap le. Kebelakangan ni suka pula madu, makan telur separuh masak letak madu, makan roti sapu madu, air kopi O pun taruk madu. 

Saturday, April 19, 2025

Pisang 40 Hari di Belakang Rumah Berbuah Lagi


Pokok pisang 40 hari yang aku tanam di belakang rumah berbuah lagi. Setiap kali nampak tandan baru keluar, rasa seronok. Sebenarnya aku pun dah tak ingat berapa kali pokok pisang belakang rumah ni berbuah. Sudah banyak kali sampai dah tak terkira.

     Baca juga :

Sekarang masih ada lebih kurang enam atau tujuh batang pokok lagi yang sedang membesar. Ada yang baru naik, ada yang dah mula nampak tanda-tanda nak berbuah. Walaupun ruang tak besar mana, tengok pokok-pokok ni membesar buat aku rasa puas. Tak perlu baja mahal, cukup jaga biasa-biasa saja, alhamdulillah pokok tetap subur.

     Baca juga :

Tanam pisang ni memang banyak kelebihannya. Selain dapat hasil sendiri, dapat juga berkongsi dengan jiran-jiran. Rasa puas bila tengok apa yang kita tanam sendiri membuahkan hasil. Harapnya pokok-pokok yang tengah membesar ni pun akan terus berbuah dengan sempurna.