Sunday, April 13, 2025

Busana Melayu Warnai Hujung Minggu di Muzium Melaka

Bermula hujung minggu ini, kakitangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang bertugas di bahagian hadapan telah mula mengenakan “uniform” baharu yang berkonsepkan busana tradisional Melayu. 



Pakaian ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasakan elemen warisan budaya dalam persekitaran muzium, di samping memberi wajah segar kepada kakitangan yang menjadi barisan hadapan menerima kedatangan pengunjung. 

Kakitangan lelaki mengenakan baju berkotak merah dengan samping dan tanjak, manakala wanita pula tampil anggun dengan baju kurung sedondon. 

Aku sendiri sempat menyertai sesi fotografi khas bersama rakan-rakan sekerja di Muzium Sejarah Melaka (Stadthuys) yang mengenakan busana baharu ini. Walaupun aku tidak memakai pakaian tema yang sama, aku tetap rasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan PERZIM yang komited dalam memartabatkan budaya.

Sesi ini bukan sekadar untuk merakam gambar sebagai dokumentasi, malah turut menjadi kenangan manis yang menggambarkan semangat kerja berpasukan dan penghargaan terhadap nilai-nilai tradisi yang masih kekal relevan.

Apa yang lebih menarik, semasa sesi fotografi dijalankan di kawasan muzium, beberapa pelancong yang kebetulan berada di sekitar turut teruja melihat penampilan kakitangan kami. Mereka tidak melepaskan peluang untuk turut serta bergambar bersama dan ada yang menyatakan rasa kagum terhadap usaha kami menampilkan identiti Melayu dalam suasana kerja.



Reaksi spontan para pelawat ini menunjukkan bahawa busana tradisional bukan sahaja menyerlahkan imej profesionalisme berteraskan budaya, tetapi juga mampu menjadi tarikan pelancongan yang memberi pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung muzium.

Dengan adanya perubahan ini, aku berharap semangat untuk menghargai dan memelihara warisan budaya terus disemai dalam kalangan warga PERZIM dan juga masyarakat. Busana ini bukan sekadar pakaian kerja, tetapi simbol jati diri dan kecintaan terhadap budaya bangsa.

Saturday, April 12, 2025

Semerah Padi: Dari Mulut Orang Lama ke Papan Tanda Rasmi

Kampung aku, Pengkalan Perigi, terletak di Tanjung Keling, Melaka. Dalam kampung ni, ada satu kawasan kecil, kurang dari 10 buah rumah yang duduknya agak ke dalam sikit. Orang kampung dan juga orang dari kampung berdekatan dah lama panggil tempat ni sebagai Semerah Padi.

Nama ni bukan nama baru, dah lebih 50 tahun orang sebut. Tapi selama ni, nama Semerah Padi cuma disebut dari mulut ke mulut je. Tak pernah ada dalam peta, tak pernah ada papan tanda, tapi tetap kekal dalam ingatan orang kampung, termasuk aku.


Akhirnya, pada 12 Februari 2025, satu perkara yang sangat bermakna berlaku. Pihak berkuasa tempatan datang dan pasang papan tanda rasmi tertulis:

“Lorong Semerah Padi, 76400 Melaka”, siap dengan tulisan Jawi sekali.

Aku rasa bangga. Nama yang dulu hanya disebut-sebut akhirnya diiktiraf secara rasmi. Papan tanda ni bukan sekadar papan tanda, tapi lambang kenangan, sejarah dan kisah kampung aku yang hidup semula.

Baca juga :

Sekarang, bila orang lalu kawasan ni, mereka dah tahu, inilah Lorong Semerah Padi, tempat aku membesar, tempat penuh dengan cerita lama yang tak pernah hilang dari ingatan.

Friday, April 11, 2025

Terima Kiriman Dari Ketua Menteri Melaka

Kiriman apa?


Hari ni aku terima satu kad raya yang boleh tahan special dari Ketua Menteri Melaka sendiri, YAB. Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh. Walaupun Syawal dah masuk minggu kedua, kad ni baru sampai ke tangan aku. Tapi tak kisahlah, orang kata, ingatan tu yang penting. Kad dia nampak eksklusif, siap dengan pantun dan ucapan penuh adat Melayu, memang rasa dihargai.

Paling kelakar, siap ada pesanan “Jangan lupa ‘follow’ dan ‘tag’ dak Rauf!”, gaya santai tapi penuh maksud. Nampak usaha beliau nak dekat dengan rakyat, tak kira umur atau latar belakang. Terus teringat masa aku rakam video Ketua Menteri masak dalam Festival Masakan Warisan Melaka 2024 hari tu, aku post kat TikTok, tak sangka boleh cecah hampir 40 ribu views! Memang sempoi dan sporting orangnya.

Terima kasih Datuk Seri atas kad raya ni. Walaupun sampai lambat, tetap buat hati rasa seronok. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.