Wednesday, January 1, 2025

Terima Tempahan Bubur Pulut Hitam

"Assalamualaikum En. Fairus, boleh tak nak tempah bubur pulut hitam untuk 300 orang?" Beginilah pesanan whatsapp yang aku terima daripada seorang kenalan, Cik Ju yang meniaga di Stadthuys Cafe. Cafenya terletak di dalam Muzium Sejarah Melaka. 

Pada 1 Januari 2025 akan diadakan majlis makan malam di halaman Muzium Sejarah Melaka bagi meraikan pengusaha-pengusaha beca di negeri Melaka. Bukan sahaja makan malam biasa, ia juga akan diadakan penyerahan pembaharuan lesen bagi pengusaha-pengusaha beca. Majlis ini akan diserikan lagi dengan kehadiran YAB. Datuk Seri Utama Ab. Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka. 

Tidak hanya itu, terdapat juga persembahan kebudayaan dan nyanyian serta cabutan nombor bertuah untuk pengusaha-pengusaha beca. Aku lihat, hadiah-hadiahnya begitu lumayan. Amat banyak, termasuk motorsikal. Tengok pada set pentasnya, memang gempak dengan live musician, LED screen, sistem siaraya, betul-betul Kerajaan Negeri Melaka meraikan pengusaha-pengusaha beca.

Air tangan suami mithali sedang menuang santan. Hehe

Macam mana Cik Ju boleh tahu aku boleh buat bubur pulut hitam? Sebenarnya, kalau ada acara jamuan atau potluck di jabatan aku ni, aku biasa sumbangkan bubur pulut hitam yang dimasak oleh isteri aku. Ada kalanya Cik Ju dijemput sekali untuk menikmati jamuan yang disediakan. Cik Ju ada memaklumkan, bubur pulut hitam yang dimasak isteri aku tu sedap. Mungkin itu mempengaruhi untuk dia memesan pulut bubur hitam tu daripada aku. Bos aku pun kalau kami buat potluck di pejabat, dah tentukan supaya aku membawa bubur pulut hitam.

Jadi, apabila aku tanya isteri, boleh buat ke tidak, dia kata boleh. Jadi kami pun terimalah pelawaan itu. Tapi bukan untuk 300 orang, ditambah lagi menjadi 350 orang punya makan. 20 bahagian diasingkan untuk Cik Ju menikmati sendiri. Mungkin untuk dia dan kakitangannya.  Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Bukan untuk memuji sendiri, tapi memang bubur pulut hitam yang dimasak isteri aku memang sedap. Aku sendiri memang sangat suka menikmatinya. 

Masa menerima pesanan tu, isteri aku ada mendapatkan pandangan daripada rakannya yang membuat catering. Dia kata guna pulut biasa yang timbang sahaja. Tapi kami tidak menerima pandangan tu. Bubur yang dikatakan sedap itu datangnya dari pulut hitam yang berkualiti. Walaupun mahal dan memerlukan kuantiti yang banyak, bagi kami kualiti yang perlu diutamakan. 

Masa memasak bubur pulut hitam ni, aku berada disamping isteri aku untuk membantu. Bila hampir masak, aku berkali-kali mencuba, menjadi tester bagi memastikan ia betul-betul enak. 

Semoga orang yang menikmati bubur pulut hitam malam ni dapat merasa keenakkannya. Insyaallah. Semoga juga Ketua Menteri Melaka pun turut menikmatinya.

Tanam Pokok Matoa Brazil

Hari ni bertarikh 1 Januari 2025 aku mencuba menanam pokok Matoa Brazil yang juga disebut sebagai buah kristal atau longan Brazil. Ini merupakan cubaan kedua setelah cubaan pertama gagal. Kegagalan berpunca dari aku sendiri yang acuh tak acuh menjaganya. Kali ini aku nak pastikan pokok ini dijaga rapi. 


Anak pokok Matoa ni diberikan oleh jiran aku, seorang pesara professor. Sebelum ni aku pernah rasa buah yang ditanamnya. memang sedap. Teringat sehingga kini keenakannya.

Di belakang rumah terdapat beberapa pokok buah-buahan yang aku tanam seperti durian Belanda, jambu air, kelapa pandan, pisang dan cempedak. Semuanya telah mengeluarkan buah.

Semoga pokok Matoa ini juga bakal mengeluarkan buahnya kelak. Moga membesar dengan sihat dan kuat. 😊✌🏼

Tuesday, December 31, 2024

Selamat Tahun Baharu 2025: Detik Permulaan dan Harapan Baharu

Tirai 2024 telah dilabuhkan, membawa bersama kenangan, pengajaran dan pengalaman yang mendewasakan kita. Kini, di ambang 2025, marilah kita melangkah dengan hati yang penuh azam dan jiwa yang berani.


Tahun baharu bukan sekadar perubahan angka, tetapi simbol peluang kedua untuk kita memperbaiki diri, merealisasikan impian dan memperkukuh hubungan sesama insan. Ia adalah masa untuk menghidupkan kembali harapan yang mungkin pudar, serta menetapkan tekad untuk mencapai yang lebih baik.

Kepada mereka yang telah menempuhi cabaran dan kesukaran sepanjang tahun lalu, percayalah bahawa setiap ujian hadir dengan hikmah tersendiri. Tahun 2025 adalah peluang untuk bangkit dan mencipta cerita baru yang lebih indah.

Marilah kita bersama-sama menanam rasa syukur atas segala nikmat yang telah dan akan kita terima. Membina kekuatan untuk mengejar apa yang kita idamkan dan menyemai kasih sayang dalam setiap tindakan, demi kebaikan keluarga, masyarakat dan dunia.

Semoga 2025 menjadi tahun yang penuh keberkatan dan kebahagiaan. Ingatlah, setiap langkah kecil yang diambil hari ini adalah batu loncatan menuju kejayaan esok.

Selamat Tahun Baharu 2025. Semoga kita semua melakar memori indah, melangkah dengan yakin dan terus menjadi inspirasi kepada dunia.