Thursday, October 10, 2024

Pengalaman 2 Hari 1 Malam di Tingkat Valley, Ipoh, Perak

Baru-baru ni, aku berkesempatan menginap di Tingkat Valley, Ipoh selama 2 hari 1 malam iaitu pada 9 hingga 10 Oktober 2024. Lokasi dia memang menarik, dikelilingi oleh kehijauan dan jauh dari kesibukan bandar. Memang sesuai sangat kalau nak lari sekejap dari rutin harian.

Penginapan di sini ala-ala glamping, gabungan kemudahan moden dengan suasana berkhemah. Terdapat aircond dan kipas. Siap ada katil yang selesa dan bilik mandi yang bersih. Tak perlu risau pasal cuaca, semuanya dah tersedia dengan baik. Tidur malam tu memang nyenyak betul, ditemani bunyi alam semula jadi.

Malamnya, kami buat BBQ.  Ayam, ikan dan jagung semua dipanggang dengan sempurna. Sambil BBQ, boleh borak-borak dan nikmati suasana malam yang tenang. Memang santai habis, angin malam yang sejuk buatkan BBQ tu lagi syok.

Esoknya, kami disajikan dengan nasi lemak untuk sarapan. Nasi dia wangi, sambal pedas manis, memang ngam gabungan dengan telur rebus dan timun buatkan sarapan tu sempurna. Memang 'winning combo'. Selain itu terdapat menu lain seperti kuih muih, roti bakar dan sandwic

Selepas sarapan, kami terus ke sungai yang tak jauh dari tempat penginapan. Air sungai dia sejuk dan jernih gila. Rasa segar bila mandi sambil tengok pemandangan hijau sekeliling. Kawan-kawan pun seronok main air. Memang best bila dapat hilangkan penat dengan cara ni.

Secara keseluruhan, Tingkat Valley memang destinasi ideal untuk bercuti dengan keluarga atau kawan-kawan. Glamping yang selesa, makanan sedap, sungai jernih dan suasana semula jadi yang mendamaikan. Serius, aku rasa macam nak datang lagi.

Jom lihat dan hayati gambar-gambar penginapan Tingkat Valley di bawah. 


Pintu masuk ke Tingkat Valley


Selamat datang

Suasana air sungai yang mendamaikan





Terdapat titi yang boleh melihat suasana sungai dan alam sekitar yang hijau

Tapak glamping

Kolam untuk melihat ikan-ikan dan bermain sampan

Permainan juga disediakan

Kawasan permainan

Tempat makan dan BBQ

Cafe pun ada


Tempat aku menginap


Malam-malam banyak lampu yang menerangi kawasan, jangan risau

Tuesday, October 8, 2024

Rumah Merah @ Stadthuys

Rumah Merah atau kini lebih dikenali sebagai Stadthuys merupakan kediaman dan pejabat Gabenor Belanda. Tarikh pembinaan dan arkitek yang membina bangunan ini tidak dicatatkan, namun dipercayai ia dibina pada sekitar tahun 1641 hingga 1656 (rujuk peta J. Nessel). Bangunan ini berkeluasan 49,200 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat mengikut teres Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Warna asal bangunan ini ialah putih namun telah dicat dengan warna merah sekitar tahun 1910-an.


Merujuk kepada sumber zaman Belanda di Melaka, bangunan ini dikenali dengan beberapa nama seperti Gouverneurs Huÿs (1656: J. Nessel), Secretarÿ ende Gouverneurs Wooningk dan Beste pakhuÿsen seerschon en accomodabel (1663: anonymous), Gouverneurs Huys (1670: M. Cramer), Governor House (1678: B. Bort), Maison du Gouverneur (1698: F. Froger), Wohnung des Gouverneurs, Wohnung den Zweyten, Negotien Comtoir dan Negote Pack Häusser (1744: J.W. Heydt), Government, Secretarye en Negotie Comptoir, negotie Packhuys en swmiswinkel (1792: Reimer), Maison du Gouverneur (1750: N. Bellin), Government House (1795: W. C. Lennon), Government House (1807: E. H. Locker) dan Woning des Gouverneurs (1821: Stavenisse de Bruin).

Pelan lama zaman Belanda yang menunjukan Stadthuys sebagai Wohnung des Gouverneurs

Sekitar tahun 1825, pihak British meneruskan fungsi bangunan ini sebagai pejabat kerajaan. Pada ketika itu bangunan ini dikenali sebagai Stadt House (1834: (P. J. Begbie), (1865: J. Cameron), (1907: F. Swettenham) dan (1908: A. Wright), Stadthouse (1839: T. J. Newbold), (1847: J. B. Jukes) dan (1894: N. B. Dennys), Stadhouse (1847: C. Dyce) dan Stadthaus (1879: I. L. Bird) dan 1914 (FMSR Pamphlet of Information for Travellers). Tidak dapat dipastikan mengapa British menggunakan perkataan Stadt kerana ia merupakan perkataan Jerman, manakala perkataan Huys mungkin diadaptasi daripada perkataan Belanda. Seterusnya sehingga kini terus dikenali sebagai Stadthuys.

Setelah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, bangunan ini terus digunakan sebagai pejabat Ketua Menteri Melaka dan pejabat-pejabat kerajaan sehingga tahun 1979. Masyarakat tempatan Melaka mengenalinya sebagai Pejabat Kerajaan, Bangunan Merah atau Rumah Merah.

Artikel ini dibuat bagi penambahbaikan artikel yang INI.

Monday, October 7, 2024

Tak Ada Idea



Ada masanya, aku rasa macam duduk depan laptop ni buat berat je, sebab tak tahu nak tulis apa. Jari kat keyboard, tapi otak kosong. Kadang rasa macam dah fikir banyak benda, tapi tak ada satu pun yang rasa betul-betul untuk dijadikan post. Macam hari ni, langsung blur, tak tahu nak mula kat mana.

Biasa kalau jadi macam ni, aku akan cuba buat benda lain dulu. Kadang-kadang membaca artikel di JSTOR, layan Facebook atau baca sikit-sikit blog orang lain. Tapi, tak semua hari ilham akan datang lepas buat semua tu. Hari ni, walaupun dah buat semua tu, aku tetap tak jumpa idea. Hmm, memang hari malas agaknya.

Tapi aku terima je lah, bukan setiap hari kita boleh dapat idea fresh. Ada hari yang memang otak nak off sekejap, bagi rehat. Jadi aku pun tulis je apa yang aku rasa sekarang ni, tak ada idea. Siapa tahu, mungkin nanti bila aku tak terlalu fikir sangat, idea tu datang dengan sendiri.