Wednesday, December 21, 2011

JANGAN BERAZAM TERLALU TINGGI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila hendak menghampiri tahun baru, ramai yang mula memasang azam. Ada berazam untuk mencari jodoh, ada yang mahu beli kereta atau rumah baru, berazam untuk mencari kerja yang lebih bagus dan bermacam-macam lagi. Akan tetapi apabila berazam pastikan azam itu boleh dicapai dan mengikut apa yang kita mampu.


Azam yang dapat dicapai pastinya akan mengembirakan dan memuaskan hati kita, tetapi sekiranya tidak tercapai ia mungkin akan membuatkan kita berdukacita dan sebagainya. Misalannya, apabila seseorang berazam untuk mencari jodoh, namun apabila tiada pasangan yang mahu berkahwin dengan dia, maka mungkin ia akan menerbitkan rasa kecewa.

Azam juga boleh dikaitkan dengan angan-angan atau berangan. Tapi, apabila berangan tu janganlah pula jadi seperti "angan-angan Mat Jenin". Asyik duduk berangan saja. Baru panjat pokok kelapa macam-macam yang sudah di angan-angankan. Itu belum petik lagi, baru di tengah-tengah batang kelapa. Angan-angan itu, angan-angan ini dan akhirnya terjatuh. Langsung tak dapat apa-apa. Hebat betul orang dulu-dulu, buat cerita sampai ke hari ini dapat dijadikan tauladan.

Apa yang ingin disampaikan sebenarnya ialah jangan buat azam yang kita tidak mampu membuatnya atau mencapainya. Buatlah azam yang relevan dan boleh dicapai. Tidak kisah, sesukar manapun, ia boleh dicapai. Jangan sampai pasang azam kita mati hidup semulapun kita tidak boleh capai.

Sebenar-benarnya entri ini berkait rapat dengan diri saya sendiri. Nak dijadikan cerita, tiap-tiap hari saya pulang dari kerja, apabila tiba di suatu persimpangan berlampu isyarat, biasanya akan merah di situ dan saya akan memerhatikan kereta-kereta mewah seperti Toyota Alphard dan sebagainya berdekatan kedai kereta di sebelah kanan saya. Lalu berfikir, bolehkah saya memiliki kereta itu? Segera saya sedarkan diri saya bahawa saya memang tidak layak melainkan saya ada buat kerja sampingan lain yang lebih lumayan berbanding saya sebagai kakitangan kerajaan sahaja.

Saya cuba mempositifkan lagi keadaan dengan mengatakan bahawa saya boleh memiliki kereta tersebut pada suatu hari nanti. Namun didatangi pula bisikan-bisikan yang menyatakan, suatu hari saya boleh membelinya tetapi akan menyusahkan hidup. Bak kata orang besar periuk besar lagi keraknya.

Lepas sahaja lampu isyarat menunjukan warna merah, saya terus berlalu dan angan-angan tersebut juga berlalu bagaikan angin lalu. Tidak mahu saya berazam memilik Toyota Alphard, cukuplah Toyota orang tua yang saya ada sekarang.


Sunday, December 18, 2011

# 10 LENSA KAMERA CABUK - SEPETANG DI SUNGAI MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Memang indah sungguh berjalan-jalan di Sungai Melaka. Kalau dahulu, Sungai Melaka sangat kotor. Tetapi dengan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Sungai Melaka sebagai produk pelancongan di Melaka, ianya kini dilihat amat bersih sekali. Petang-petang ramai yang berjoging di pesisir sungai, bawa anak-anak berjalan, melihat bot "Melaka River Cruise" dan melihat matahari petang. Sungguh mendamaikan.








LAWATAN PEMANTAUAN PRODUK PELANCONGAN DI MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 7 Disember yang lalu saya telah diwakilkan oleh jabatan saya untuk mengikuti lawatan pemantauan produk pelancongan yang turut disertai oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Melaka iaitu YB. Datuk Wira Latiff Tamby Chik. Inilah kali pertama saya mewakili jabatan saya untuk lawatan seperti ini yang sememangnya kerap dilakukan.

Tujuan lawatan seperti ini ialah untuk memastikan setiap tapak atau produk pelancongan yang terdapat di negeri Melaka dalam keadaan terbaik iaitu bersih, selamat, selesa dan sebagainya. Pada waktu yang saya sertai ini, tempat yang dilawati ialah Inap Desa Ayer Limau, Masjid Lama Masjid Tanah, Pantai Tanjung Bidara dan juga Inap Desa Seri Tanjung. Penyertaan saya adalah bertujuan untuk memberikan penerangan dan seterusnya tindakan yang perlu diambil untuk produk Masjid Lama Masjid Tanah kerana ia adalah monumen warisan yang diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Budaya Negeri Melaka.

Sebelum melawat di masjid tersebut, saya diberitahu keadaannya semuanya okey, namun semasa kedatangan saya dan YB. Exco, beliau agak dukacita dengan keadaan dan persekitaran masjid tersebut seperti kurang penjagaan. Kena 'bantai' lah juga saya masa tu. Apabila melihat keadaan masjid tersebut sayapun agak terkilan juga. Lantas selepas tamat lawatan dan kembali ke pejabat, saya terus membuat laporan tentang segala komen YB. Exco dan tindakan yang perlu diambil.

Di bawah ini disertakan gambar-gambar sekitar lawatan diadakan :