Showing posts with label ulasan jujur. Show all posts
Showing posts with label ulasan jujur. Show all posts

Friday, June 2, 2023

Review Filem : Ulasan Jujur Filem Polis Evo 3


Aku bukanlah seorang penonton filem yang tegar. Amat jarang sekali aku menonton di panggung wayang. Kalau ada pun, mungkin setahun sekali aku menonton wayang atau tidak pernah langsung menonton wayang dalam setahun. Justeru, apabila aku mula memberikan ulasan pada satu-satu filem, pastinya ada sesuatu yang ingin aku sampaikan.

Tanggal 2 Jun 2023 merupakan tarikh aku pergi menonton filem Polis Evo 3. Aku pergi menonton ini pun kerana isteriku mengajak. Jadinya, hari ini aku mengambil keputusan untuk memohon cuti dan pergi menonton wayang di GSC Aeon Bandaraya Melaka. 

Aku tak mampu untuk membuat ulasan bab teknikal tetapi apa yang aku ingin perkatakan bahawa filem ini menarik ditonton. Terdapat elemen-elemen aksi, lucu dan watak-watak yang dimainkan oleh para pelakon amat berkesan. Watak utama, Zizan Razak dan Shaheizy Sam begitu menonjol, dan ada kalanya aksi lucu yang dilakonkan nampak bersahaja. Walaubagaimana pun bagi aku, pengakhiran cerita telah dapat aku 'baca' dengan kesudahan happy ending.

Jalan cerita yang amat menarik. Tak sangka juga watak yang dimainkan oleh Sharnaaz Ahmad begitu kejam. Dalam masa yang sama, kesian juga kepadanya kerana melalui kisah silam yang begitu sadis akibat pembunuhan isterinya yang sedang mengandung. 

Dialog filem ini banyak juga menggunakan loghat negeri Terengganu sehingga terdapat beberapa dialog yang aku tak biasa dengari. Namun, usah bimbang kerana terdapat sari kata Bahasa Melayu turut dipaparkan.

Namun, sedikit hairan bagi aku, filem ini diklasifikasikan sebagai P13 di mana ia hanya boleh ditonton oleh individu berumur 13 tahun ke atas. Tetapi semasa aku menonton terdapat ramai ibu bapa yang membawa anaknya bersama, termasuklah aku yang membawa anak yang berumur 5 dan 8 tahun. Nampak tiada kawalannya di situ oleh pihak panggung wayang.

Tahniah kepada penerbit, pengarah dan para pelakon kerana berjaya menghasilkan filem aksi Melayu yang hebat. Dikhabarkan dalam beberapa hari tayangan, filem ini telah menjangkau kutipan tiket melebihi RM16 juta. Syabas!

Jika hendak diberi bintang, dari 5 bintang, aku memberinya 4 1/2 bintang!