Showing posts with label tarikh pkp pertama. Show all posts
Showing posts with label tarikh pkp pertama. Show all posts

Sunday, May 23, 2021

KONTAK RAPAT KLUSTER TABLIGH

Mungkinkah Leonardo da Vinci telah dapat meramalkan covid-19 sejak awal tahun 1500 😅

Dulu kecoh! Kecoh satu Malaysia. Nama saya dan rakan-rakan lengkap dengan nama penuh, nama jabatan, jawatan, alamat rumah, nombor kad pengenalan dan nombor telefon telah ditularkan ke media sosial Facebook dan Whatsapp. Dikatakan kami ini dikehendaki kerana mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang positif covid-19.

Mana taknya, masa itu covid-19 baru sahaja tersebar di Malaysia. Jadi, masyarakat luar teruja untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan covid-19. Kebetulan pula kluster tabligh dikatakan kluster pertama penularan covid-19 di Malaysia.

Nak dijadikan cerita, saya berkursus dua hari pada 9 - 10 Mac 2020 lalu dan kursus tersebut turut dihadiri rakan yang baru pulang dari ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. Benda baru, masa tu masih belum panas.  Rakan saya tu pun tak menyedari dia telah terkena covid-19. Tapi masa dia hadir kursus tu, menang dia kata tak sedap badan, dan batuk-batuk.

Dalam beberapa hari selepas kursus, rakan saya telah disahkan positif covid-19. Dalam sekelip mata, perkara ini menjadi viral. Kami yang mengikuti kursus tersebut dikatakan sebagai kontak rapat. Macam-macam versi yang saya dapat baca maklumat yang ditularkan, ada yang betul dan ada yang tidak betul.

Dalam masa sehari maklumat kami ditularkan, tak henti-henti saya terima panggilan dan whatsapp dari ahli keluarga, saudara mara, jiran dan rakan-rakan mengatakan nama saya telah tular kerana covid-19. Boleh dikatakan, hampir ke seluruh Malaysia perkara ini tular. Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak juga turut bertanyakan hal ini. 

Aduh, sudah! Seharian, dari pagi sampai ke malam melayan pertanyaan orang. Sehinggakan saya siapkan satu teks penjelasan dan saya copy and paste pada mereka-mereka yang bertanya lagi. Penatlah nak menjawab dan menjelaskan.

Selang beberapa hari, saya dan semua peserta yang mengikuti kursus telah membuat saringan covid-19. Awal-awal dahulu, belum ada peralatan swab test seperti sekarang. Dulu cucuk guna cotton but saja. Sampai ke pangkal hidung kena cucuk, terus terasa sakit hidung dibuatnya.

Dalam seminggu selepas itu, keputusan covid-19 keluar. Alhamdulillah, semua peserta yang mengikuti kursus itu didapati negatif. Ketika itu, pada masa yang sama, negara telah lancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula 18 Mac 2020.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, sekiranya disekeliling kita terdapat mereka yang dijangkiti covid-19, tolong jangan bebankan mereka dengan banyak pertanyaan. Mereka telah sakit, kita pula sama sibuk bertanya itu ini, itu ini, sehingga mereka terasa terbeban dan mungkin lebih memberi tekanan kepada mereka. 

Lagi satu, jangan tularkan sesuatu yang kita tidak tahu. Dapatkan dahulu kepastian sebelum menyebarkan sesuatu perkara. 

Akhir sekali, harapan saya agar pandemik covid-19 ini segera diangkat oleh Allah SWT dan lenyap di muka bumi ini. Dan kita sebagai muslimin dan muslimat hendaklah sentiasa menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT ini.