Showing posts with label sembahyang. Show all posts
Showing posts with label sembahyang. Show all posts

Sunday, May 30, 2021

BACAAN DAN MAKNA SEMASA DUDUK DI ANTARA DUA SUJUD


Apabila kita baca dan fahami makna bacaan semasa DUDUK DI ANTARA DUA SUJUD, sudah jelas menyatakan pengabdian diri kepada Allah SWT. Dari memohon keampunan, minta disayangi, minta dijaga aib diri, angkat darjat, dikurniakan rezeki, diberi petunjuk dan diberikan kesihatan merupakan satu doa yang amat lengkap.

Justeru, apabila membaca bacaan ini semasa DUDUK DI ANTARA DUA SUJUD, bacalah dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT agar apa yang dimohon dalam bacaan itu dimakbulkan. 

Sama-sama kita mempraktikkannya. Insyaallah.




Monday, September 21, 2015

APA YANG LEGA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Apa yang membuatkan anda berasa lega? Lega dapat menyiapkan tugasan? Lega selepas keluar tandas? Lega kerana masalah dapat diselesaikan? Macam-macam rupanya perasaan lega ini boleh dirasai.

Ada suatu kelegaan yang biasa boleh kita sendiri rasai iaitu lega apabila dapat menunaikan penuh solat lima waktu. Apabila selesai solat Isya', terasa satu kelegaan. Kelegaan kerana berjaya melengkapkan solat sehari semalam. Kalau tidak, rasa seperti tidak lengkap.

Gambar sekadar hiasan. Sumber >> KLIK <<

Apabila sudah dapat menjalankan suatu kewajipan, yang lain-lainnya sama ada ia diterima atau tidak, kita serahkan saja kepada ALLAH SWT. 

Ayuh rakan-rakan. Sempurnakanlah solat kita setiap hari. Jagalah solat kita. Semoga kita sama-sama tergolong dalam orang yang beriman. 

Friday, January 3, 2014

RAPATKAN SAF


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Rapatkan saf...

Rapatkan saf...

Rapatkan saf...

Begitulah setiap kali imam akan memberitahu kepada makmum sebelum sembahyang berjemaah dimulakan. Namun, antara kita dengar atau tidak, tahu atau tidak, faham atau tidak, kita tetap alpa dan lalai untuk tidak merapatkan saf. 

Apa salahnya merapatkan saf dengan bahu bertemu bahu, siku bertemu siku, kaki bertemu kaki. Sebilangan kita hanya tahu mahu selesa, bersolat umpama sendirian, jauh berjengkal-jengkal dari makmum yang lain. Sedangkan dengan merapatkan saf itu sendiri merapatkan ukhwah dan kasih sayang antara sesama Islam. 

Sumber gambar >> KLIK <<

Aku tidak mahu bercerita pasal hukum merapatkan saf, kerana masih mencari-cari hadith yang sahih, namun apa yang aku tahu ia dituntut kita melakukannya. Kalau tak masakan berkali-kali imam memberitahu kepada makmum untuk merapatkan saf.  

Ayuhlah muslimin dan muslimat, kita rapatkan saf. 

Saturday, December 14, 2013

PANGGILAN ILLAHI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kita sebagai ibu bapa, sekiranya memanggil anak kita tetapi dia tidak menyahut walaupun dia hanya duduk di depan mata kita, apa perasaan kita? Marah? Sakit hati? Rasa nak lempang anak? Itu baru sekali kita panggil, kalau 2,3, kali kita panggil tapi dia buat 'keras' je, tak ke lagi mendatangkan marah!

Bagaimana pula sekiranya kita terdengar panggilan azan? Panggilan dari ALLAH SWT supaya kita menunaikan solat. Adakah kita akan segera pergi menunaikan solat atau masih mendiamkan diri, bahkan sehingga selesai azan kita tidak bergerak-gerak lagi untuk menunaikan solat. 

Agak-agaknya apakah pandangan ALLAH SWT terhadap kita?

Persoalan ini ditinggalkan untuk kita sama-sama muhasabah diri masing-masing. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya.., yang lalai dan alpa.

Wednesday, February 27, 2013

Makna-makna Bacaan di Dalam Solat Yang Perlu Setiap Muslim Tahu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Sebenarnya sudah lama berniat untuk mencari maksud / makna bacaan dalam solat. Asal nak cari bahan untuk dibuat entri pasti akan terlengah-lengah. Adakah ini sebenarnya bisikan syaitan yang tidak mahu aku mengongsikan sesuatu yang baik dan bermanfaat?
 
Namun hari ini aku akan pastikan aku tidak berlengah untuk mengongsikan sesuatu yang berguna. Semoga sama-sama kita peroleh manfaat daripadanya.
 
Jom, kita hayati setiap maksud / makna bacaan dalam solat yang hari-hari kita kerjakan. Orang kata, kalau faham maksud / makna barulah datangnya khusyuk.

Sumber gambar : akuislam.com

Takbiratul-Ihram / Takbir
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan Ketika Rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan Ketika Bangun Dari Rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan Ketika Iktidal
Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan Ketika Sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan Ketika Duduk Di Antara Dua Sujud
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan Ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan Ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. 

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. 

Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. 

Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. 

Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. 

Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.