Tuesday, September 8, 2015

ALUNAN PEPERANGAN DI ALAM MELAYU : MENYINGKAP KISAH DALAM SULALATUS SALATIN - MAJAPAHIT MENYERANG SINGAPURA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

Majapahit merupakan sebuah kerajaan yang besar suatu ketika dahulu. Seluruh kepulauan Jawa dan sebahagian kerajaan-kerajaan di Nusantara adalah di bawah takluknya. Semasa peristiwa serangan Majapahit terhadap Singapura, pemerintahnya ialah Raden Inu Merta Wangsa yang bergelar Betara Majapahit.

Singapura pula pada ketika itu di bawah pemerintahan rajanya iaitu Paduka Seri Pikrama Wira merupakan antara kerajaan besar yang bukan di bawah takluk dan tidak menghantar sembah kepada Kerajaan Majapahit.

Oleh hal Singapura tidak menghantar sembah kepada Betara Majapahit, baginda telah menghantar utusan ke Singapura dengan membawa sekeping tatal sepanjang 7 depa. Tatal tersebut ditarah tanpa putus dan nipisnya seperti kertas lalu digulung menjadi seperti subang. Peristiwa tatal ini merupakan satu simbolik yang ingin merendahkan  martabat pemerintah Singapura dengan menyatakan bahawa raja Singapura bukanlah seorang ‘anak lelaki’.

Paduka Seri Pikrama Wira amat memahami maksud Betara Majapahit dan murka dengan tatal yang dikirimkan itu lalu membalasnya dengan sebilah beliung. Beliung tersebut telah digunakan untuk mencukur rambut seorang budak kecil yang telah dilakukan dihadapan utusan Majapahit.  Utusan majapahit telah menjadi saksi di mana cukuran rambut tersebut dibuat begitu kemas dan licin tanpa meninggalkan sebarang luka dan garis. Lantaran, beliung yang digunakan itu telah dihantar ke Betara Majapahit sebagai balasan.

Gambar sekadar hiasan

Setibanya utusan yang membawa beliung itu tiba di Majapahit, Betara Majapahit melihatnya lalu berasa teramat murka. Baginda beranggapan raja Singapura begitu biadap kerana menghantar beliung seolah-olah mahu menarah rambutnya. Justeru, Betara Majapahit telah mengisytiharkan perang terhadap Singapura.

Betara Majapahit telah menitahkan untuk menyediakan sebanyak 180 buah jong untuk memerangi Singapura. Setelah siap semuanya, angkatan Majapahit telah belayar ke Singapura. Setibanya di Bintan, telah kedengaran di Singapura bahawa Majapahit telah datang untuk berperang lalu Paduka Seri Pikrama Wira telah mengarahkan bala tenteranya bersiap-sedia untuk menghadapi Majapahit. Baginda telah menitahkan angkatannya menyediakan 400 buah kapal untuk memerangi Majapahit.

Maka berlakulah peperangan yang begitu dahsyat di lautan dengan memakan masa selama 3 hari 3 malam. Oleh kerana angkatan Majapahit tidak mahir dalam peperangan di lautan, maka banyaklah kapal-kapal Majaphit yang musnah diserang oleh Singapura. Banyak kapal-kapal Majapahit telah dirampas dan tenteranya ditawan. Ada juga kapal-kapal yang sempat berundur semula ke Majapahit. Akhirnya kemenangan telah berpihak kepada Singapura.

Bibliografi :

A. Samad Ahmad (pngr.). 1997. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

4 comments:

  1. hebat Singapura .. maknanya Singapura dah ada orang sebelum dibuka oleh Raffles.

    tatal tu apa ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Singapura Moden dibuka oleh Stanford Raffles. Sejarah Melayu menyatakan Singapura ditemui oleh Seri Tri Buana.

      Tatal adalah kayu / pokok yang ditarah.

      Delete

Komen saja... Jangan segan-segan.