Sunday, March 16, 2025

Kurta atau Baju Melayu?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai orang Melayu gemar memakai pakaian yang dipanggil "kurta", terutama pada hari raya dan majlis keagamaan. Namun, jika diperhatikan, pakaian yang mereka pakai sebenarnya tidak menepati ciri-ciri kurta sebenar yang berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh. Kurta tradisional Asia Selatan labuh menghampiri lutut, dengan potongan yang longgar dan biasanya dipakai bersama seluar khas. Sebaliknya, apa yang dipanggil "kurta" dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini lebih menyerupai baju Melayu dengan leher teluk belanga atau menyerupai leher cekak musang dan potongan yang lebih kemas.

Pemakaian baju Melayu tradisional

Jika kita lihat gambar orang Melayu dahulu, baju yang mereka pakai tidak jauh bezanya dengan apa yang disebut sebagai kurta hari ini. Potongan baju Melayu yang asal juga labuh, longgar dan dipakai dengan seluar berlainan warna serta lengkap dengan samping. Cuma potongan bajunya tidak mempunyai pesak dan kekek. Maka, persoalannya, adakah pakaian yang sedang dipakai oleh orang Melayu kini benar-benar kurta atau sebenarnya hanyalah variasi moden baju Melayu?

Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada trend fesyen dan pemasaran. Peniaga fesyen mula mempopularkan istilah kurta kerana ia lebih bersifat antarabangsa dan mungkin lebih menarik minat pembeli muda. Sedangkan, jika diperhalusi, pakaian ini masih mempunyai ciri-ciri baju Melayu dan bukan kurta seperti yang dikenali di Asia Selatan. Bahkan, masyarakat India, Pakistan dan Bangladesh sendiri mungkin tidak menganggapnya sebagai kurta.

Ini kurta pendek lengan panjang

Ini kurta pendek lengan pendek 

Ini kurta labuh lengan panjang

Dalam usaha melestarikan budaya, lebih baik kita mengangkat identiti pakaian tradisional sendiri daripada mengubah namanya hanya kerana mengikut arus fesyen. Jika potongan baju itu masih mengekalkan ciri baju Melayu, mengapa perlu dipanggil kurta? Kita seharusnya lebih bangga dengan baju Melayu dan tidak perlu menjenamakannya semula dengan nama asing.

Baju yang kini dikenali sebagai "kurta" dalam kalangan masyarakat Melayu sebenarnya hanyalah evolusi baju Melayu yang lebih ringkas. Daripada terus mengelirukan orang ramai dengan istilah yang tidak tepat, lebih baik kita meraikan pakaian tradisional kita sendiri dengan nama yang betul. Kurta tetap kurta, dan baju Melayu tetap baju Melayu.

Ini baju Melayu bukan kurta 

Ini baju Melayu bukan kurta 

Kalau ia lebih mirip kepada baju Melayu kenapa disebut kurta? 

Hadiah Giveaway Ramadan: Sampul Duit Raya DoodlebyREN

Ahamdulillah, petang tadi aku menerima pemberian lima helai sampul duit raya hasil penyertaan dalam Giveaway Ramadan: Sampul Duit Raya DoodlebyREN yang dianjurkan oleh blogger Ren dari blog janggeltrekker's life. Terima kasih kepada blogger Ren kerana memberi hadiah yang tepat pada masanya untuk kegunaan di lebaran yang bakal menjelang. 


Sampul duit raya ini cukup menarik dengan rekaan doodle yang unik dan ceria. Kualitinya juga sangat baik, sesuai untuk digunakan semasa Hari Raya Aidilfitri nanti. Memang rasa bertuah apabila dapat sampul raya percuma, lebih-lebih lagi dengan sentuhan seni yang kreatif seperti ini.

Sekali lagi, terima kasih kepada Ren atas penganjuran giveaway ini. Semoga rezeki Ren bertambah dan terus diberkati. Aku sudah tidak sabar untuk menggunakannya pada Syawal nanti. 

Thursday, March 13, 2025

Sahur Terlewat, Janji Ada

Pagi tadi sahur aku sangat ringkas dengan lima biji kurma dan segelas air kopi. Bukannya diet atau sengaja memilih tapi sebab terlajak tidur, hehe... Isteri kejut, tapi bila aku tersedar, waktu Subuh hampir masuk. Tak sempat nak makan nasi atau apa-apa yang lebih mengenyangkan.

Walaupun begitu, sahur tetap sahur. Kurma mengandungi tenaga semula jadi dan kopi cukup untuk menyegarkan mata yang masih mamai. Tak dapat nikmat makan dengan tenang, tapi sekurang-kurangnya sempat alas perut sebelum memulakan puasa. Syukur juga sempat teguk air kopi panas di awal pagi.

Pengajaran hari ini, jangan terlalu yakin alarm boleh menyelamatkan keadaan. Mungkin esok kena tidur lebih awal atau set lebih banyak alarm supaya tak berulang lagi drama sahur ekspres macam hari ini. Haha..