Sunday, March 9, 2025

Buah Nangka Pokok Tua di Rumah Mak

Semalam di rumah mak, aku perasan sebiji nangka sudah masak. Tanpa berlengah, aku petik dan potong. Isinya kuning dan manis. Masa aku potong buah ni, dua orang anak aku Muhammad Firman dan Muhammad Fiq Farrel turut menikmatinya. Mereka suka. Dua, tiga ulas mereka makan. Sesudah potong emak agihkan kepada adik-beradik dan saudara-mara yang tinggal berdekatan.


Pokok nangka ini pokok lama, lebih tua dariku. Aku lupa nak tanya mak siapa yang menanamnya. Sejak dulu, aku yang menjaganya dengan mencantas dahan dan membalut buah dengan guni tepung. Sekarang, buahnya lebat. Lebih 20 biji sudah dibalut, menunggu masa untuk dinikmati.

Semoga pokok ini terus berbuah dan menjadi rezeki yang dikongsi bersama.

Tuesday, March 4, 2025

Menyemarakkan Ramadan dengan Tadarus Al-Quran di Jabatan


Bulan Ramadan sentiasa membawa keberkatan dan menghidupkan suasana ibadah di tempat kerja. Seperti tahun-tahun sebelumnya, jabatan aku meneruskan tradisi tadarus Al-Quran sebagai salah satu pengisian rohani sepanjang bulan mulia ini.

Program tadarus ini diadakan setiap pagi, bermula jam 8.00 hingga 9.00 pagi. Kakitangan jabatan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kakitangan lelaki dan kakitangan perempuan. Setiap kumpulan akan menghabiskan satu juzuk Al-Quran setiap hari, dengan harapan dapat mengkhatamkan Al-Quran menjelang penghujung Ramadan.

Suasana tadarus ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama rakan sekerja, malah memberi peluang untuk memperbaiki bacaan Al-Quran. Program ini menjadi satu amalan yang mendekatkan kami dengan Al-Quran di samping memberi ketenangan dalam melaksanakan tugas harian.

Semoga amalan ini terus subur dan menjadi inspirasi untuk terus mendekatkan diri kepada Allah, bukan sahaja di bulan Ramadan, tetapi sepanjang kehidupan kita.

Saturday, March 1, 2025

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 1446H



Segala puji bagi Allah SWT yang sekali lagi mengizinkan kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan, Ramadan Al-Mubarak 1446 Hijrah. Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga tetapi juga bulan penyucian jiwa, peningkatan ibadah serta kesempatan untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Di bulan yang penuh rahmat ini, marilah kita memperbanyakkan doa, bacaan Al-Quran, solat tarawih serta amalan sedekah agar keberkatan Ramadan dapat diraih dengan sebaiknya. Semoga setiap amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT dan menjadikan kita insan yang lebih bertakwa.

Selamat berpuasa kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan, keampunan dan rahmat kepada kita semua.

Ramadan Kareem.