Monday, February 17, 2025

Adegan Hari Pertama Persekolahan

Sebelum membaca lebih lanjut, sila baca ini juga.

Baca juga :

Dalam empat anak-anak aku yang bersekolah, Muhammad Firman ni memang lain macam sedikit. Tak macam abang-abang dan kakaknya. Memang liat nak bersekolah. Masa pra sekolah dulu pun sama. 

Hari ni masa  pertama persekolahan pagi tadi, dia dah buat perangai. Duk keras dalam kereta taknak masuk ke sekolah. Masa ni isteri aku yang bawa ke sekolah. Abangnya Muhammad Firas Faiq, ok saja. Dia dah keluar kereta dan masuk ke sekolah. Tinggal Muhammad Firman "mengeraskan diri" dalam kereta. 

Isteri aku whatsapp, jadi aku yang memang bercuti hari ni, pergilah ke sekolah dengan harapan untuk memujuknya. 

Sampai saja di kereta isteri yang diparkir di luar sekolah, Muhammad Firman memang dah menangis. Tak boleh dibiarkan, kalau nak ikut kehendak dia, memang susahlah hari-hari yang bakal mendatang. Aku pujuk, memang tak makan pujuk. Apa lagi, aku dukung dia masuk ke dalam sekolah. 


Terus menangis. Sampai dalam sekolah, perhimpunan sedang berjalan. Masa tu Murid-murid sedang duduk dalam perhimpunan, ibu bapa pun ramai hadir memerhatikan anak-anaknya. Aku bawa Muhammad Firman berdiri di kaki lima berdekatan murid-murid darjah satu. Muhammad Firman terus menangis tanpa henti. 

Beberapa ibu-ibu yang hadir turut memujuk, tapi tak juga jalan. Kakak-kanak pengawas sekolah yang diberi amanah untuk menjaga murid-murid darjah satu pun cuba bantu memujuknya. Tetap tidak makan pujuk. 

Guru bertugas telah memberikan pengumuman supaya ibu bapa meninggalkan anak masing-masing, tapi macam mana aku nak buat, Muhammad Firman tetap menangis. 

Masa sudah masuk ke kelas, guru kelas sudah ada. Guru kelas minta aku pulang dan biarkan Muhammad Firman bersamanya. Masih lagi menangis, ditarik-tariknya tangan aku. Akhirnya, tarikan tangannya dapat dilepaskan dengan bantuan beberapa  sukarelawan terdiri daripada anggota PIBG turut membantu. 

Aku biarkan Muhammad Firman di kelasnya. Biarlah guru kelas yang uruskan. Pastinya mereka pasti mahir dengan situasi sebegini. Dikhabarkan oleh guru, Muhammad Firman tidak lagi menangis dalam beberapa ketika selepas aku meninggalkannya. 

Harap-harap adegan sebegini tidak lagi berlaku di masa-masa akan datang. Pening dibuatnya. Aduhai...

Friday, February 14, 2025

Muhammad Firman Kini Bersekolah Darjah Satu

Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat anak keempat aku, Muhammad Firman, kerana dia sudah memulakan persekolahan Tahun 1 di SK Taman Bukit Rambai. Sekolah ini adalah sekolah rendah dengan jumlah pelajar paling ramai di Melaka. Semasa sesi taklimat pagi tadi, guru besar memaklumkan bahawa sekolah ini mempunyai seramai 1,686 orang pelajar. Untuk Tahun 1 sahaja, terdapat 10 kelas yang menampung murid-murid baharu.

Selamat menempuh alam persekolahan duhai anak 

Dengan Firman sudah memulakan alam persekolahan, kini aku mempunyai empat orang anak yang bersekolah. Anak sulung kini berada di tingkatan 5, manakala anak kedua pula akan memasuki tingkatan 1 dan bakal tinggal di asrama. Anak ke-3 akan naik. Ke darjah 4. Hanya tinggal seorang sahaja lagi yang belum bersekolah. Melihat anak-anak membesar dan melangkah ke fasa baru dalam kehidupan mereka benar-benar membuatkan aku terasa masa berlalu begitu pantas.

Hari orientasi ini adalah pengalaman baru buat Firman. Dia berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan baru, guru-guru dan melihat persekitaran sekolah. Walaupun mungkin masih ada sedikit rasa janggal, aku harap dia akan cepat menyesuaikan diri dan menikmati pembelajaran. Dunia sekolah rendah pastinya akan menjadi kenangan indah dalam kehidupannya nanti.

Sebagai ibu bapa, aku hanya mampu berdoa dan memberi sokongan agar anak-anak dapat menimba ilmu dengan baik. Semoga Firman seronok belajar, rajin membaca dan membesar menjadi insan yang berguna. Selamat menempuh alam persekolahan, anakku. 

Thursday, February 13, 2025

Salam Nisfu Syaaban 1446H : Malam Penuh Keberkatan


Ahamdulillah, kita kini berada di pertengahan bulan Syaaban, satu bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan. Nisfu Syaaban adalah malam yang istimewa dalam kalendar Islam, di mana pintu langit dibuka, doa-doa diangkat, dan amalan kebaikan mendapat ganjaran yang besar.

Pada malam ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan ibadah, memohon keampunan dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan kita kesihatan, kesejahteraan serta istiqamah dalam melakukan kebaikan. Semoga kita juga diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi dalam keadaan yang terbaik, insyaAllah.

Salam Nisfu Syaaban 1446H. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita yang lalu. Aamiin.