Wednesday, January 1, 2025

Tanam Pokok Matoa Brazil

Hari ni bertarikh 1 Januari 2025 aku mencuba menanam pokok Matoa Brazil yang juga disebut sebagai buah kristal atau longan Brazil. Ini merupakan cubaan kedua setelah cubaan pertama gagal. Kegagalan berpunca dari aku sendiri yang acuh tak acuh menjaganya. Kali ini aku nak pastikan pokok ini dijaga rapi. 


Anak pokok Matoa ni diberikan oleh jiran aku, seorang pesara professor. Sebelum ni aku pernah rasa buah yang ditanamnya. memang sedap. Teringat sehingga kini keenakannya.

Di belakang rumah terdapat beberapa pokok buah-buahan yang aku tanam seperti durian Belanda, jambu air, kelapa pandan, pisang dan cempedak. Semuanya telah mengeluarkan buah.

Semoga pokok Matoa ini juga bakal mengeluarkan buahnya kelak. Moga membesar dengan sihat dan kuat. 😊✌🏼

Tuesday, December 31, 2024

Selamat Tahun Baharu 2025: Detik Permulaan dan Harapan Baharu

Tirai 2024 telah dilabuhkan, membawa bersama kenangan, pengajaran dan pengalaman yang mendewasakan kita. Kini, di ambang 2025, marilah kita melangkah dengan hati yang penuh azam dan jiwa yang berani.


Tahun baharu bukan sekadar perubahan angka, tetapi simbol peluang kedua untuk kita memperbaiki diri, merealisasikan impian dan memperkukuh hubungan sesama insan. Ia adalah masa untuk menghidupkan kembali harapan yang mungkin pudar, serta menetapkan tekad untuk mencapai yang lebih baik.

Kepada mereka yang telah menempuhi cabaran dan kesukaran sepanjang tahun lalu, percayalah bahawa setiap ujian hadir dengan hikmah tersendiri. Tahun 2025 adalah peluang untuk bangkit dan mencipta cerita baru yang lebih indah.

Marilah kita bersama-sama menanam rasa syukur atas segala nikmat yang telah dan akan kita terima. Membina kekuatan untuk mengejar apa yang kita idamkan dan menyemai kasih sayang dalam setiap tindakan, demi kebaikan keluarga, masyarakat dan dunia.

Semoga 2025 menjadi tahun yang penuh keberkatan dan kebahagiaan. Ingatlah, setiap langkah kecil yang diambil hari ini adalah batu loncatan menuju kejayaan esok.

Selamat Tahun Baharu 2025. Semoga kita semua melakar memori indah, melangkah dengan yakin dan terus menjadi inspirasi kepada dunia.

Popia Goreng @ Mi Sup Tengkera

Balik kerja petang tadi terus ambil anak dara aku yang seorang tu di sekolah yang selesai berlatih kriket. Dah bonceng motor, dia cakap, "ayah, jom makan mi sup, lapar lah". Aku jawab "ok".

Mi Sup Tengkera memang dekat sangat dengan sekolah anak aku. Dalam 100 meter aje kot. Dia pun penggemar Mi Sup Tengkera.

Sampai saja anak aku pesan mihun sup. Aku pula, kerana sudah kenyang hanya memesan 2 keping popia goreng. Huh, kenyang pun pesan 2 keping. Haha. 

Inilah kejadiannya popia goreng tu... 

Bagi aku, popia goreng di sini kena dengan tekak aku. Nasib baik masih ada lagi. Biasanya popia awal habis.

Kedai ni sebenarnya memang lagend. Bukan sejak aku kecil, tapi sejak abang-abang aku bersekolah lagi. Taknak cerita panjang pasal kedai ni, baca saja post aku yang lalu di SINI

Dah tu je nak cerita. 😊✌🏼