Wednesday, December 11, 2024

Mesej Motivasi Buat Pelajar Untuk Semangat Menduduki Peperiksaan

Hari ini aku nak kongsikan sesuatu yang aku rasa boleh beri manfaat kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Aku tahu, bila nak dekat exam ni, mesti ada rasa gementar, stress atau mungkin ada yang dah burn out. Jangan risau, itu semua normal. Tapi, yang penting, kita kena teruskan usaha dan jangan pernah putus asa.
 
Jadi, aku cuba buat sesuatu yang istimewa. Aku hasilkan 10 gambar motivasi menggunakan AI, semuanya ada mesej-mesej positif untuk beri semangat kepada adik-adik pelajar dan sesiapa sahaja yang perlukan dorongan. Setiap gambar ini disertakan kata-kata yang boleh menaikkan semangat, sesuai untuk korang baca bila tengah rasa down atau penat belajar.

Akhir kata, aku nak ucapkan good luck kepada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Ingat, kejayaan bukan sahaja diukur dengan keputusan, tapi dengan usaha yang korang curahkan. Jangan lupa rehat, makan makanan berkhasiat dan paling penting, jangan lupa solat dan berdoa. 

Semoga semua usaha korang diberkati dan membuahkan hasil yang membanggakan. Teruskan melangkah, wira-wirawati masa depan.










WW : Ada Cahaya di Hujung Sana


Thursday, December 5, 2024

Hari Ini di Muzium : Membantu Pelajar Membuat Penyelidikan

Hari ini, suasana di Muzium Sejarah Melaka sedikit berbeza. Bukan sahaja kerana pengunjung harian yang datang untuk melihat pameran, tetapi juga kehadiran beberapa pelajar universiti yang datang untuk melakukan penyelidikan. Sebagai seorang yang ditugaskan untuk membantu pelajar-pelajar ini, aku mengambil tanggungjawab ini.

Pelajar pertama yang tiba adalah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dia sedang menjalankan kajian untuk tesisnya mengenai koleksi seramik di muzium ini. Seramik ini bukan sekadar barang perhiasan ia membawa kisah tentang perjalanan perdagangan, pengaruh budaya dan teknologi masyarakat dahulu. Aku menerangkan kepada dia beberapa koleksi istimewa kami, termasuk seramik yang berasal dari zaman penjajahan seperti Belanda dan Inggeris dan juga yang dibawa masuk dari luar negara seperti China. Tidak lupa juga dengan seramik-seramik tempatan.

Pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak lama kemudian, dua orang lagi pelajar tiba. Mereka dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan fokus penyelidikan mereka adalah tentang Curatorship and Galleries Studies. Aku kongsikan pengalaman bagaimana muzium ini menguruskan koleksi dan merancang pameran serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan artifak sentiasa dalam keadaan baik. Perbincangan kami turut menyentuh tentang bagaimana kakitangan muzium bekerja untuk menjadikan muzium lebih menarik kepada pelawat.

Pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor

Sepanjang hari membantu mereka, aku terfikir betapa pentingnya peranan muzium sebagai sumber ilmu. Pelajar-pelajar ini bukan sahaja datang untuk mengumpul data, tetapi mereka juga membawa semangat untuk menyelidik dan memahami subjek yang dipelajari dengan lebih mendalam. Aku kagum dengan kesungguhan mereka yang datang dari jauh dan berharap maklumat serta pengalaman yang dikongsikan tadi dapat membantu mereka menyiapkan tugasan dengan baik.

Jika anda seorang pelajar yang juga berminat untuk meneroka koleksi di Muzium Sejarah Melaka, datanglah. Kami sentiasa terbuka untuk membantu anda menjadikan penyelidikan anda lebih bermakna. Semoga usaha semua pelajar ini membawa manfaat kepada pemahaman sejarah, kebudayaan dan warisan kita.