Showing posts with label Wordpress. Show all posts
Showing posts with label Wordpress. Show all posts

Thursday, May 13, 2021

DOMAIN DAN KELEBIHANNYA

Andai ada yang perasan, domain bagi blog saya telah bertukar. Alamat untuk blog ini bukan lagi [dot] blogspot [dot] com tetapi sekadar [dot] com sahaja. Justeru, selepas ini sekiranya mahu mencari blog saya cukup sekadar menaip fairusmamat.com.



Sejak tahun 2009 saya menulis blog, tidak pula saya menyangka untuk mempunyai domain sendiri. 2021 menjadi sejarah apabila saya mempunyai domain sendiri dan ini semestinya menjadi satu motivasi untuk terus menulis blog dengan lebih aktif.

Sebenarnya saya terpengaruh dengan entri yang diterbitkan oleh blogger SA. Beliau bercerita tentang domain blognya yang telah diperbaharui. 

Jujurnya, saya ini tidaklah berapa mengerti sangat bab teknikal tentang blog. Domain pun saya kurang faham. Namun, apabila terdetik untuk memahami tentang domain, saya dapati ia amat bagus dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Sebelum mengambil keputusan untuk melanggan domain, saya telah membuat penelitian dari beberapa halaman maya untuk mendapatkan kepastian. Saya turut mencari review pengguna berkaitan produk dan pembekal domain yang boleh dianggap antara yang terbaik.

Setelah membuat pertimbangan, saya telah memilih untuk melanggan domain melalui KLNet Network. Bayaran langganan tahunannya antara yang termurah, iaitu sekitar RM60.00 setahun. Walaupun antara termurah namun perkhidmatan yang diberikan begitu cepat. Setelah membuat pembayaran, kurang 15 minit blog saya telah dikemaskini dengan domain yang dilanggan.

Apa kelebihan mempunyai domain sendiri? Antara kelebihan yang paling utama ialah Search Engine Optimization (SEO). Blog yang mempunyai domain sama ada [dot] my, [dot] com atau [dot]com [dot] my dilihat lebih mesra pencarian. 

Apabila kita membuat satu-satu carian URL yang mempunyai domain ini yang akan berada di atas berbanding dengan URL yang mempunyai [dot] blogspot, [dot] Wordpress dan sebagainya. Secara tidak langsung, blog kita lebih dikunjungi berbanding sebelumnya. Ini saya boleh sahkan, kerana baru sahaja saya menukar domain, dalam masa yang singkat kunjungan ke blog saya meningkat lebih 50% dari sebelumnya. 

Kelebihan kedua ialah URL blog lebih pendek dan ringkas. Kalau dahulunya blog saya fairusmamat.blogspot.com tapi kini hanya perlu menaip fairusmamat.com. Tiadalah pendek sangat, tapi pendeklah juga.

Hanya dua kelebihan ini sahaja yang dapat saya gariskan berdasar pengalaman singkat saya yang baru melanggan domain. Secara peribadi, saya amat menggalakkan penggunaan domain oleh para blogger atau pada mereka yang menjadikan blog sebagai medium jualan atas talian agar blog akan kelihatan lebih berwibawa dan dipercayai kerana mempunyai domain.

Ps: Google Adsense saya kena review semula pula oleh Google. Paling lewat 2 minggu katanya.. 😔