Wednesday, May 27, 2020

EVOLUSI BANGUNAN STADTHUYS


1650-an 
Bangunan Stadthuys yang bermaksud dewan bandaran telah dibina oleh pemerintah Belanda bagi menempatkan pusat pentadbiran pemerintah dan kediaman gabenor Belanda di Melaka. 

1820-an 
Apabila British menjajah Tanah Melayu, bangunan Stadthuys terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pemerintahan. Semasa zaman ini, bangunan Stadthuys telah ditokok tambah bangunannya selari kehendak dan keperluan semasa. 

1933 
Persatuan Sejarah Melaka yang diketuai presiden pertamanya B.W.Elles yang juga seorang Residen Kaunselor bagi negeri Melaka telah menubuhkan Muzium Sejarah Melaka (Melaka Historical Museum) di dalam salah sebuah bilik yang terdapat di dalam bangunan Stadthuys. 

1957 
Setelah negara mencapai kemerdekaan, bangunan Stadthuys terus digunakan sebagai pusat pentadbiran menempatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan. Antara pejabat kerajaan yang terdapat di bangunan ini ialah pejabat Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pentadbiran Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Buruh, Jabatan Pendaftaran dan lain-lain. 


1980 
Apabila pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan berpindah ke Jalan Hang Tuah. Bangunan ini tidak dibiarkan kosong, ia kemudian menempatkan pejabat-pejabat badan berkanun negeri Melaka. Selain itu, pejabat Antikuiti Wilayah Selatan juga telah ditempatkan di dalam bangunan ini. 

1982 
Pada akhir tahun 1982, ruang utama bangunan Stadthuys telah dijadikan sebagai muzium sejarah sementara bagi mengantikan Muzium Melaka yang terletak di Jalan Kota. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri merancang untuk memulihara keseluruhan bangunan Stadthuys untuk dijadikan sebuah muzium yang besar bagi negeri Melaka. Pada 17 Disember 1982, YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan batu asas Muzium Sejarah Melaka. Perletakkan batu asas ini kemudiannya menjadi titik permulaan bermulanya peranan bangunan Stadthuys sebagai Muzium Sejarah Negeri Melaka. 

1986 
Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kerja-kerja restorasi keseluruhan bangunan Stadthuys. Kerja-kerja restorasi dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan bahagian atas dan luar bangunan. Manakala fasa dua pula merangkumi bahagian dalam dan kekuat bangunan. Kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1990. 

1991 
Bermulanya kerja-kerja susun atur pameran di dalam bangunan ini. Pada awalnya dicadangkan muzium ini dinamakan Muzium Sejarah Melaka, namun disebabkan ruangnya yang luas yang boleh menempatkan pelbagai pameran lain berkaitan negeri Melaka, ia dinamakan Muzium Sejarah dan Etnografi. 

1992 
Muzium Sejarah dan Etnografi telah dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. 

2009 
Bangunan Stadthuys telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara.

Friday, May 22, 2020

BUAH MALBERI

Alhamdulillah. Banyak pula buah malberi yang aku tanam belakang rumah yang tanahnya sekangkang kera.

Lama jugalah tanam pokok malberi ni, tapi hasil buahnya kurang. Namun selepas aku baca perkongsian seseorang individu di laman sosial, Alhamdulillah buahnya menjadi, banyak dan lebat.




Ni aku petik sedikit semalam untuk buat ulam dimakan bersama nasi.

Untuk lebarkan buah malberi, senang saja. Mula-mula pangkaslah dahan-dahan pokok tersebut. Beri togel semula pun tak mengapa.

Kemudian, daun-daunnya pun cabutlah sampai togel.. Dalam 2, 3 hari akan kelihatan buah-buah malberi mula tumbuh.. Daun-daun pun akan tumbuh semula.

Apabila daun dah mula keluar, ulangi semula dengan membuang daun-daun yang tumbuh. Jangan risau, pokok tak mati punya.

Buatlah rutin macam tu, Insyaallah banyak buahnya nanti. Aku dah cuba, pasal tu aku percaya.

Tuesday, January 29, 2019

DONDANG SAYANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam nuat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dondang Sayang atau juga dikenali sebagai Dendang Sayang merupakan lagu tradisi orang Melaka yang didendangkan sejak 500 tahun dahulu. Terdapat dua pendapat tentang kewujudan Dondang Sayang iaitu berasal dari Pulau Penyengat, Riau dan Melaka iaitu di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dirujuk daripada nyanyian berpantun yang diiringi alatan muzik seperti rebana dan kecapi seperti yang tertulis di Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat Al-Nafis. 

Perkataan dondang atau dendang bermaksud bernyanyi untuk bersuka-suka atau menghiburkan hati manakala sayang membawa maksud kasih iaitu melakukan geraklaku yang lembut dan penuh mesra. Dari dua pengertian perkataan ini maka Dondang Sayang membawa maksud sebagai lagu kasih atau nyanyian kasih. 

Alat-alat muzik tradisi yang digunakan untuk menghasilkan irama Dondang Sayang ialah biola, rebana dan tetawak atau gong kecil. 

Biola adalah salah satu alat muzik yang digunakan dalam Dondang Sayang

Dondang Sayang secara tradisinya mempunyai empat orang pemuzik yang terdiri daripada seorang pemukul tetawak atau gong kecil, dua orang pemain rebana dan seorang pemain biola yang juga berperanan sebagai penyanyi. 

Pantun merupakan nadi utama dalam Dondang Sayang. Bait-bait pantun yang dinyanyikan merupakan pelengkap kepada irama ini. Kebiasaannya pantun dinyanyikan dalam keadaan spontan, bersahaja dan juga mencuit hati serta menyeronokkan baik bagi penyanyi mahupun pendengar. 

Irama Dondang Sayang begitu unik di negeri Melaka kerana bukan sahaja dinyanyikan oleh masyarakat Melayu malahan menjadi kesukaan oleh orang Portugis seterusnya irama tradisi ini turut dinyanyikan oleh masyarakat Chetti dan Baba Nyonya di mana masing-masing sangat fasih berbahasa Melayu. 

Kini Dondang Sayang telah mulai kembali menjadi bualan dan mendapat tempat di mata dunia apabila telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara. 

Pengiktirafan ini telah berikan pada 29 November 2018 semasa persidangan UNESCO di Mauritius di bawah Konvensyen Lindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (Convention for the Safeguarding Intangible Cultural Heritage 2003).