Thursday, December 29, 2011

KATA SPONTAN NO. 1 : JANGAN MASUK TANDAS






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya saya ada terperasan dan terbaca sesuatu di MukaBuku baru-baru ini yang membuatkan saya sedikit ketawa. Tak pastilah, apa yang ditulis ini benda baru atau lama, tetapi bagi diri saya ia adalah baru.

Pernyataannya sedikit lebih kurang seperti ini :

"Untuk makluman, pada 31 Disember 2011 anda dinasihatkan agar tidak ke tandas pada pukul 11.59 malam kerana anda akan keluar semula pada tahun hadapan"

Hehehe.. Lawak ke?

Wednesday, December 28, 2011

CAMERON HIGHLANDS.. TUNGGUUUU...





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Teringat pula pada cerita KL Menjerit masa Rosyam Noor menjerit Kuala Lumpur, Tungguuuu... Masa dia berhajat ke Kuala Lumpur. Tetapi pada entri ini saya letakkan tajuk Cameron Highlands.. Tungguuu... kerana kebetulan saya baru pulang dari Cameron Highlands.

Sebenarnya saya tidaklah gemar sangat untuk bercerita tentang hal peribadi, tetapi kadangkala rasa ingin berkongsi tentang sedikit pengalaman saya di sana. Saya pergi bersama isteri dan anak dan tidak lupa juga ayah bonda dan adik beradik yang lain. Kami menyewa "apartment" memandangkan jumlah kami yang ramai.


Inilah kali kedua saya jejakkan kaki di Cameron Highlands selepas yang pertamanya saya melawat ketika rombongan sekolah semasa darjah enam. Nampaknya, agak berbeza sedikit suhunya jika dibandingkan semasa dahulu. Kalau dahulu seingat saya, apabila bercakap mulut akan "berasap" kerana sejuk, tetapi kini, tidak lagi. Bayangkan, di tengah malam sudah mulai rasa hangat. Saya yang mulanya berpakaian baju dan berselimut tebal akhirnya membuka pakaian tebal dan selimut.

Rombongan darjah 6. Penulis bercermin mata.. ;)

Kesesakan juga melampau. Saya tidak pastilah sama ada kesesakan ini terjadi semasa cuti umum atau setiap hari. Saya terperangkap beberapa kali apabila hendak ke pasar malam di situ. Terperangkap hampir 2 jam. Malam yang pertama tidak dapat pergi kerana kelewatan, keesokan harinya kami keluar awal untuk menempuh kesesakan dan akhirnya tiba juga di pasar malam tersebut.

Huh.. Memang teruk kesesakannya...

Seperti biasa, di Cameron Highlands pastinya kita akan pergi melawat ke Ladang Teh yang mana sudah memang "habitat" teh untuk hidup segar di tanah tinggi.



Selain dari melawat ladang teh, tidak lupa juga untuk melawat ke tempat penanaman bunga-bungaan dan sayur-sayuran. Ingatkan dapat rasa memetik buat strawberi, tetapi malangnya tidak dapat kerana kekurangan buah. Jadi, hanya melihat-lihat saja persekitaran yang dipenuhi pelbagai bungaan dan sayuran.


Erm.. Sesiapa yang pernah pergi ke Cameron Highland tu, bolehlah berkongsi-kongsi cerita di sini. Bagi saya, ia kurang dari segi keseronokan, mungkin saya lebih terdedah dengan kesesakkan lalu lintas dan menyebabkan saya sedikit bengang, yang lain itu kira okeylah. Dapat menghirup udara segar, dapat melihat kehijauan, mendengar kicauan burung dan unggas.

Muhammad Fahim kesayangan...

Saya dan isteri...

(Ps : Nak pergi pastikan brek kereta dalam keadaan baik. Tayar juga kena pastikan dalam keadaan baik. Di sana memandu di kawasan berbukit, tayar memerlukan cengkaman yang baik)

Friday, December 23, 2011

HILANGNYA KESOPANAN BUDAK MELAYU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Melayu oh Melayu... Kemanakah hilangnya kesopanan yang ada pada jati diri Melayu. Mana hilangnya ketatatertiban Melayu. Melayu itu unggul, penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, tetapi kini semacam akan hilang saja semua ini. Orang Melayu ini baik, tetapi mengapa sikap baik ini semacam bakal hilang? Sekiranya hendak tahu Melayu ini baik atau tidak, boleh baca entrinya DI SINI.

Kalau dahulu Melayu penuh dengan kesopanan, tetapi kini kian hancur. Tiada segan dan silu. Anak dara orang dipeluk dan diciumnya dikhalayak orang ramai tanpa ada perasaan malu malah hanya merelakan. Yang lebih dahsyat lagi, sanggup merakamkan aksi-aksi berahi yang akhirnya tersebar luas di telefon bimbit dan internet. Memang hilang kesopanan Melayu sekarang.

Tetapi sebenarnya, bukan ini yang saya mahu ceritakan dalam entri ini. Penulisan entri ini terhasil daripada pengalaman saya ketika bersembahyang Jumaat pada tengah hari tadi. Kebetulan saya ada mesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ayer Keroh, jadi saya berkesempatan bersembahyang Jumaat di masjid yang berdekatan dengan rumah saya.

Apa yang berlaku ini membuatkan saya berfikir, bahawa benarlah kesopanan dan kesusilaan budak Melayu sekarang sudah berkurangan. Hendak diceritakan, saya duduk bersila seperti biasa di dalam masjid untuk mendengar khutbah Jumaat. Kebetulan saya duduk 3 atau 4 baris dari saf belakang. Jadinya orang-orang lain yang mahu ke saf hadapan akan melangkah melalui lutut saya dan lutut orang di sebelah saya. Apa yang saya perhatikan, orang-orang dewasa dan berumur pasti akan membongkokkan badan semasa hendak berlalu di sebelah dan hadapan saya.

Namun begitu, apa yang sebaliknya ada 3 ke 4 orang budak-budak dalam lingkungan sekolah menengah dan pemuda yang berlalu antara lutut saya dan hadapan saya dengan "selamba" saja berlalu. Saya bukanlah minta dihormat. Saya memang tidak perlukan orang hormat saya, tetapi apa yang saya lihat, adab, kesopanan dan kesusilaan budak-budak Melayu kini kian pudar. Tak macam dulu.

Nak dijadikan cerita lagi, pada mulanya ada seorang pakcik terlanggar lutut saya. Dengan segera dia memegang lutut saya dan saya secara spontan memegang betis dia tanda memohon maaf. Tapi sebaliknya berlaku apabila seorang budak lingkungan sekolah menengah bukan hanya seperti melanggar tetapi memijak lutut saya dan terus berlalu seperti tiada apa-apa berlaku. Saya rasa, kamu dapat membayangkannya.

Kalau kita lihat filem P. Ramlee yang dulu-dulu yang memaparkan latar belakang masyarakat Melayu, sudah pastinya mengambarkan orang-orang Melayu ini tinggi tahap kesopanan dan adapnya. Orang Melayu cakapnya berlapik, setiap berbuatannya bersopan. Itulah Melayu. Namun kini, tinggal sejarah. Mungkin bakal lenyap.

Akhir kata, kembalilah anak-anak Melayu ke arah kesopanan. Jaga tatasusila kita. Jangan bersikap kurang ajar kepada orang yang lebih dewasa daripada kita. Sesungguhnya orang yang terdahulu itu lebih paham dari apa yang kita faham. Jadi, belajarlah menghormati orang tua.