1 Mei merupakan tarikh sambutan Hari Pekerja disambut seluruh dunia sebagai meraikan golongan pekerja. Dahulu di Malaysia, Hari Pekerja dikenali sebagai Hari Buruh.
Pada tahun 2021 ini, tema Hari Pekerja ialah Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ketika pandemik covid-19 ini pelbagai cabaran yang dihadapi oleh golongan pekerja tak kira di sektor awam atau swasta. Penerimaan gaji yang minima adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh golongan pekerja, lebih membimbangkan adalah pembuangan pekerja akibat majikan tidak mampu lagi mengoperasikan syarikat.
Bagi sektor awam mungkin tidak banyak terjejas, namun terdapat agensi badan berkanun yang berorientasikan keuntungan telah turut terjejas akibat pandemik ini. Lantas, pekerja menjadi mangsa pemotongan emolumen tertentu seperti tiada elaun kerja lebih masa akibat keterbatasan waktu bekerja, sedangkan pekerja mengharapkan elaun tersebut untuk menampung kos perbelanjaan bulanan.
Dalam keadaan dunia penuh cabaran ini, golongan pekerja perlu lebih berjimat cermat. Apa-apa boleh berlaku. Tidak mustahil kakitangan awam juga boleh diberhentikan kerja untuk memperkecilkan organisasi sebagai usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Pihak kerajaan juga perlu mengkaji semula pembayaran gaji minimum pagi pekerja awam dan swasta. Gaji minimum di negara ini masih lagi di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan bandar. Bagaimana pihak kerajaan mahu mengatasi masalah kemiskinan ini sedangkan gaji minimum yang ditetapkan turut berada pada tahap kemiskinan. Justeru, gaji pekerja di Malaysia wajib dinaikkan. Orang kita sanggup bekerja sebagai pekerja am di Singapura, pemetik buah-buahan di Australia dan New Zealand kerana gaji di sana lebih tinggi.
Pihak kerajaan atau syarikat perlu melihat pekerja sebagai aset. Mereka ini yang menggerakkan organisasi. Tiada mereka, operasi organisasi boleh terganggu. Pekerja bukanlah hamba, layanlah dengan baik dan sewajarnya. Mana yang menunjukkan prestasi yang baik, berikan ganjaran setimpal. Janganlah kerah tenaga pekerja tak tentu pasal namun tak diberikan ganjaran yang seadanya.
Kepada majikan dan ketua-ketua, hargailah pekerja anda. Mereka bukan hamba, anda sebenarnya menggunakan akal fikiran dan kudratnya untuk memacu organisasi ke arah kemajuan dan kecemerlangan.
Akhir kata, selamat hari pekerja dan selamat bercuti. HIDUP PEKERJA!!!