Monday, October 4, 2010

LEBIH BAIK BODOH DARI PANDAI

Ramai orang suka jadi pandai dari bodoh. Tapi adakah hanya menjadi pandai seseorang itu akan dikenali, dikasihi atau dihormati? Ataupun menjadi bodoh itu seseorang akan tidak dikenali, dibenci atau dihina?


Pandai dari aspek pelajaran, pengurusan, teknikal dan lain-lain perkara yang baik sememangnya harus diberi perhatian. Namun ada juga kepandaian yang tidak diperlukan. Antara kepandaian yang tidak seharusnya ada pada diri seseorang ialah : -


1. Pandai berbohong / menipu

2. Pandai mencuri / merompak / menyamun

3. Pandai mengata / menfitnah / mengumpat

4. Pandai membunuh

5. Pandai merogol / memperkosa / meliwat

6. Pandai merasuah / mengambil rasuah

7. Pandai yang lain-lain yang tidak sepatutnya.


Alangkah aman dan sentosanya dunia kalau seseorang : -


1. Bodoh berbohong / menipu

2. Bodoh mencuri / merompak / menyamun

3. Bodoh mengata / menfitnah / mengumpat

4. Bodoh membunuh

5. Bodol merogol / memperkosa / meliwat

6. Bodoh mengambil rasuah / menerima rasuah

7. Bodoh yang lain-lain yang sepatutnya.


Tetapi dalam konteks keselamatan seperti diamalkan oleh pihak polis atau tentera, kepandaian kepada perkara-perkara yang bodoh adalah diperlukan untuk mendapatkan maklumat dan sebagainya. Ada kalanya kepandaian dalam perkara yang bodoh ini sangat diperlukan dalam dunia penyiasatan, propaganda dan sebagainya.


Persoalannya sekarang adakah kita hendak menjadi pandai, bodoh, memandai-mandai, atau kebodoh-bodohan?



SAYANGI MAT REMPIT PART 2

Baru-baru ini aku ada mengeposkan entry berkenaan Mat Rempit yang basah ketika hujan. Hari ini aku mahu menceritakan pula perihal Mat Rempit yang bersikap Kamikaze. Apa yang Kamikazenya? Yang Kamikazenya ialah aksi-aksi Mat Rempit di jalanan yang tidak sayangkan nyawa mereka.


Nak diceritakan, satu malam aku hendak pergi bermain futsal, dalam perjalanan dan sampai ke suatu simpang, dengan tak semena ada dua biji motorsikal terus keluar tanpa mempedulikan aku yang begitu hampir dengan mereka. Terperanjatlah juga aku masa tu. Itu tak kisah lagi, sebuah motorsikal yang ditunggang Mat Rempit tu terus melakukan aksi wiley sambil membawa penumpang di belakangnya. Peh, berani sangat mereka ni. Aku dengan rasa hormatnya memperlahankan kereta dan memerhati saja Mat Rempit tu wiley beberapa kali.


Aku perlahankan kereta sebenarnya bukan kerana hormatkan dia, tapi aku sayangkan nyawa dia. Seandainya dia terjatuh, pastinya aku akan gelek dia di tengah jalan. Aduhai.. Wahai Mat Rempit sayangilah nyawa anda. Kami semua sayangkan anda, anda masih muda, perjalanan anda masih jauh.


Kalau nak melakukan aksi-aksi lagak ngeri macam itu, seharusnya Mat-Mat Rempit ini melakukan dengan cara profesional, buatlah di Fun Fair ke, di Sarkis ke, di suatu karnival ke, barulah orang lain kagum. Duit pun dapat. Dapat jadi terkenal. Ini tak, buat aksi di jalanan. Kalau jatuh, mati. Orang akan gelar mati katak. Mak bapa juga yang susah.


Cukuplah wahai Mat Rempit. Cukuplah dengan hanya itu sahaja yang dipaparkan kepada kami, kami tak kagumpun melihat aksi anda di jalanan. Malahan ada yang menyampah melihat anda. Tapi apa-apapun, kami semua sayangkan nyawa anda. Sayangkan keselamatan anda.




HINDARI AEDES CEGAHI DENGGI

Penyakit Demam Denggi sangat serius menular dalam masyarakat kita sekarang, lebih-lebih lagi di kawasan bandar dan kawasan perumahan. Ini berlaku kerana terdapatnya bekas-bekas takungan air yang membolehkan nyamuk Aedes membiak. Dengan adanya bekas takungan untuk Aedes membiak, ia akan menjadikan sesuatu kawasan itu akan terdedah dengan Demam Denggi akibat gigitan nyamuk tersebut.


Pelbagai-bagai langkah yang diambil oleh pihak kerajaan mahupun swasta untuk mengatasi masalah ini. Pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sering mengambil tindakan menyembur asap apabila sesuatu kawasan dikesan mempunyai aduan Demam Denggi. Adakah kaedah ini berkesan, sedangkan jangkitan telah berlaku lalu langkah mencegah baru diambil? Tindakan ini dilihat ada kewajarannya, tetapi langkah awal seharusnya diambil oleh setiap penduduk di sesuatu kawasan itu sendiri.


Apa penduduk perlu lakukan? Selaku penduduk atau penghuni di suatu kawasan, kita hendaklah memastikan persekitaran kita bersih dan bebas dari ancaman nyamuk Denggi. Ini boleh dilakukan dengan membuang atau menutup segala bekas yang boleh menakung air bagi mengelakan nyamuk Aedes membiak. Kawasan-kawasan takungan air yang biasanya terdapat di dalam dan persekitaran rumah ialah alas pasu bunga, kolah mandi, longkang, tin kosong, bekas plastik, tayar dan sebagainya. Seeloknya bekas-bekas ini dibersihkan atau dibuang sekiranya tidak diperlukan.


Nyamuk Aedes ini tidak mengira siapa mangsanya, sesiapa saja yang hampir dengannya pasti digigit dan menyebabkan seseorang itu akan mengalami Demam Denggi yang berkemungkinan membawa maut.


Statistik Demam Denggi yang membawa maut di dalam negara kita ini begitu tinggi juga. Saban tahun ada sahaja mangsanya samada dapat dirawat ataupun maut yang menanti. Justeru itu, marilah bersama-sama memastikan persekitaran rumah kita sentiasa bersih dan bebas dari nyamuk Aedes.