Showing posts with label Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Indonesia. Show all posts

Tuesday, December 6, 2022

Kembali ke Tanah Seberang

Apabila tiba hujung minggu, aku suka untuk berkemas-kemas di belakang rumah, menyapu daun-daun kering yang berguguran, mencantas dahan-dahan yang menjalar tak tentu hala, membaja pokok dan sebagainya. Itulah cara aku mengeluarkan peluh. Tidak seperti dahulu. Suka bersukan, jogging, bermain bola sepak dan segala macam jenis sukan. Kini, nak dibuat semua itu, sudah tidak larat. Berbasikal santai-santai masih bolehlah juga.

Usai berkebun sekangkang kera di belakang rumah, aku mencapai telefon bimbit yang aku charge sambil melayari YouTube yang memainkan lagu-lagu irama rock kapak. Satu persatu pesanan melalui aplikasi Whatsapp aku baca. Dalam aku scroll pesanan, aku terhenti di satu pesanan dari salah seorang bos di jabatan aku.

"Standby passport, nanti pergi Jakarta". Huh, masaklah. Baru lagi balik dari Sarawak tempoh hari, ni nak ke seberang pula. Apa lagi ayat yang aku mahu susun baik-baik untuk memberitahu isteriku. Takkan nak buat seperti tips sebegini lagi. Haha...

Sebenarnya, aku dah maklumkan pun pada "mem" besar. Macam biasalah, dah muncung macam hari tu juga. Aduhai. Payah betullah. Sudahpun 2 kali aku maklumkan, tapi tetap dingin je tindak balas daripadanya. Tapi takpe, nanti-nanti oklah tu. 😅😅😅


Passport telah dalam proses renew. Sudah tamat tempoh Ogos 2022 lalu. Oh ya, untuk apa aku ke Jakarta? Bolehlah kalian jengok di entri INI

Monday, June 29, 2015

BUTANG BAJU MELAYU KE SEBERANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Mesej di atas adalah perbualan aku bersama seorang ketua jabatan dari Pekan Baru, Indonesia. Apa yang dibualkan ialah untuk meminta tolong aku membeli dan mengirimkan 14 set butang baju Melayu.

Ini bukan kali pertama, sudah kali kedua beliau meminta tolong dari aku. Aku pun memang tak kisah. Memang suka menolong. Beliau kalau datang ke sini pun, aku yang bawakkan jalan-jalan di Melaka. 

Sebenarnya, mereka di sana pun berbaju Melayu semasa bekerja. Alhamdulillah, mereka suka memakai butang baju Melayu yang dibeli dari Malaysia. 

Tuesday, November 22, 2011

BANGGA JADI ANAK HARIMAU, EH.. ANAK MALAYSIA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya maka perlawanan akhir bola sepak di kejohanan Sukan Sea telah dimenangi oleh Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bola sepak Malaysia mempunyai kelas yang tersendiri dan kita adalah yang terbaik di Asia Tenggara.

Penulisan ini mungkin agak lewat berbanding dengan kecekapan penulis-penulis blog yang lain yang terus meluahkan rasa kegembiraan mereka di dalam blog setelah tamat perlawanan. Tapi percayalah, semangat Harimau Malaya tetap ada di dalam hati saya. ;)


Apabila dikenang kembali perlawanan malam tadi, memang boleh dikatakan ianya 50-50. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjadi juara. Namun, kelebihan memihak kepada Malaysia apabila berjaya dalam sepakan penalti.

Kepujian harus diberikan kepada semua pemain Harimau Malaya kerana berjaya mengembalikan maruah dan semangat rakyat Malaysia tatkala kita dikeji dan dihina oleh "segelintir" penyokong Indonesia.

Apa-apapun perlawanan malam tadi memang "lain macam" sedikit. Semangat kita yang menonton di rumah inipun amat terasa sekali. Dari mula perlawanan hinggalah tamat. Debaran dan semangatnya jelas terasa. Rasa macam nak gugur jantung pun ada. Syukurlah... Syukurlah Malaysia menang.

Malaysia Boleh!!!

Thursday, October 13, 2011

MALAYSIA DIHENTAM LALU DISANJUNG





Baru-baru ini kedutaan Malaysia di Indonesia telah diserang oleh kira-kira seramai 650 orang dari kumpulan NGO Forum Betawi Rempug (FBR). Dengan biadapnya mereka telah membaling objek seperti batu, kayu dan telur ke arah kedutaan kita sehinggakan mereka berani mahu merempuh masuk ke dalam kedutaan Malaysia.

Mereka bertindak demikian kerana sebagai bantahan yang kononnya Malaysia telah mengambil 1000 hektar tanah Indonesia di Kalimantan Barat secara haram. Namun begitu, kerajaan Malaysia menafikannya dan telah disokong juga dengan beberapa menteri Indonesia yang menyangkal dakwaan tersebut.

Tak habis lagi, hari ini dalam berita ada satu lagi kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai laskar merah putih juga telah membuat tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Malaysia di Indonesia dengan lengkap berpakaian seperti anggota tentera. Mereka nampak terlalu berani sehinggakan ada sepanduk yang tertulis "Kami Siap Berperang".

Erm.. Inilah terjadi sekiranya emosi dipengaruhi syaitan. Asyik-asyik mahu fikir marah, gaduh, perang dan pelbagai perkara yang tidak baik. Tidak mahu berfikir secara positif dan membawa hal ini dengan cara perundingan. Dengar cerita pula, hal ini sebenarnya daripada masalah politik dalaman Indonesia lantas Malaysia dijadikan mangsa untuk mengangkat hero mereka.

Tak mahu cerita lebih-lebih, nanti jadi semakin panas pula. Apa-apapun, disebalik tentangan beberapa kerat warga Indonesia di kedutaan Malaysia, ada juga berita baik untuk rakyat Malaysia. Apanya? Tak tahu ke yang Mohd Safee Sali, pemain bolasepak dari Malaysia yang bermain di Indonesia untuk Pelita Jaya FC bakal dilantik sebagai ketua pasukan. Wah, memang hebatlah Safee Sali. Menang benarlah anda layak menjadi wira Malaysia.

Cayalah Safee Sali. Malaysia Boleh...




Waduh pak... Rame bangat warga Indonesia menyokong Safee Sali. Makasih ya pak...

Sunday, March 6, 2011

MOHD SAFEE SALI MENJARINGKAN GOL BUAT PELITA JAYA FC

Penyerang Pelita Jaya FC dan juga pemain kebangsaan Malaysia, Mohd Safee Sali telah membuktikan pemergiannya ke kelab Indonesia adalah begitu bermakna kerana telah berjaya menjaringkan gol di kemunculan sulungnya di Pelita Jaya FC.

Gambar : Google

Pelita Jaya FC yang sedang menduduki tempat tercorot dalam Liga Super Indonesia telah membenam Srivijaya FC dengan jaringan tunggal Mohd Safee Sali yang membolehkan kelab tersebut memenangi perlawanan dengan jaringan 1-0.

Dalam keadaan bola sepak Malaysia sedang menjadi perhatian setiap warga Malaysia, kecemerlangan Mohd Safee Sali di Pelita Jaya FC pastinya turut dirasai. Selain membantu Pelita Jaya FC mencipta kemenangan, sudah pasti nama Malaysia juga bermain di bibir peminat bola sepak di Indonesia.

Tahniah diucapkan kepada Mohd Safee Sali, semoga terus cemerlang di perantauan. Jadikan pengalaman bermain di seberang sebagai bekalan berguna untuk memantapkan lagi diri sendiri dan pasukan Malaysia. Syabas diucapkan.



Monday, January 24, 2011

KISAH DISEBALIK KEMENANGAN LEE CHONG WEI

Gambar : Makcik Google

Tahniah diucapkan kepada pemain perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kerana sekali lagi mengharumkan nama negara dengan kemenangan ke atas pemain Indonesia, Taufik Hidayat di Kejohanan Terbuka Malaysia Super Series 2011.

Kemenangan Malaysia dalam perseorangan lelaki adalah memang seperti yang telah diramalkan dengan prestasi Lee Chong Wei berada di tahap terbaik. Apa yang hendak dibicarakan ialah bukan sekadar kemenangan, tetapi tentang penonton.

Kita mungkin terlupa sejenak tentang gelagat penyokong Indonesia ketika pasukan bolasepak negara mahu bertantang ke Indonesia dalam perlawanan akhir kedua Piala Suzuki. Kita mendapat provokasi yang hebat sehinggakan tiada penyokong Malaysia yang mengibarkan bendera Malaysia di stadium Pada perlawanan tersebut.





Namun, ia agak berbeza apabila perlawanan akhir badminton yang berlansung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam (23.01.11) di mana penyokong Indonesia bebas mengibarkan bendera bagi menyokong pemain mereka, bahkan mereka begitu senang duduk bersama-sama penyokong Malaysia yang langsung tidak menghiraukan kehadiran mereka.

Di sini dilihat masyarakat Malaysia memang suka dan cintakan kemakmuran dan ketenangan. Walaupun kita pernah diprovokasi dalam tempoh 1 bulan yang lalu di Indonesia, namun ternyata penyokong Malaysia tidak mudah melatah dan tidak bertindak melebihi batas ke atas penyokong Indonesia. Malahan mereka dilihat begitu akrab dan saling terhibur dengan perlawanan tersebut.

Adalah diharapkan agar keadaan baik seperti ini akan berterusan, tak kiralah di mana sesuatu perlawanan diadakan samada di Malaysia mahupun di Indonesia. Kita negara serumpun, duduk di Timur lagi, oleh itu jagalah tatasusila kita sebagai warga Timur yang sememangnya penuh dengan adab dan budi pekerti yang baik.

Wednesday, January 12, 2011

10 JUTA HARGA PERPINDAHAN MOHD SAFEE SALI?

Gambar : Cucu Google

Percaya atau tidak, kini Mohd Safee Sali penyerang berbisa Malaysia menjadi rebutan kira-kira 3 pasukan yang beraksi di Liga Super Indonesia. Mungkin inilah masa untuk pemain Malaysia menimba ilmu di negara luar dan menunjukan bakat yang sebenar.

Tapi apakah benar Safee Sali berharga 10 juta? Alangkah baiknya kalau begitu. Alangkah baiknya pemain-pemain dari Malaysia dibida-bida sepertimana bidaan yang diterima oleh pemain-pemain dari Eropah di musim perpindahan.





Tapi tak mungkin Safee Sali berharga RM10 juta, tetapi kemungkinan dibida dengan harga 10 juta Rupiah. Takpe Safee Sali, kalau benar 10 juta rupiah, mungkin lain kali boleh jadi RM10 juta pulak.. Kerja kena kuat sedikitlah.

Kepada pemain-pemain bolasepak negeri mahupun kebangsaan, taknak ke jadi seperti pemain-pemain Eropah? Gaji besar, kereta besar, rumah besar, semuanya besar Tanamkan azam ingin berjaya, mesti boleh. Pokok pangkalnya diri sendiri kena berubah untuk lebih maju. Nak lebih, usaha pun kenalah lebih.

Oklah, akhir kata... Malaysia Boleh.

Saturday, January 1, 2011

KITA TETAP BERDIAM WALAUPUN DIHINA

Dewasa ini negara kita Malaysia kerap dihina oleh negara jiran, Indonesia dengan pelbagai provokasi yang disebabkan aspek kebudayaan, kesenian malahan dalam bidang sukan.





Sudah pedih telinga mendengar, membaca dan mata memandang perihal penghinaan rakyat Indonesia ke atas Malaysia dengan perkataan seperti "Malingsia", "Malaysial", "Ganyang Malaysia" serta aksi-aksi rakyat Indonesia menghina lagu Negaraku dan membakar Jalur Gemilang. Apakah tindakan kita?

Adakah kedutaan kita sudah menghantar surat bantahan kepada negara Indonesia terhadap segala penghinaan yang dimainkan ini? Sampai bila kita mahu melihat kita dihina dengan sehina-hinanya? Jalur Gemilang dan lagu Negaraku merupakan lambang kedaulatan negara kita, maruah bangsa Malaysia, tetapi mengapa kita kerap berlembut dan mendiamkan diri apabila kita dihina sedemikian rupa?

Rangkaian stesyen televisyen negara kita juga seakan buta. Baik stesyen kerajaan mahupun swasta yang tetap memainkan drama-drama mahupun filem dari negara Indonesia. Kita hanya pandai "membaguskan" drama-drama dan filem dari Indonesia namun sebaliknya mereka menghina Malaysia dengan pelbagai cara.

Memang tidak dinafikan bahawa bukan semua rakyat Indonesia yang bersikap menghina Malaysia, tetapi sekiranya perlakuan seperti ini tidak ditangani dengan sempurna, ia akan merebak ke segenap rakyat Indonesia sehingga mendatangkan persepsi buruk terhadap Malaysia.

Aku bukannya anti Indonesia, tetapi aku tak suka melihat Indonesia menghina Malaysia sewenang-wenangnya tanpa ada apa-apa tindakan daripada kerajaan Malaysia. Diharap kerajaan kita dapat menyelesaikan isu-isu ini dengan bertindak dengan bijak seperti menarik rambut dalam tepung agar rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Wednesday, December 29, 2010

MARI BUAT RAMALAN BERAPA GOL MALAYSIA VS INDONESIA

Ambil gambar dari : mY@mm Today

Ini saja nak kongsi-kongsi ramalan masing-masing. Siapa yang teka tepat, takde hadiah kerana ini hanya suka-suka sahaja. Rasa-rasa siapa akan menang perlawanan akhir kedua Malaysia lawan Indonesia?





Tekaan aku : Seri

Jaringan : Malaysia 2 Indonesia 2

Korang pulak ramalkan camne?






Monday, November 15, 2010

PERKARA YANG DIINGAT SEMASA DI BATAM

Semasa aku di Batam, Indonesia inilah perkara-perkara yang aku ingati sehingga kini sebagai maklumat dan pengalaman aku sepanjang berada 5 hari di sana. (8 - 12 November 2010)

2800 Rp :
Semasa aku di sana, nilai matawang RM 1.00 bersamaan 2800 Rp. Aku sentiasa membuat perbezaan harga dalam nilai RM semasa hendak membeli barang. Ternyata harga barangannya tidak jauh bezanya, tetapi ada juga yang murah.

Supir :
Maksudnya ialah pemandu. Sebab aku sentiasa dibawa oleh pak supir yang telah disewa untuk membawa ke mana-mana destinasi yang hendak dituju. Pak supir juga berperanan membantu aku menawar harga semasa membeli belah.

Nagoya Hill :
Pusat membeli belah yang kerap sekali aku tuju. Rasanya hampir 3 kali aku pergi ke situ.

Lembaga Adat Melayu :
Bangunan yang menempatkan Galeri Melaka dan tempat berlangsungnya Seminar Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka.

Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka :
Buku-buku ini yang membuatkan aku ke Batam bagi melaksanakan pelancaran buku ini. Berkotak-kotak buku ini di bawa dari Melaka dan amat berat kerana buku ini tebal dan bersaiz besar.

TV3 :
Satu-satunya siaran dari Malaysia yang terdapat di hotel. Buletin Utama merupakan rancangan yang harus ditonton.

Bukan Empat Mata :
Rancangan Bual Bicara yang kerap aku tonton setiap malam. Rancangan ini bersiaran selama 2 jam. Memang kelakar dan menyeronokan.

Barack Obama :
Kebetulan masa aku di Batam, presiden Amerika Barack Obama juga membuat lawatan ke Indonesia. Jadinya kebanyakan siaran tv menyiarkan cerita tentang kedatangan Obama. Antara perkataan yang diucapkan oleh Obama yang masih aku ingat ialah "Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera", "Pulang Kampung Nih", Nasi Goreng, Bakso" dan "Indonesia Bagian Bagi Saya"

Swiss-Belhotel :
Hotel inilah tempat aku menginap selama 5 hari 4 malam.

Restoran Pak Datuk :
Restoran makanan Padang yang kerap sekali aku kunjungi. Makanannya memang enak-enak sekali.

Restoran Golden Prawn :
Restoran makan laut, ala-ala restoran terapung. 2 malam makan di sini, tapi aku tak suka sangat masakannya.

Jalan Raya :
Jalan raya di sini kurang lampu isyarat, banyak kenderaan menggunakan hon. Tetapi di sana adalah perkara biasa. Mereka sentiasa berhemah di jalan raya. Sekiranya hon dibunyikan, kenderaan akan memberi laluan dan sekiranya di suatu persimpangan yang tiada lampu isyarat, pemandu hanya perlu menghulurkan hadapan kenderaan dan kereta di hadapan pastinya akan memberikan laluan. Aku beritahu pemandu di sana, di Malaysia kalau orang hon-hon silap-silap dibalas dengan tunjuk penumbuk.

Galeri Melaka :
Galeri yang baru ditubuhkan di bangunan Lembaga Adat melayu, Batam. Kerana galeri inilah aku berada di Batam.

Walikota :
Banyak poster-poster dan Billboard sepanjang jalan raya yang memaparkan wajah-wajah calon wakikota dan wakil walikota kerana pada masa tersebut sedang giat kempen pemilihan walikota.

AXIS : Operator telefon bimbit yang aku gunakan di sana. Kalau aku roaming menggunakan MAXIS harganya agak mahal, jadi aku guna operator sana untuk berhubung ke Malaysia.

Melayu : Orang di sana juga bercakap dalam bahasa Melayu, berbaju Melayu dan mengatakan mereka adalah Melayu.

HPA : Syarikat Multi Level Marketing Malaysia yang aku perasan pusat jualannya terdapat di Batam. Aku sangat teruja kerana aku juga ahli HPA. :)

1 Jam : Perbezaan waktu Malaysia dan Batam ialah 1 jam. Pukul 8.00 malam Malaysia = pukul 7.00 malam Batam.




LIMA HARI DI BATAM

8 - 12 November yang lalu aku telah pergi ke Batam, Kepulauan Riau, Indonesia bersama 4 orang lagi dari jabatan tempat aku bekerja. Kedatangan aku ke Batam ialah untuk menghadiri Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-11, namun tujuan utama ke sana ialah untuk melaksanakan tugas-tugas Pelancaran Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka, Tradisi Agung Melayu dan juga Perasmian Galeri Melaka di Lembaga Adat Melayu, Batam.

Hari Pertama

Pagi bertolak dari Jetty Stulang Laut, Johor ke Terminal Batam. Perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit. Sampai di Batam sudah disambut oleh orang di sana dan terus ke bangunan Lembaga Adat Melayu, Batam (LAM) dan memunggahkan kotak-kotak berisi buku-buku, cenderahati, beg goodies dan sebagainya. Lepas tu terus makan di restoran makanan padang Pak Datuk.

Selepas makan terus sahaja ke hotel Swiss-Belhotel yang terletak di Jodoh. Lepak hotel sampai malam kerana belum ada aktiviti yang perlu dilakukan.

Hari Kedua

Pagi bersarapan di hotel lepas tu bersiap-siap ke Lembaga Adat Melayu, Batam untuk membantu dan memantau kerja-kerja menyiapkan Galeri Melaka yang dibuat oleh kontraktor. Pada masa ini, galeri masih belum siap sepenuhnya.

Pada petangnya pula, membantu pihak Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menyelaraskan kerja-kerja Seminar Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka, Tradisi Agung Melayu.

Malamnya pula pergi ke pusat membeli belah Nagoya Hill untuk jalan-jalan dan membeli belah. Aku beli baju dan keychain sahaja.

Hari Ketiga

Pagi selepas sarapan di hotel pergi ke Pusat Konvensyen Batam kerana ada Majlis Pelancaran Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka, Tradisi Agung Melayu oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Pelancaran di buat di dalam auditorium, tetapi aku hanya duduk di pintu masuk untuk menjual buku. Ada 6 buah terbitan jabatan aku terjual tetapi buku Panglima Awang dan buku Empayar Melaka tidak terjual, mungkin disebabkan harganya mahal. Masing-masing berharga RM300 dan RM350 sebuah.

Selepas tamat konvensyen, terus ke bangunan Lembaga Adat Melayu untuk memantau kerja-kerja menyiapkan Galeri Melaka. Galeri hampir siap tetapi banyak kesalahan dari segi susunan panel, jadinya kami terpaksa membuka kembali semua panel dan mengarahkan kontraktor memasang kembali mengikut susunan yang telah diperbetulkan. Galeri tersebut berkonsepkan tradisi perkahwinan masyarakat Melaka, jadinya kami banyak membantu pihak kontraktor memastikan pakaian pengantin, pelamin dan bahan hantaran dibuat dengan berlandaskan tradisi-tradisi masyarakat Melaka.

Hari Keempat

Pagi-pagi lagi sudah pergi ke Lembaga Adat Melayu bagi memastikan kerja-kerja akhir Galeri Melaka selesai kerana pada petang ianya akan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka dan Bapak Gabernor Riau.

Setelah bertungkus lumus menyiapkan segala persiapan akhirnya galeri tersebut telah berjaya dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka dan Bapak Gabernor Riau pada petangnya.

Malamnya masa untuk berehat seketika di bilik hotel dan makan malam di restoran Golden Prawn.

Hari Kelima

Hari pengabisan. Pagi selepas sarapan, pergi ke pasar Jodoh. Bukan cari jodoh, tapi nama pasar tu memang pasar jodoh. Aku belikan kain ela sulam benang untuk orang rumah. Lepas tu ke pusat membeli belah Batam Center untuk membeli belah buat kali terakhir. Banyak jugalah habis duit masa shopping di hari terakhir.

Dalam pukul 1.30 Waktu Indonesia Barat (WIB) aku selamat naik feri dan terus ke Stulang LauT, Johor. Dalam pukul 7 lebih barulah aku sampai ke Melaka.




IKTIBAR DARI SEBERANG

Gelombang Tsunami, ledakan gunung berapi dan banyak lagi bencana yang melanda di dunia ini pasti ada satu kuasa yang menggerakkannya. Kuasa yang begitu Maha Besar dan Maha Hebat. Apabila Ia berkehendakan sesuatu, Kun Faya Kun di firman-Nya maka jadilah. Itulah kekuasaan yang dimiliki tuhan sekelian alam, Allah S.W.T.


Tidak terlepas juga bencana yang menimpa negara jiran kita, Indonesia yang digemparkan dengan gelombang ombak besar Tsunami di Kepulauan Mentawai dan letusan Gunung Merapi di Yogyakarta di mana telah meragut ratusan nyawa dalam seketip mata. Begitu hebatnya kekuasaan Allah, adakah mungkin ada peringatan yang diberikan-Nya untuk manusia yang masih hidup?


Jadi, kita yang masih hidup ini hendaklah segera insaf. Hendaklah kembali kepada arahan dan suruhan-Nya. Buatlah apa yang disuruh dan tinggalkanlah apa yang dilarang.


* Ingatan ini juga untuk diri sendiri.






Friday, October 8, 2010

UPIN IPIN LAMBANG PERSAUDARAAN MALAYSIA INDONESIA

Sekarang aku leka mengkaji status hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang sedikit terganggu akibat beberapa faktor. Antara yang aku kaji ialah tentang penerimaan cerita Upin Ipin yang sedang hebat dipertontonkan di Indonesia. Dari pemerhatian yang aku dapat, cerita Upin dan Ipin ini sememangnya diterima oleh kebanyakan warga Indonesia tak kira usia tua atau yang muda. Tetapi ada juga yang mengkritik dengan menyatakan animasi mereka lebih hebat dari animasi Malaysia. Walaupun ada yang mengkritik tetapi ada juga memuji dan mengkritik semula para pengkritik yang mengkritik cerita Upin dan Ipin.

Kini, kumpulan Padi pula menjadi pemuzik yang menyanyikan lagu rasmi Upin Ipin menjadikan cerita tersebut semakin diterima di Indonesia. Lirik-lirik lagunya pula banyak menceritakan tentang persahabatan dan hubungan baik. Ini memberikan pengajaran supaya rakyat di kedua-dua belah negara mestilah saling bersahabat, bersangka baik dan menghormati berbezaan.

Sebenarnya bagi kita di Malaysia ini memang tidak apa-apa cuba di Indonesia tu, cukuplah , hentikanlah membuat demonstrasi menentang Malaysia, janganlah bakar bendera Malaysia, janganlah dilempar najis di kedutaan Malaysia, janganlah dicemuh Upin Ipin lagi.






Wednesday, October 6, 2010

PERSONALITY VS ME (8 GAMBAR)

Menerangkan Sejarah Pembukaan Melaka kepada Sultan Solo, Indonesia

Berbual-bual seketika bersama Sultan Solo, Indonesia

Menjadi In-house Guide kepada Timb. Perdana Menteri Thailand

Bersama Timb. Perdana Menteri Thailand. English? Aku main bantai saja

Anak YAB Datuk Seri Najib membawa rakan melawat ke Melaka

Bersama Datuk Tenas Effendy (Budayawan Melayu, Indonesia) di Pekan Baru, Riau. Masa ni aku kuat makan, pasal tu muka tembam.

Bersama saudara Ali Mamak di Pesta Masakan Warisan Melaka 2010

Dan ini adalah aku. Just ordinary person. Nothing special.




Thursday, September 23, 2010

50,000.00 UNTUK DIHABISKAN DALAM SATU HARI


Kepada sekalian kawan-kawan aku, di sini aku nak minta tolong kalian semua kerana aku perlu menghabiskan wang yang bernilai 50 ribu ini dalam hari ini juga kerana ada satu perjanjian yang perlu aku selesaikan (ala.. macam cerita Mr. Os tu). Kalau sesiapa yang sudi nak tolong perabiskan wang ini, sila telefon aku. Dah tak tau nak buat apa dengan duit ini...





Wednesday, September 8, 2010

Berita Harian Online | Kedutaan Malaysia diceroboh lagi

Berita Harian Online | Kedutaan Malaysia diceroboh lagi

Sila klik di link untuk membaca berita.

Komen Watashi :

Masyarakat Indonesia masih lagi bersikap kurang sopan terhadap Malaysia. Apa tindakan kita? Sabar-sabar... Biarkanlah mereka begitu. Kita tetap protes. Tetapi mestilah dengan cara yang berhemah. Cara diplomasi.

Kita tengok sajalah sampai bila mereka mahu meneruskan sikap kurang bijak mereka itu. Saya hormat rakyat Malaysia kerana bersikap rasional. Walaupun hati tetap marah, tetapi kita masih lagi berfikiran waras. Ini menunujukan tamadun kita lebih tinggi berbanding mereka. Mungkin.

Wallahuaklam.