Tuesday, May 11, 2021

TERIMA HADIAH PENGOMEN BERTUAH


Alhamdulillah... Semalam saya telah terima bungkusan pos dari syarikat J&T yang sampai di pejabat tempat saya bekerja. Telah diduga, sudah pasti ia merupakan bungkusan hadiah sebagai pengomen bertuah bagi bulan April 2021 di blog SYAZNI RAHIM BLOG.

Rasa-rasa saya, sepanjang menulis blog sejak tahun 2009, inilah kali pertama saya mendapat sesuatu dari rakan blogger. Gembira. Ya, saya gembira melalui detik ini, bukan kerana mendapat hadiah, tetapi rasa berbaloi apabila menulis blog dan mengunjungi blog rakan-rakan terasa ada yang menghargainya.

Sebenarnya saya sudah lama terhenti menulis blog. Amat lama juga kerana ketiadaan masa lantaran tugas-tugas hakiki yang banyak ditambah dengan anak-anak yang membesar. Saya banyak meluangkan masa pada tugas dan melayan karenah anak-anak hingga malas nak menulis lagi.

Kini saya kembali menulis kerana saya telah bertukar bahagian di tempat kerja yang memerlukan saya banyak menulis. Justeru, saya mengambil peluang untuk turut kembali aktif menulis blog.

Sekali lagi, berbanyak-banyak terima kasih saya rakamkan kepada SYAHZI RAHIM BLOG atas pemberian ini. Saya masih belum berkesempatan untuk membaca buku ini lagi. Namun saya amat teruja untuk membaca dan menghayati isi penulisan buku ini. 

Oh ya! Saya hampir terlupa untuk menyatakan ini. Sebenarnya saya baru tahu dan mengenali Syazni atau pun nama penanya Syaz Eym merupakan penulis buku atau lebih tepat penulis novel yang saya terima ini. Tak sangka pula ada kenalan blogger yang juga seorang novelis. Bertambah teruja saya mahu membaca novel ini nanti.

Bagi yang masih belum mengenali Syazni Eym dan ingin membaca karya-karya beliau, boleh dapatkannya di pautan INI. Mari kita beri sokongan dengan membeli karya-karya beliau. Dikesempatan ini juga, ingin saya ucapkan semoga Syaz Eym terus menulis tanpa jemu dan menghasilkan karya-karya yang bermanfaat buat pembaca. Tahniah.

1ST GIVEAWAY SEMPENA B'DAY SA 6 JUNE 2021

Sebagai tanda sokongan terhadap rakan-rakan bloggers, saya berbesar hati menyertai giveaway yang dianjurkan oleh Suria Amanda atau lebih suka dikenali sebagai SA. Bukan niat untuk memenangi giveaway, tapi apa yang lebih utama ialah dapat menambah kenalan di alam maya dan menyokong rakan-rakan yang mengadakan giveaway agar terus mendapat sambutan dari rakan bloggers lain.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai giveaway ini, sila klik gambar banner di bawah ini untuk mengetahui peraturan dan syarat-syarat penyertaan. Saya sendiri telah mengikuti segala arahan yang disyaratkan. 


Buat SA, mungkin ini terlalu awal untuk saya ucapkan, namun saya nak ucapkan juga supaya tidak terlupa di kemudian hari. 

"Saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari kelahiran, semoga diberikan kesihatan yang baik dari Allah SWT, dimurahkan rezeki, dipanjangkan dan diberkati usianya serta tidak lupa juga agar sentiasa ceria-ceria selalu."

IMPIAN GAZA

Terpekik terlolong minta perhatian
tiada sesiapa pun jiran peduli
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Anak bangsa seagamaku berlumuran darah
darah mengalir membasahi bumi
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Peluru menghujani jasad yang tak berdosa
kediaman diumpamakan lapang sasar
jiranku cuma menutup mata dan telinga.

Apa aku ada?
cuma ketulan batuan menjadi senjata
hanya sekujur tubuh menjadi pendinding
dengan laungan kalimah Allahuakbar 
ku rejam batuan menjadi peluru
ku tegapkan tubuh menjadi perisai syahid.

Impianku agar Allah menghulur bantuan
bagaikan Ababil menghapuskan tentera bergajah.

Fairus Mamat
9 Februari 2009


*****

"Dan khabarkan kepada Bani Israel dalam kitab itu : Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu berlaku sombong angkuh dengan melampau."

(Al-Isra' 17 : 4)

Sajak ini telah saya nukilkan pada tahun 2009. Pada ketika itu, kejadian sama seperti sekarang iaitu pengeboman Gaza oleh laknatullah Israel.

Kita sebenarnya telah banyak terhutang budi dengan rakyat Palestin. Mereka berjuang mempertahankan Al-Aqsa, masjid yang begitu suci dan merupakan kiblat pertama umat Islam.

Mereka sanggup mati untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan masjid Al-Aqsa, sedangkan kita di sini hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh hal kesulitan dan penderitaan yang mereka alami.

Doa saja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT agar perjuangan Palestin mempertahankan tanah air memperoleh kejayaan. Dengan izin Allah SWT, Insyaallah, suatu hari nanti dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran, kejayaan pasti memihak kepada Islam.