Saturday, March 27, 2021

BATU NISAN BELIMBING KAMPUNG CHOHONG









Dalam beberapa tahun yang lalu gempar apabila penduduk kampung menjumpai perkuburan lama di kampung Chohong, Jasin, Melaka yang memaparkan ciri-ciri yang unik.

Apa yang uniknya ialah di kawasan perkuburan tersebut semua batu nisan di situ adalah diperbuat daripada batu laterit. Batu ini juga dikenali dengan batu merah atau batu lada. Batu-batu jenis ini banyak didapati di pulau-pulau dan juga boleh didapati di kawasan darat.

Apa yang menariknya perihal batu nisan ini, ia diukir atau dipahat dengan sempurna dan cantik berbentuk seperti belimbing buluh, lantas ia disebut batu nisan belimbing.

Terdapat lebih 30 buah kubur di kawasan perkuburan di situ di mana semua nisannya diperbuat daripada batu laterit dan kebanyakan berbentuk belimbing dan ada juga beberapa bentuk yang lain.

Tidak banyak sumber diperolehi untuk memastikan milik siapa kubur-kubur ini walaupun beberapa kajian cuba dijalankan namun belum menemui sebarang klu untuk mengesahkan penemuan perkuburan ini.

Maka, beberapa pengkaji telah membuat hipotesis yang menyatakan kebarangkalian ini merupakan antara perkuburan terawal sezaman dengan era kesultanan Melayu Melaka. Malah ada yang berpendapat kemungkinan ia lebih awal daripada itu dengan mengaitkan dengan sebelum kedatangan Parameswara dan pembukaan Melaka.

Pelbagai andaian ini membuka ruang untuk pengkajian lanjut dilakukan. Satu kajian komprehensif yang dipelopori oleh pakar dan ahli sejarah perlu dilaksanakan untuk merungkai persoalan mengenai batu nisan ini.

Walaupun bagaimanapun, keunikan batu nisan ini harus juga dibincangkan dari aspek teknologi. Penemuan batu nisan ini memberi gambaran bahawa teknologi masyarakat Melayu Islam pada masa dahulu sudah kehadapan. Mereka sudah mampu dan berkemahiran mengukir atau memahat batu laterit dengan sempurna dan cantik. Ini jelas menunjukkan bahawa tamadun Melayu Islam di Melaka telah mempunyai tahap yang amat maju.

Untuk menghasilkan batu nisan yang diperbuat daripada batu laterit dengan ukiran atau pahatan yang sempurna adalah tidak masuk akal jika tidak mempunyai teknologi dan kemahiran tertentu. Walaubagaimanapun, penggunaan batu laterit dalam pembuatan batu nisan adalah sesuatu yang biasa ditemui di perkuburan-perkuburan lama sekitar negeri Melaka, cuma batu nisan belimbing ini sahaja yang unik.

Satu persoalan yang bermain di fikiran berkenaan penggunaan batu laterit. Batu laterit sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama zaman penjajahan Portugis.  Kota Melaka (Fortaleza de Malaca) yang dahulu mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St. Paul) dibangunkan dengan bahan batu laterit. Apakah benar kota tersebut adalah teknologi Portugis atau sebenarnya teknologi penggunaan batu laterit sebenarnya telah digunakan awal oleh masyarakat Melayu Melaka? 

Apabila merujuk kepada catatan Portugis, ada menyatakan bahawa terdapat bangunan-bangunan di Melaka diperbuat daripada batu seperti kota, masjid malah istana. Dari bahan runtuhan masjid dan istana ini didirikan Fortaleza de Malaca. Justeru, besar kemungkinan di zaman kesultanan Melayu Melaka telah awal menggunakan bahan binaan daripada batu iaitu batu laterit. 

Batu laterit juga banyak digunakan dalam pembinaan rumah Melayu lama dimana tembok-tembok dikuatkan dengan batu laterit dan disimen. Alas-alas tiang juga menggunakan batu laterit. Justeru, penggunaan batu laterit bagi masyarakat Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu bukanlah suatu yang luar biasa, malah penggunaan ia adalah berleluasa.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa batu laterit merupakan antara bahan binaan utama yang digunakan oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman dahulu.  Masyarakat Melayu Melaka juga mempunyai kemahiran dan teknologi untuk memotong, memahat dan mengukir batu yang amat baik setanding dengan teknologi tamadun-tamadun lain.

Friday, March 26, 2021

SEJARAH AWAL MUZIUM MELAKA

Logo Muzium Melaka yang digunakan pada tahun 1954 hingga 1971

Institusi pemuziuman di Melaka telah bermula sekitar tahun 1933 apabila Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat memberikan kebenaran Persatuan Sejarah Melaka menggunakan sebuah bilik di bangunan Stadthuys (Bangunan Merah).

Pada 2 Jun 1952, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu telah mengadakan lawatan ke Melaka beliau telah mengarahkan Pesuruhjaya Residen Melaka agar bangunan-bangunan bercirikan Belanda di Fort Road (Jalan Kota) dijadikan pusat poster dan bahan propaganda British bagi membendung ideologi komunis di Melaka. Penduduk tempatan menyebut pusat ini sebagai 'Sekolah Gambar'.

Pada tanggal 19 Mac 1954, George Evan Cameron Wisdom, Pesuruhjaya Residen bagi negeri Melaka telah mengisytiharkan pembukaan sebuah rumah Belanda di Fort Road (Jalan Kota) sebagai Muzium Melaka dan pada tarikh yang sama Muzium Melaka telah dibuka secara rasmi. Pentadbiran British telah menyusun rancangan dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir dan menguruskan Muzium Melaka.

Seterusnya pada tahun 1953, pentadbiran British telah mengisytiharkan telah mempunyai sebuah muzium yang diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan. Tindakan ini dibuat kerana Persatuan Sejarah Melaka dikatakan tidak mampu untuk menguruskan institusi muzium yang dikelolakan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan bilik muzium yang terdapat di bangunan Stadthuys mula dipindahkan ke di bangunan muzium yang baharu di Fort Road (Jalan Kota). 

Pada 15 Julai 1954, D.C. Macgillivray, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu meluluskan Enakmen Muzium Melaka 1954 bagi membolehkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Melaka ditubuhkan. Pembukaan muzium ini merialisasikan dasar Sir Gerald Templer untuk mengumpul kepelbagaian artifak dan budaya Melaka, termasuk sejarah semula jadi. 

Lembaga ini mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan Muzium Melaka termasuk bidang kuasa membeli dan mempamerkan artifak serta koleksi bahan yang dimiliki oleh Muzium Melaka.

Sumber rujukan : 65 tahun Muzium Melaka

Ps: Bila kali terakhir kamu mengunjungi muzium?

Thursday, March 25, 2021

TAMBAK LAUT, TERKAMBUS ARTIFAK

Kawasan tambak laut di Kota Syahbandar. Banyak artifak telah ditemui di sini


Pantai ditambak atas dasar pembangunan memusnahkan ekologi lantas hidupan laut semakin kurang sama kurangnya dengan pendapatan nelayan pantai.

Dahulunya lautan ini menjadi laluan utama kapal-kapal dagang pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kini ia dikambus dan tertanam terus artifak dari kapal karam zaman tersebut.

Melaka dahulu merupakan kerajaan maritim, laut adalah nadi utama membawa pedagang dari timur dan barat. Melaka tempat berpusat segala dagang, bertukar-tukar barangan di sini. Sistem barter, pelabuhan entrepot, semua itu adalah Melaka. 

Kita hanya mampu menyelamatkan artifak mana yang sempat, sebelum tanah tambak dibangunkan, artifak akan terkubur di bawah bangunan-bangunan yang bakal didirikan.

Di kawasan tambak laut ini telah dijumpai beberapa artifak dipercayai sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka. Antara yang dijumpai adalah kepingan kayu kapal, celadon, martaban, ceramik dan matawang kesultanan Melayu Melaka iaitu matawang Sultan Muzaffar Syah, selain turut ditemui matawang Portugis.

25 hingga 31 Mac 2021, aku mewakili jabatan (Perbadanan Muzium Melaka) bersama-sama pasukan yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pasukan penyelidik bebas menjalankan kerja-kerja penyelamatan artifak di sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar.

Semoga kami dapat menyelamatkan seberapa banyak artifak yang terdapat di situ sebelum kawasan tersebut dibangunkan oleh pemaju. Jumpaan-jumpaan ini sudah pastinya menjadi bukti kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu.

Hendak melihat monumen zaman kesultanan Melayu Melaka, sudah tiada, kerana Melaka telah melalui zaman penjajahan begitu lama. Portugis, Belanda dan British menjajah Melaka lebih 500 tahun. Banyak yang musnah malah tiada satu pun monumen berkaitan kesultanan Melayu Melaka yang dapat dilihat melainkan replika istana kesultanan Melayu Melaka. Artifak yang ditinggalkan ini saja yang menjadi bukti bahawa kesultanan ini pernah wujud dan sangat gah dan hebat satu masa dahulu.