Showing posts with label muzium. Show all posts
Showing posts with label muzium. Show all posts

Thursday, February 2, 2023

Melaka Empayar Maritim : Jumpaan Artifak di Kawasan Tambak Laut Pulau Melaka

Melaka Empayar Maritim
Negeri Melaka sedia dikenali seantero dunia sebagai salah sebuah empayar maritim yang mempunyai pelabuhan antara tersibuk di dunia di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lebih 600 tahun dahulu. Sebagai empayar yang hebat, pastinya pelbagai negara turut ingin menguasai Melaka maka berlakunya era penjajahan oleh Portugis, Belanda kemudiannya British. Zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan era penjajahan telah meninggalkan banyak tinggalan bersejarah baik dari segi monumen mahu pun artifak. Artifak-artifak ini adalah penting sebagai pembuktian kewujudan dan kegemilangan kesultanan Melayu Melaka disamping dapatan melalui penulisan-penulisan lain oleh ahli sejarah.

Selat Melaka : Selat Tersibuk di Dunia
Sejak di zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, Selat Melaka merupakan laluan tersibuk di dunia dengan pelbagai jenis kapal dagang melalui perairan ini. Selat Melaka mempunyai panjang sejauh 930 kilometer dan lebarnya 38 kilometer manakala kedalamannya pula purata sedalam 25 meter. Selat Melaka menghubungan perdagangan Timur dan Barat melalui Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Nama Selat Melaka dipercayai diambil sempena nama Pelabuhan Melaka yang begitu terkenal sebagai pelabuhan entrepot sekitar abad ke-16 dan 17.

Apa itu Arkeologi Maritim?
Merupakan cabang ilmu arkeologi yang mengkaji dan menyelidik hubungan antara manusia dan perairan melalui pendekatan maritim. Antara kegiatan maritim yang dikaji ialah berkaitan pengangkutan air, fasiliti di persisiran pantai, kargo dan tinggalan tubuh manusia. Objek-objek kajian pula terdiri daripada insfrastruktur pelabuhan, dok kapal, perahu, kapal, rumah api, pelampung, manusia dan lain-lain lagi termasuk artifak. Pendekatan ini dilakukan bagi mengkaji kehidupan masyarakat yang menjadikan perairan sebagai sumber dalam segenap aspek kehidupan.

Penyelidikan Arkeologi Maritim Fasa I
Pada 25 hingga 31 Mac 2021 satu penyelidikan arkeologi maritim telah dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama dari Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan penyelidik bebas di dua kawasan iaitu kawasan tambak laut Kota Syahbandar dan Pulau Melaka. Tinjuan awal selama seminggu mendapati tapak ini berpotensi dari sudut penyelidikan Arkeologi Maritim dengan pelbagai jumpaan ditemui antaranya ialah rangka kapal/perahu, seramik, porselin, tembikar dan duit syiling. Rangka kapal/perahu ini dipercayai dari abad ke-15 berdasarkan pentarikhan jumpaan artifak-artifak di dalam dan sekitar jumpaan rangka kayu tersebut.

Penyelidikan Arkeologi Maritim Fasa II
Kajian lanjut bagi fasa II telah disambung oleh pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Ia telah dilaksanakan pada 20 Oktober 2021 hingga 2 Disember 2021 yang diketuai oleh Drs. Mohd Nasruddin bin Rahman, Pengurus Besar PERZIM dengan bantuan pakar Arkeologi Maritim iaitu Prof. Madya Dr. Asyaari bin Muhamad dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi kajian kali ini lebih tertumpu di kawasan tambak laut berdekatan Pulau Melaka dan kaedah yang digunakan ialah Arkeologi Menyelamat di mana para penyelidik berusaha mengeluarkan seberapa banyak artifak yang terdapat di kawasan tersebut.

Jumpaan Arkeologi Menyelamat di Kawasan Tambak Pulau Melaka
Selain rangka-rangka kayu purba dari jenis kayu Merbau yang dipercayai dari abad ke-16 hingga ke-17, terdapat banyak jumpaan artifak-artifak semasa kerja-kerja penggalian arkeologi dilaksanakan. Antara yang banyak ditemui ialah serpihan porselin biru dan putih, celadon, tembikar batu dan tembikar tanah. Artifak ini adalah berasal dari China sekitar abad ke-15 hingga ke-18 iaitu sezaman dengan Dinasti Ming hingga Dinasti Ching. Selain itu, terdapat juga jumpaan duit syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu syiling zaman Sultan Muzaffar Syah.

Kajian di kawasan tambak laut Pulau Melaka ini menunjukkan penemuan artifak yang terbanyak ialah seramik iaitu kira-kira 90% dari jumpaan. Terdapat tiga jenis seramik yang ditemui iaitu 80% terdiri daripada kategori porselin biru dan putih (zaman Dinasti Ming dari abad ke-15 hingga ke-17 dan zaman Dinasti Ching dari abad ke-19). Tembikar batu sebanyak 15% iaitu dari akhir abad Dinasti Ming dan awal Dinasti Ching. Seterusnya tembikar tanah sebanyak 5% yang dipercayai dari abad ke-19.

Seramik-seramik yang ditemui dijumpai secara tersusun rapi namun kebanyakkan telah pecah. Ia adalah berasal dari daerah Jiajing dan Jingdezhen di China. Seramik yang dijumpai terdiri daripada pinggan, mangkuk dan cawan yang mempunyai pelbagai motif. Motif fauna terdiri daripada naga, monyet, burung bangau, dan ikan, manakala motif flora terdiri daripada bunga kiambang dan teratai. Tidak ketinggalan juga motif permandangan alam semula jadi.

Antara porselin biru putih zaman Dinasti Ming yang ditemui

Proses penggalian yang rumit di dalam selut yang tebal dan keras

Antara jumpaan dalam keadaan sempurna

Jumpaan artifak mangkuk yang hampir sempurna

Pinggan porselin biru putih zaman akhir Dinasti Ming dan awal Dinasti Ching antara yang banyak ditemui

Setiap proses direkodkan 

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Thursday, January 12, 2023

Wonder Food Museum Penang, Agak Menyeronokkan


Kesiannya... Anak siapalah ini...?


Berpeluang pergi ke Wonder Food Museum di Pulau Pinang baru-baru ini merupakan salah satu pengalaman yang menyeronokkan. Muzium ini sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa. Mana-mana yang suka OOTD tu, memang digalakkan untuk melawat ke muzium ini kerana terdapat banyak sudut-sudut yang menarik untuk mengambil gambar.

Muzium ini memaparkan replika dan miniatur makanan-makanan yang terdapat di negara kita, Malaysia. Setiap replika yang dihasilkan begitu halus dan berseni. Dari pemerhatian aku, mungkin terdapat lebih daripada seorang artis yang membuat replika ini memandangkan terdapat stroke yang berbeza-beza, namun tetap menghasilkan replika yang menarik.

Walaupun kelihatan seperti sekadar hiburan, muzium ini dilihat turut menyampaikan maklumat berkaitan makanan tradisional, perniagaan tradisi dan memori kenangan lalu yang digarap melalui diorama dan miniatur.

Berikut merupakan beberapa keping gambar yang sempat aku tangkap sebagai kenangan dan jejak aku telah sampai di sana.

Ruang hadapan Wonder Food Museum

Dari pandangan sisi

Aneka replika ais krim dan makanan-makanan boleh potong kaki

Aneka makanan yang kelihatan sedap belaka

Kuih-muih kelihatan seperti sebenar

Pelbagai makanan kaum India

Aneka makanan kaum Cina

Buah-buahan tempatan yang membuka selera

Nasi lemak, menu sarapan rakyat Malaysia, menu perpaduan bangsa

Onde-Onde/ buah Melaka/ kelepong

Wow.. Sedapnya sate

Miniatur warung roti canai mamak

Miniatur membakar lemang. Eh, apasal muka lelaki tu kelihatan seperti Tun M?

Miniatur makan-makan sempena Tahun Baharu Cina

Siapa yang order Kuew teow goreng tadi? Tunggu sekejap ye.

Thursday, January 5, 2023

Muzium Perang Antara Destinasi Yang Wajib Dilawati di Pulau Pinang

Adalah tidak patut sekiranya aku sebagai orang muzium tidak berkunjung ke muzium apabila tiba di sesebuah negeri. Kali ini aku berpeluang untuk berkunjung ke Pulau Pinang dan antara tempat menarik yang telah aku lawati ialah Muzium Perang. 

Muzium Perang ini amat menarik. Mengekalkan monumen-monumen lama zaman kolonial British di samping penambahbaikan dari aspek penerangan, lanskap, kemudahan asas dan sebagainya.

Lokasi Muzium Perang di Bukit Batu Maung sebenarnya merupakan tapak asal kubu pertahanan British yang dibina pada sekitar tahun 1930-an. Kubu ini seterusnya diambil alih oleh tentera Jepun semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pelbagai monumen-monumen dan tinggalan sejarah yang menarik dapat dilihat di muzium ini dengan penuh bermaklumat. Dapat menelusuri kubu bawah tanah merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Dengan berkonsepkan 'living museum', muzium ini menyajikan pengalaman-pengalaman menarik buat pengunjung.

Harga bagi tiket masuk ke Muzium Perang ialah RM22.00 untuk dewasa manakala RM12.00 bagi kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun. Secara peribadi aku merasakan harganya sangat berbaloi kerana terdapat banyak monumen bersejarah yang menarik dan kawasan yang luas sehingga memerlukan lebih 2 jam untuk mengekplorasi muzium ini.

Berikut merupakan beberapa gambar yang sempat dirakamkan sewaktu berkunjung ke Muzium Perang pada 3 Januari 2023 yang lalu.












Monday, January 2, 2023

Pertemuan dan Perpisahan Adat Manusia Biasa

Tahun baharu, azam baharu dan tempat bertugas yang baharu. Ya, tempat baharu. Tahun 2023 ini aku akan meninggalkan pejabat di Seksyen Penyelidikan dan akan bertukar ke Seksyen Operasi Muzium.

Sebenarnya, pertukaran di dalam jabatan aku bukanlah suatu yang menghairankan kerana memang kerap juga bertukaran atau penggiliran dilakukan di dalam jabatan. Iyalah, kami ini hanya perbadanan negeri yang tidak boleh berpindah-randah ke jabatan yang lain. Justeru pertukaran kakitangan antara bahagian-bahagian di dalam jabatan ini merupakan perkara yang biasa.

Sudah lebih 15 tahun aku berada di jabatan ini dan pelbagai bahagian/ seksyen/ unit pernah aku bertugas antaranya Unit Pendaftaran, Unit Konservasi dan Unit-unit Muzium. Tahun 2020 merupakan pertama kali jabatan aku menyemak semula perjawatan dan mewujudkan bahagian-bahagian baharu, jadi aku ditempatkan di Seksyen Penyelidikan di bawah Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi. 

Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi merupakan bahagian yang baru ditubuhkan. Aku adalah kakitangan pertama yang mengetuai Seksyen Penyelidikan. Alhamdulillah, aku masih boleh berbangga kerana banyak penerbitan yang berjaya aku laksanakan walaupun usia bahagian tersebut baru 2 tahun ditambah lagi pandemik covid-19 yang melanda pada tahun 2020. 

Tahun 2023 aku akan kembali ke muzium. Pejabat baharu aku nanti adalah di Bangunan Stadthuys di mana ia merupakan pejabat lama aku sebelum aku ke Seksyen Penyelidikan. Ia bukan sesuatu yang asing bagi aku kerana sebelum ini aku pernah bertugas di operasi muzium. Insyaallah, aku akan cuba membuat yang terbaik di mana sahaja aku diarahkan bertugas. 

Hadiah-hadiah tanda perpisahan dari rakan-rakan di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi




Monday, December 26, 2022

Tiga (3) Saranan Bagi Rombongan Sekolah Sebelum Mengunjungi Muzium

Alhamdulillah, selepas penurunan pandemik covid-19, dilihat sektor pelancongan kembali rancak.  Hal ini dapat meningkatkan kembali sektor ekonomi yang memberikan manfaat kepada semua pengusaha-pengusaha berasaskan pelancongan. Begitu juga dengan institusi muzium. Telah ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi muzium.

Tidak ketinggalan kepada rombongan-rombongan murid sekolah. Telah banyak rombongan sekolah menjadikan muzium sebagai destinasi lawatan. Syabas diucapkan. Satu pilihan yang bijak, sememangnya muzium wajib menjadi sebuah institusi yang amat rapat dengan pelajar. Di dalam muzium mempunyai segala bidang keilmuan yang membolehkan para pelajar menimba khazanah ilmu yang tidak ternilai dan sukar diperolehi di tempat lain.

Justeru, sebelum guru-guru merancang untuk mengadakan rombongan sekolah ke muzium, disarankan guru-guru melakukan perkara ini :

1. SURVEI

Jangan terus terjah sahaja, seeloknya guru yang bertanggungjawab mengatur rombongan sekolah membuat servei atau tinjauan terlebih dahulu muzium mana yang hendak dikunjungi. Sebenarnya bukan sedikit muzium yang terdapat di Malaysia ini, di Melaka sahaja mempunyai 21 buah muzium tidak termasuk galeri. Justeru, pemilihan muzium yang hendak dikunjungi adalah perlu bagi memastikan objektif rombongan serta apa yang ingin diperolehi daripada rombongan dapat dicapai.

2. RANCANG AKTIVITI

Usah dibiarkan murid-murid yang menyertai rombongan terkapai-kapai tidak tahu hendak buat apa ketika berada di dalam muzium. Guru yang bertanggungjawab perlu merancang aktiviti yang boleh dibuat semasa melawat ke muzium antaranya menjawab kuiz, aktiviti berkumpulan dan sebagainya. Guru boleh mendapatkan kebenaran bersurat terlebih dahulu daripada pihak muzium, dan kelazimannya tiada halangan daripada pihak muzium kerana muzium itu sendiri merupakan institusi pendidikan yang menggalakkan aktiviti-aktiviti sedemikian dilakukan di dalam muzium. Pastikan murid-murid mendapat ilmu daripada muzium walaupun hanya sedikit sahaja yang dapat mereka fahami.

3. MOHON PENGURANGAN HARGA (DISKAUN)

Sebenarnya pihak muzium tidaklah begitu kejam. Apabila terdapat rombongan terutamanya murid-murid sekolah dalam jumlah yang ramai, insyaallah kelazimannya boleh mendapat pengurangan harga. Namun, terlebih dahulu sebelum rombongan diadakan, guru yang bertanggungjawab perlu mengutuskan surat permohonan pengurangan harga ke pihak muzium yang ingin dilawati. 

Semoga dengan adanya rombongan murid-murid ke muzium mendapat ilmu dan manfaat kepada mereka bagi mengenali dan mengetahui hal-hal berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan negara. Kalau tak ke muzium ke mana lagi? Takkan nak bawa mereka ke taman tema sahaja. 

Meh le kunjungi muzium. Orang muzium sedia menanti

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Monday, December 19, 2022

Perlukah Letak Sebegitu Terperinci?


Baru-baru ini aku telah mengeluarkan dua buah entri tentang dunia permuziuman di mana ia merupakan bidang pekerjaan aku. Mungkin tidak seperti bidang pekerjaan yang lain, muzium merupakan antara pusat pendidikan dan penyelidikan yang mana ramai pelajar, pengkaji dan penyelidik membuat rujukan. 

Aku juga merupakan antara individu yang kerap didatangi oleh para penyelidik bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. Bahkan aku gemar 'melayan' mereka kerana memang tugas aku untuk berbuat demikian. Dan aku membantu mereka sebaik mungkin kerana aku memiliki semangat (passion) dalam bidang yang aku ceburi ini.

Jadinya, mengapa aku letakkan keterangan diri aku di dalam kedua-dua entri berkenaan dengan maklumat nama, jawatan, bahagian dan jabatan? Tujuannya tak lain tak bukan bagi membolehkan sekiranya terdapat mana-mana individu ingin mengambil dan memetik penulisan tersebut bagi membuat tugasan mereka sama ada assignment, penyelidikan dan sebagainya. 

Aku sekadar ingin menyatakan bahawa entri tersebut ditulis oleh seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk menulis entri itu di mana sememangnya aku bekerja dalam bidang permuziuman. Jadi, bagi individu yang ingin memetik penulisan atau entri tersebut tidak perlu ragu-ragu kerana ia ditulis oleh the right person. Niat aku sekadar membantu, jika penulisan tersebut dirasakan boleh membantu dalam menyiapkan tugasan kalian, silalah ambil.

Semoga penulisan-penulisan entri aku berkaitan bidang permuziuman boleh dimanfaatkan orang mereka yang memerlukannya. 

😊😊😊

Sunday, December 18, 2022

Lima (5) Sebab Kenapa Anda Perlu Mengunjungi Muzium

Adalah kelaziman masyarakat kita di Malaysia ini menganggap muzium adalah membosankan. Tidak mengikut zaman. Hanya mempamerkan barang-barang lama. Bangunannya pun bangunan lama dan menyeramkan. Pernyataan ini mungkin disebabkan segelintir individu telah lama tidak mengunjungi muzium sedangkan terdapat beberapa perubahan, tarikan dan lain-lain perihal yang dirasakan masyarakat perlu kembali mengunjungi muzium.

Berikut merupakan antara sebab musabab kenapa kita perlu mengunjungi muzium :

1. HARGA MURAH

Jika hendak dibandingkan dengan pusat hiburan keluarga yang lain seperti taman tema, panggung wayang dan lain-lain pusat tarikan pelancong, muzium adalah sebuah pusat di mana bayaran tiketnya adalah murah. Bukan sahaja murah, bahkan terdapat juga muzium yang tidak dikenakan bayaran. Mengambil contoh muzium-muzium yang terdapat di Melaka, harga tiketnya serendah RM3.00 dan yang tertinggi adalah RM10.00. Jika hendak dilawati seisi keluarga pun, ia tetap berbaloi.

2. BERILMU DAN BERMANFAAT

Muzium adalah gedung ilmu. Ya, sudah pastinya muzium menyajikan ilmu yang bermanfaat untuk para pelawat. Dengan mengunjungi muzium, masyarakat dapat mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya di sesuatu negeri atau tempat. Ia amat sesuai dikunjungi oleh pelajar sekolah bagi mempelajari segala khazanah ilmu yang terkandung di dalam muzium.

3. HIBURAN

Siapa kata muzium tidak menghiburkan? Kini, di sesetengah muzium telah mula mengetengahkan kaedah interaktif dalam pameran. Pameran interaktif ini memberi peluang bagi pelawat untuk berinteraksi secara fizikal atau maya dengan bahan yang dipamerkan. Ini dilakukan bagi menarik lebih ramai generasi muda mengunjungi muzium. Antara pameran berbentuk interaktif yang dipamerkan seperti menggunakan objek 3 dimensi (3D), realiti maya (virtual reality), tayangan 5 dimensi (5D), skrin sentuh (touch screen) dan pelbagai lagi media interaktif.

4. CARA BERKESAN UNTUK BELAJAR

Khusus buat para pelajar tidak kira dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Bagi mempelajari subjek-subjek seperti sejarah, warisan dan kebudayaan, institusi muzium merupakan tempat wajib untuk dikunjungi. Selain belajar melalui pembacaan di buku-buku, pelajar boleh merujuk silang tentang perkara yang dipelajari dengan mendapatkan fakta sampingan di muzium. Dengan melihat dan menelaah sendiri apa yang dipamerkan di muzium, membolehkan pelajar lebih memahami apa yang dipelajari.

5. OOTD MUSEUM

Contoh OOTD @ Muzium


Siapa kata dekat muzium tidak menarik? Sebenarnya di muziumlah terdapatnya ruang-ruang yang menarik untuk bergambar dan dijadikan kenangan terindah. Di muzium terdapatnya diorama-diorama yang menarik contohnya diorama nostalgia seperti warung lama, perabut lama dan lain-lain yang mengambarkan zaman dahulu (old school). Terdapat juga galeri seni lukis dan pengunjung boleh OOTD bersama karya-karya seni bagi menghasilkan gambar yang kelihatan 'mewah'. Bangunan-bangunan muzium yang kebiasaannya merupakan bangunan tinggalan penjajah juga merupakan 'angle' yang terbaik untuk OOTD.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Saturday, December 17, 2022

Empat (4) Fungsi Utama Muzium

Bermesra bersama artifak


APA ITU MUZIUM?

Saban tahun Majlis Muzium Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai International Council of Museum (ICOM) mengkaji dan mengemaskini definisi muzium selari dengan fungsi muzium yang kini dilihat bukan lagi sebuah organisasi yang statik, tetapi ia merupakan organisasi serta bidang yang dinamik. Ini adalah selaras dengan fungsi permuziuman itu sendiri yang memiliki bidang-bidang kepakaran yang tertentu, bukan sahaja sekadar mempamerkan artifak dan bahan-bahan lama yang bersejarah, malah lebih daripada itu.

Menurut definisi yang sering digunakan oleh mana-mana organisasi permuziuman di dunia, muzium didefinisikan sebagai "institusi bersifat tetap, tidak berorientasikan keuntungan, terbuka kepada umum dengan peranannya memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamerkan bukti-bukti peninggalan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan dan hiburan."

APA TUGAS KAKITANGAN MUZIUM?

Kecuali tugasan pentadbiran dan kewangan, tugas-tugas kakitangan muzium adalah berbeza dengan jabatan-jabatan lain. Terdapat tiga (3) jawatan di muzium yang tiada di jabatan lain iaitu Kurator (S41), Penolong Kurator (S29) dan Pembantu Muzium (S19). Sekiranya disamakan dengan jawatan pentadbiran, jawatan-jawatan ini adalah mempunyai tingkatan pangkat seperti Pegawai Tadbir (N41), Penolong Pegawai Tadbir (N29) dan Pembantu Tadbir (N19).

Di sini ingin diperjelaskan perihal empat (4) tugas-tugas kakitangan muzium iaitu bersamaan dengan fungsi muzium itu sendiri iaitu memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamer. Berikut adalah huraiannya :

A. MEMPEROLEH

Bahan utama yang menyebabkan kewujudan sesebuah muzium ialah ARTIFAK dan bahan bersejarah. Apa itu artifak? Menurut definisi yang digunapakai oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), artifak adalah peralatan atau barang-barang buatan manusia peninggalan pada zaman dahulu. Usia bahan yang ditakrifkan sebagai artifak adalah antara 50 tahun dan ke atas. Selain artifak, fosil dan lain-lain bahan bersejarah turut dipamerkan di dalam muzium.

Di dalam dunia pemuziuman, terdapat beberapa kaedah dalam memperoleh atau mengumpul artifak. Kelazimannya bahagian atau unit yang terlibat di dalam perolehan artifak adalah sama ada Bahagian Pengurusan Koleksi, Bahagian Pengurusan Artifak atau lain-lain istilah yang bersesuaian. Kaedah-kaedah perolehan yang biasa digunapakai oleh institusi muzium ialah :

i. SUMBANGAN

Masyarakat yang mempunyai artifak dan bahan-bahan bersejarah adalah digalakkan untuk menyumbangkannya kepada pihak muzium. Ini adalah bertujuan, artifak tersebut dapat dipamerkan seterusnya memberikan manfaat dalam bentuk pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat. 

Masyarakat yang menyumbangkan artifak atau bahan bersejarah kepada muzium merupakan satu langkah yang sewajarnya diberi kepujian. Ini adalah kerana kesanggupan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak muzium untuk menjaga seterusnya mempamerkan bahan tersebut bakal memberikan suatu sudut pandang yang berbeza dari aspek sejarah, kebudayaan atau warisan berdasarkan bahan yang disumbangkan. 

Adalah berkemungkinan bahan tersebut tiada dalam simpanan atau pameran di muzium, justeru ia amat bermakna jika masyarakat dapat menyumbangkan bahan, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan yang bersejarah dan unik.

Kelazimannya, apabila seseorang telah menyumbangkan artifak kepada pihak muzium, sebagai galang gantinya mereka akan menerima beberapa manfaat. Manfaat ini bergantung kepada pihak pengurusan muzium masing-masing. Sebagai contoh manfaat yang diberi ialah memberikan pas masuk percuma ke muzium kepada penyumbang, memberi imbuhan secara 'one off', memberi sijil penghargaan, pengecualian cukai dan lain-lain yang difikirkan perlu.

ii. PEMBELIAN

Bagi meningkatkan koleksi artifak dan bahan bersejarah di muzium adalah dengan kaedah pembelian. Kebiasaannya organisasi muzium telah menetapkan belanjawan tahunan bagi pembelian artifak dan bahan bersejarah. Lazimnya harga artifak tidaklah murah, justeru institusi muzium menetapkan belanjawan pembelian artifak menjangkau ratusan ribu ringgit setahun, malah bagi muzium-muzium yang besar, menetapkan perolehan melalui pembelian artifak melepasi jutaan ringgit. 

Pembelian seperti ini harus dilakukan bagi menambah koleksi artifak di muzium agar ia dapat dipamerkan bagi manfaat orang ramai khususnya bagi tujuan pendidikan seterusnya memperkayakan ilmu-ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

iii. JUMPAAN

Artifak jumpaan adalah berkait rapat dengan disiplin arkeologi. Kerja-kerja pengorekan, cari gali atau istilahnya ekskavasi arkeologi merupakan salah satu sub-bidang dalam dunia permuziuman. Apabila kerja-kerja ekskavasi dijalankan, kebiasaannya akan menemui bahan-bahan bersejarah seperti artifak atau fosil. 

Jumpaan-jumpaan ini adalah penting bagi pembuktian sejarah, budaya dan warisan di sesebuah tapak yang digali. Seterusnya ia disimpan atau pamerkan di muzium bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta apa-apa tujuan lain dalam mengetengahkan khazanah warisan negara.

B. MEMULIHARA

Apabila memperoleh sesuatu artifak atau bahan bersejarah, proses seterusnya adalah memulihara. Di dalam dunia permuziuman, memulihara disebut sebagai konservasi artifak. Artifak yang baru diperoleh perlu menjalani proses konservasi bergantung kepada keadaan artifak tersebut. Sekiranya arifak tersebut sekadar kotor dan berhabuk, pembersihan secara fizikal perlu dilakukan bagi menghilangkan segala kotoran yang terlekat pada artifak tersebut. 

Sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan dan kekotoran tertentu yang sukar dibersihkan secara fizikal, proses pembaikan secara penggunaan bahan kimia atau lain-lain kaedah yang difikirkan perlu diambil bagi menyelamatkan jangka hayat artifak tersebut. Tidak hanya pada artifak yang baru diperoleh, artifak yang terdapat di ruang pameran dan kawasan repositori juga perlu melalui proses konservasi.

Konservasi artifak terbahagi kepada dua iaitu konservasi preventif dan konservasi kuratif. Konservasi preventif adalah bertindak untuk mencegah atau menghalang artifak supaya tidak mudah rosak akibat persekitaran seperti suhu, cahaya, kelembapan dan serangga perosak seperti fungus, serangga serta pencemaran udara.

Konservasi kuratif pula merupakan tindakan secara terus yang diambil terhadap artifak yang telah mengalami deteriorasi. Tindakan ini diambil bagi memberhenti atau merencatkan proses deteriorasi terus berlaku terhadap artifak.

Di dalam bidang pemuziuman, kakitangan yang melaksanakan kerja-kerja konservasi dikenali sebagai konsevator yang mempunyai kemahiran menggunakan bahan-bahan mekanikal dan kimia bagi proses konservasi. Setiap muzium kebiasaannya mempunyai Bahagian Konservasi bagi menempatkan kakitangan di sebuah lap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Bagi artifak dan bahan bersejarah yang telah rosak yang perlu dibaiki, kaedah restorasi boleh digunapakai. Restorasi merupakan kaedah di mana artifak dirawat bagi mengembalikan artifak seperti sediakala dengan menggunakan material yang sama atau hampir sama dengan bahan asal artifak tersebut.

C. MENYELIDIK

Menyelidik merupakan salah satu aspek penting dalam bidang permuziuman. Setiap muzium yang mempamerkan artifak harus mempunyai keterangan atau maklumat yang perlu disampaikan. Bagi menyampaikan maklumat tersebut, penyelidikan dibuat bagi mengetahui sesuatu artifak atau bahan bersejarah. 

Penyelidikan berkaitan artifak ini lazimnya dilaksanakan oleh kurator yang mempunyai disiplin ilmu tertentu sama ada artifak tersebut berkait dengan sejarah, kebudayaan, warisan atau sebagainya. Justeru, kurator memainkan peranan yang penting untuk membuat penyelidikan bagi memastikan maklumat yang bakal disampaikan adalah benar dan tepat. 

Selain kurator yang menjalankan penyelidikan, pihak muzium turut mendapatkan bantuan daripada para penyelidik khususnya daripada instituti pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Boleh juga mendapatkan bantuan daripada penyelidik-penyelidik persendirian atau individu-individu yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang yang hendak diselidiki.

D. MEMPAMERKAN

Seterusnya, artifak dan bahan bersejarah perlu dipamerkan. Ia adalah bertujuan agar ia boleh dilihat atau disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi muzium. Ini adalah salah satu proses pendidikan muzium di mana para pelawat memperoleh ilmu, maklumat dan hiburan dari artifak yang dilihat seterusnya memberi manfaat khususnya dalam mengenali sejarah, budaya dan warisan negara. 

Dahulu, artifak dan bahan bersejarah dipamerkan secara konvensional di mana hanya dipamerkan di dalam peti pameran dan terdapat penerangan berkaitan bahan tersebut. Namun kini, penggunaan teknologi moden sering digunakan dalam aspek mempamerkan artifak sama ada dalam bentuk 3D, Virtual Reality (VR), Audio Tour dan lain-lain kaedah bersifat interaktif yang mana antara lainnya bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi muzium.

Tuntasnya, itulah antara empat (4) fungsi utama muzium yang menggerakkan institusi permuziuman khususnya di negara kita ini bagi menyebarluaskan pendidikan muzium kepada masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga lain-lain tugas, peranan atau fungsi tertakluk kepada sesuatu muzium seperti zoologi yang berperanan menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja berkaitan hidupan haiwan meliputi taksidermi iaitu pengawetan haiwan dan sebagainya. 

Turut terpakai dalam alam permuziuman ialah konservasi bangunan. Muzium kelazimannya menggunakan bangunan-bangunan lama era kolonial. Oleh itu, penjagaan bangunan muzium adalah amat berbeza berbanding penjagaan bangunan baharu. Bangunan muzium dibaikpulih mengikut kaedah konservasi dengan diawasi oleh konservator bertauliah. Ini dilakukan agar fasad bangunan dan lain-lain hiasan luaran serta dalaman dibaikpulih dengan sempurna dengan mengekalkan seni bina asalnya. Sepertimana kaedah konservasi, pengekalan bahan asal adalah penting dalam membaiki sesuatu kerosakan, sekiranya tiada, bahan hampir sama perlu digunakan bagi mengekalkan rupa asal bangunan tersebut.

Justeru, masyarakat perlu memahami fungsi kewujudan muzium dan peranannya kepada masyarakat. Muzium perlu dijadikan destinasi utama apabila melancong ke sesebuah negeri atau negara kerana ia bukan hanya memberikan hiburan malah terdapat banyak khazanah ilmu yang bermanfaat terdapat di dalamnya. Bukan sahaja berkaitan sejarah, terdapat banyak disiplin ilmu yang terdapat di muzium antaranya kebudayaan, warisan, seni bina, permuziuman dan lain-lain lagi.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Saturday, November 26, 2022

Pameran Nostalgia Anak Kampung : Kenduri Kendara @ Muzium Negara

Hari ini berkesempatan ke Muzium Negara bagi mengikuti Majlis Perasmian Pameran Nostalgia Anak Kampung : Kenduri Kendara @ Muzium Negara. Pameran ini berlangsung di ruang pameran sementara di Muzium Negara bermula 12 November hingga 31 Disember 2022.

Bagi yang duduk berdekatan bolehlah meluangkan masa untuk mengunjungi pameran ini yang pastinya akan mengimbau kembali kenangan lalu nan menusuk kalbu. Bawa sekali anak-anak agar mereka tahu dan mengerti akan warisan dan budaya kita.

Macam biasalah, sebagai jurugambar tidak terlatih, sempat aku menangkap beberapa gambar sebagai kenang-kenangan bagi membuktikan aku hadir ke pameran ini. 😀😀😀