Tuesday, August 1, 2023

Membantu Pelajar PhD dari China Membuat Penyelidikan

Walaupun aku telah bertukar dari Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi ke Bahagian Pengurusan Muzium namun aku masih membantu para penyelidik yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan maklumat untuk kajian mereka. Atas tanggungjawab, aku tetap akan membantu kerana bagi aku, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita, Insya-Allah.

Tak berapa lama dahulu, pernah aku membantu seorang pelajar Sarjana bagi mendapatkan maklumat tentang jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku di temuduga dengan beberapa soalan, aku juga dengan senang hati melayannya dengan baik bahkan memberikan penerangan, memberikan laporan dan gambar-gambar berkaitan di samping mengeluarkan segala artifak yang tersimpan di dalam repositori untuk ditatapi oleh pelajar tersebut bagi tujuan penyelidikan. Apabila hendak mendapatkan informasi lanjut, beliau masih bertanya kepada aku melalui panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp

Apa yang membuat hati aku terharu, selepas beberapa bulan beliau whatsapp  kepada aku meminta izin untuk menamakan aku sebagai penulis bersama (co-writer) bagi penulisan jurnalnya. Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.



Hari ini seorang lagi, iaitu pelajar PhD dari China yang belajar di universiti tempatan telah aku santuni. Juga membuat kajian berkisar kepada jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku telah mengeluarkan artifak-artifak dalam simpanan untuk penyelidikan beliau dan turut membawanya ke tapak ekskavasi bagi menunjukkan lokasi artifak-artifak ditemui.

Selesai lawatan ke tapak ekskavasi, beliau mempelawa aku untuk makan tengah hari, namun aku menolaknya dengan baik.

* * * * *

Sebenarnya telah agak lama aku tidak mengemaskini blog. Kehilangannya buah fikiran untuk menulis di samping tugas-tugas yang tiada penghujungnya di pejabat membuatkan aku lelah namun aku tetap suka akan pekerjaan ku.

Aku berusaha menulis semula secara harian sama ada panjang atau ringkas catatan harian ku yang boleh diabadikan untuk rujukan diri aku sendiri pada masa akan datang. 

😎🤘🏼

Tuesday, July 18, 2023

Selamat Menyambut Tahun Baharu 1445 Hijrah



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sempena awal Muharam 1445 Hijrah, aku ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Islam kepada semua. Semoga tahun ini memberi keberkatan, rahmat dan kebahagiaan dalam kehidupan kita.

Awal Muharam merupakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah, ianya merupakan masa yang baik untuk merenung kembali dan menetapkan niat untuk menjadi lebih baik dalam perjalanan hidup kita. Marilah kita gunakan peluang ini untuk memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Allah SWT dan berusaha untuk menjadi lebih baik sebagai individu dan sebagai umat Islam.

Semoga kita dapat menghadapi cabaran dan rintangan dengan kekuatan dan ketabahan yang dianugerahkan oleh Allah. Jadikanlah awal Muharam ini sebagai titik tolak bagi perubahan positif dan meningkatkan amal ibadah serta kebaikan dalam hidup kita.

Selamat menyambut awal Muharam dan tahun baharu Islam. Semoga Allah sentiasa memberkati perjalanan hidup kita. Amin.

Thursday, July 13, 2023

Poster-poster Ucapan Selamat Menyambut Awal Muharam | Maal Hijrah | Tahun 1445 Hijrah

Sempena hendak menyambut Awal Muharam 1445 Hijrah yang bakal menjelma, aku meluangkan sedikit masa untuk mereka bentuk beberapa poster ucapan Awal Muharam @ Maal Hijrah 1445 dengan menggunakan laman sesawang postermywall

Bagi sesiapa yang ingin membuat poster ucapan Awal Muharam @ Maal Hijrah 1445 bolehlah mencuba dengan menggunakan lama sesawang tersebut. Atau boleh sahaja menggunakan mana-mana poster di bawah ini dengan hanya memasukkan nama kalian sendiri.