Showing posts with label sejarah melaka. Show all posts
Showing posts with label sejarah melaka. Show all posts

Wednesday, December 31, 2025

KESULTANAN MELAYU MELAKA



1400
Seorang putera raja dari Palembang bernama Parameswara menjejakkan kaki di tepi Selat Melaka. Melihat keindahan dan keistimewaan lokasi itu, beliau memutuskan untuk menubuhkan sebuah penempatan baharu yang dinamakan Melaka. Melaka kemudiannya berkembang pesat, menjadi pusat perdagangan yang terkenal, menarik pedagang dari seluruh Nusantara dan jauh ke Timur Tengah.

1403
Dalam usaha memperluaskan pengaruh dan jaringan perdagangan China, Laksamana Ying Ching tiba di Melaka. Semasa singgah di bandar yang sedang berkembang pesat itu, beliau menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan pemerintah tempatan. Pertemuan ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan antara China dan Melaka malah membuka peluang baru bagi pertukaran barangan, budaya dan ilmu pengetahuan antara kedua-dua wilayah.

1405
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, Dinasti Ming menganugerahkan sebuah batu bersurat kepada Melaka. Batu itu memuatkan puisi yang dikarang sendiri oleh Maharaja dengan memuji kebijaksanaan Raja Melaka dan kemakmuran kerajaannya. Batu bersurat bersejarah ini kemudian ditempatkan di ‘Bukit Barat’ sebagai Bukit Pelindung Negara yang menjadi simbol hubungan akrab dan penghormatan antara dua kerajaan.

1411
Parameswara bersama isterinya dan seramai 540 pengikut berangkat ke China untuk menghadap Maharaja Dinasti Ming. Setibanya di sana, mereka disambut dengan penuh kebesaran dan kemuliaan yang menandakan penghormatan tinggi Maharaja terhadap Raja Melaka dan kerajaannya. Lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan antara Melaka dan China sekali gus meletakkan Melaka sebagai kota yang disegani di mata dunia.

1414
Setelah kemangkatan Parameswara, puteranya, Megat Iskandar Syah berangkat ke China untuk memaklumkan berita duka tersebut kepada Maharaja Dinasti Ming. Dengan pengiktirafan dari pihak China, Megat Iskandar Syah kemudian menaiki takhta sebagai Raja Melaka menggantikan ayahandanya dan meneruskan legasi kepimpinan serta hubungan diplomatik yang telah terjalin.

1424
Seri Maharaja menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Semasa zaman pemerintahan baginda, adat istiadat serta tertib Diraja telah disusun dan dilaksanakan dengan teratur. Usaha ini meletakkan asas penting kepada sistem pemerintahan dan kemuliaan institusi Kesultanan Melaka.

1444
Putera kepada Sultan Muhammad Syah, iaitu Parameswara Dewa Syah atau Raja Ibrahim, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abu Syahid. Pada ketika itu, usia baginda masih muda. Namun, pemerintahan baginda amat singkat apabila baginda terkorban dalam satu peristiwa rampasan kuasa yang dipimpin oleh kakanda tirinya, Raja Kassim, sekali gus menamatkan riwayat pemerintahannya.

1446
Raja Kassim kemudiannya menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Pada zaman pemerintahan baginda, empayar Kesultanan Melaka mula berkembang dengan pesat, meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu serta menjangkau ke bahagian utara Sumatera sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai kuasa besar di rantau ini.

1456
Setelah kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakanda baginda, Raja Abdullah, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Baginda meneruskan legasi ayahandanya dengan memperluaskan empayar Melaka, menjadikannya lebih kukuh dan berpengaruh. Dikenali sebagai seorang pemerintah yang bijak dan berwawasan, Sultan Mansur Syah dianggap antara sultan yang paling cemerlang dalam kalangan pemerintah terdahulu.

1477
Setelah kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakanda baginda, Raja Hussain, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda digambarkan sebagai seorang sultan yang mengutamakan keselamatan dalam negeri serta menitikberatkan hubungan diplomatik dengan wilayah-wilayah taklukannya demi memastikan kestabilan dan keharmonian empayar Melaka terus terpelihara.

1488
Setelah kemangkatan ayahandanya, Sultan Alauddin Riayat Syah, anakanda baginda, Raja Mamad, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Baginda dikenali sebagai seorang pemerintah tegas dan berwawasan, berperanan mengekalkan kestabilan kerajaan, menguruskan hubungan dengan para pembesar, serta meneruskan legasi Melaka sebagai pusat perdagangan dan kuasa politik utama di rantau ini.

1509
Dalam usaha menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka, Diogo Lopes de Sequeira tiba di Melaka untuk mendapatkan tapak bagi aktiviti perdagangan Portugis. Perbincangan antara kedua-dua pihak diadakan, namun rundingan itu berakhir dengan kekecohan dan Rui de Araujo bersama 19 orang Portugis lain ditangkap oleh pihak Melaka.

1511
Sultan Mahmud Syah mengundurkan diri dari takhta dan melantik puteranya, Ahmad sebagai Sultan Melaka dengan gelaran Sultan Ahmad Syah. Pada 25 Julai, Afonso de Albuquerque melancarkan serangan ke atas Melaka. Sultan Ahmad Syah mengetuai bala tentera bersama ayahandanya dalam mempertahankan kota, namun akhirnya Melaka kalah, memaksa Sultan Ahmad Syah dan ayahandanya berundur ke wilayah-wilayah takluk Melaka.

1516
Sultan Ahmad Syah dibunuh atas perintah ayahandanya, Sultan Mahmud Syah akibat konflik yang timbul antara baginda dengan para pembesar. Dengan kemangkatan puteranya itu, Sultan Mahmud Syah kembali menaiki takhta bagi meneruskan pemerintahan dan menstabilkan keadaan kerajaan.

1528
Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar, menandakan berakhirnya era Kesultanan Melayu Melaka. Kematian baginda menutup satu babak penting dalam sejarah Melayu, selepas berabad-abad Melaka menjadi pusat perdagangan dan kuasa politik yang disegani di rantau ini.

Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator

Rujukan:

Mons. Manuel Teixera. 1986. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511 – 1958) Volume I. Macau: Instituto Cultural de Macau

1995. Albuquerque Caesar Timur (Teks-Teks Pilihan Daripada Afonso De Albuquerque dan Anaknya). Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya

A. Samad Ahmad. 1997. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Armando Cortesao. 2005. The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East, From the Red Sea to China, Written in Malacca and India in 1512 – 1515. New Delhi: Asian Educational Services

Liang Liji. 2009. Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Muhammad Yusoff Hashim. 2015. Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Chong Kok Hoong. 2019. Laksamana Zheng He: Teladan Merentasi Zaman. Kuala Lumpur: Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia

Friday, December 19, 2025

SULTAN AHMAD SYAH: SULTAN MELAKA YANG DILUPAKAN

Kesultanan Melaka merupakan sebuah kerajaan Melayu yang terkenal dengan kekuatan politik dan perdagangan. Dalam sejarahnya, beberapa sultan telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman luar. Salah seorang daripada tokoh penting ini ialah Sultan Ahmad Syah, yang menaiki takhta pada tahun 1511 yang dilantik oleh ayahandanya, Sultan Mahmud Syah. Kepimpinan Sultan Ahmad Syah bukan sahaja diuji dengan cabaran dalaman seperti hubungan dengan para pembesar dan urusan pentadbiran tetapi ancaman luaran yang besar terutamanya serangan Portugis ke atas Kota Melaka. Perjuangan dan ketokohan baginda mencerminkan keberanian dan ketabahan seorang sultan muda yang berusaha menegakkan keadilan, mempertahankan tanah air serta meneruskan kesinambungan pemerintahan dinasti Melaka.

Raja Ahmad lahir daripada perkahwinan antara Sultan Mahmud Syah dan seorang permaisuri yang juga puteri Sultan Muhammad Syah dari Pahang yang menunjukkan hubungan kerabat diraja yang erat antara negeri-negeri Melayu. Sebagai anak sulung, Raja Ahmad memegang kedudukan penting dalam garis pewarisan manakala dua orang adik perempuannya melengkapkan keluarga diraja. Perkahwinan ini bukan sahaja menyatukan dua keluarga diraja tetapi memberi kestabilan politik dan sosial melalui pengukuhan hubungan antara Melaka dan Pahang.

Sultan Mahmud Syah terkenal dengan minat yang mendalam terhadap ilmu agama khususnya melalui bimbingan guru yang berilmu seperti Maulana Yusuf. Minat dan keazaman baginda dalam mempelajari agama bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi diterapkan kepada puteranya, Raja Ahmad. Ini menunjukkan bahawa pendidikan agama dianggap sangat penting dalam keluarga diraja, bukan sekadar untuk pembentukan peribadi tetapi sebagai persiapan bagi Raja Ahmad untuk memimpin dengan ilmu dan kebijaksanaan agama. Dengan mengaji tasauf di bawah bimbingan Makhdum Sadar Jahan, Raja Ahmad bukan sahaja mempelajari ilmu zahir, tetapi mendalami aspek rohani dan akhlak yang tinggi yang merupakan asas kepimpinan seorang putera raja.

Pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah berundur dari takhta Kesultanan Melaka dan melantik puteranya, Raja Ahmad yang kemudiannya bergelar Sultan Ahmad Syah. Baginda turun takhta kerana kecewa terhadap dirinya sendiri selepas menghukum mati Bendahara tanpa usul periksa sepertimana tercatat dalam Sejarah Melayu, "Maka Sultan Mahmud terlalu sangat menyesal diri baginda, oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Hatta Sultan Mahmud pun membuangkan kerajaan baginda, Raja Ahmadlah dirajakan baginda, bergelar Sultan Ahmad Syah." Peristiwa ini menggambarkan kesedaran Sultan Mahmud Syah terhadap kesilapannya serta menekankan kepentingan keadilan dan tanggungjawab dalam pemerintahan sambil memastikan kesinambungan kuasa dan kestabilan kerajaan melalui pelantikan Raja Ahmad.

Walaupun telah dimasyhurkan sebagai Sultan Melaka, Sultan Ahmad Syah tetap menunjukkan kasih sayang dan penghormatan yang tinggi terhadap ayahandanya, Sultan Mahmud Syah. Setiap kali ayahandanya berangkat ke mana-mana, Sultan Ahmad Syah menitahkan agar orang-orang besar dan pembesar negeri turut mengiringi baginda sebagai tanda kemuliaan dan keselamatan. Namun demikian, Sultan Mahmud Syah menolak untuk diiringi oleh para pembesar tersebut kerana baginda tidak lagi berhasrat menerima layanan sebagai seorang Sultan.

Pentadbiran Sultan Ahmad Syah dalam memerintah Melaka tidak semudah pemerintahan pemerintah terdahulu. Pada tahun pertama baginda menaiki takhta, Sultan Ahmad Syah diuji dengan kedatangan Portugis ke Melaka. Afonso de Albuquerque melancarkan serangan terhadap Melaka pada 25 Julai 1511. Ketokohan dan keberanian Sultan Ahmad Syah terserlah apabila baginda sendiri mengetuai angkatan tentera Melaka dengan menaiki gajah baginda yang bernama Jinak Ci bagi mempertahankan kota. Dengan tentangan yang hebat daripada Sultan Ahmad Syah dan bala tenteranya, serangan Portugis akhirnya gagal dan mereka terpaksa berundur ke kapal-kapal mereka.

Pada 10 Ogos 1511, Portugis sekali lagi melancarkan serangan terhadap Kota Melaka. Seperti serangan pertama, Sultan Ahmad Syah sendiri mengetuai pertahanan, menaiki gajahnya yang bernama Juru Demang. Serangan kali ini berskala besar dan terlalu hebat sehingga tentera Melaka terpaksa berundur meninggalkan Sultan Ahmad Syah dan gajahnya bertahan sendirian. Baginda dikepung dan cedera dalam pertempuran, akhirnya terpaksa berundur dan akhirnya pada 24 Ogos 1511 Kota Melaka jatuh sepenuhnya ke tangan Portugis. Sultan Ahmad Syah berundur ke Muar, kemudian Pahang dan seterusnya ke Bentan.

Walaupun Sultan Ahmad Syah dikatakan sebagai seorang pemuda yang baik budi pekerti dan pemurah tetapi turut mengamalkan diskriminasi terhadap para pembesar yang telah berusia dan lebih mengasihi para pembesar yang berusia muda. Dalam Sejarah Melayu mencatatkan, “Adapun Sultan Ahmad Syah, tiada kasih akan Orang Besar-besar; yang dikasihi baginda, pertama Tun Ali Hati seorang namanya,… dan segala orang-orang muda dua tiga belas orang…”. Ini menyebabkan para pembesar yang tua tidak menyukai Sultan Ahmad Syah.

Tindakan Sultan Ahmad Syah yang dikatakan tidak menghormati pembesar-pembesar yang lebih tua diketahui oleh ayahandanya, Sultan Mahmud Syah, lalu baginda amat murka. Baginda telah mengarahkan pengikutnya untuk membunuh anakandanya dan Sultan Ahmad Syah mangkat kira-kira pada tahun 1516. Dengan kemangkatan baginda, berakhirlah hayat seorang sultan yang namanya tercatat dalam sejarah sebagai tokoh yang berani memerangi Portugis.

Matawang syiling timah Sultan Ahmad Syah

Walaupun pemerintahan Sultan Ahmad Syah hanya berlangsung kira-kira lima tahun (1511–1516), namanya tercatat dalam sistem matawang zaman Kesultanan Melayu Melaka. Seperti Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah yang mempunyai nama tertera pada matawang timah, Sultan Ahmad Syah juga mempunyai matawang timah sendiri. Pada permukaan hadapan matawang tersebut tertulis “Ahmad ibni Mahmud” (Ahmad bin Mahmud) yang jelas menunjukkan identiti sultan, manakala di permukaan belakang tertera “Al-Sultan Al-Adil”, menandakan baginda seorang sultan yang adil. Kewujudan matawang ini membuktikan bahawa Sultan Ahmad Syah merupakan salah seorang sultan Melaka yang memiliki keistimewaan dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Kehidupan dan pemerintahan Sultan Ahmad Syah mencerminkan kepimpinan seorang sultan muda yang berani, berilmu dan berpegang kepada prinsip keadilan walaupun menghadapi cabaran besar daripada Portugis dan konflik dalaman dengan para pembesar. Walaupun pemerintahannya singkat dan berakhir dengan kemangkatan baginda pada tahun 1516, jasa serta ketokohannya tercatat dalam sejarah sebagai seorang pemimpin yang berani mempertahankan kedaulatan Melaka. Namanya perlu diangkat sebagai tokoh yang patut dikenang kerana warisannya bukan sahaja menonjolkan keberanian dalam peperangan tetapi menekankan kepentingan ilmu, akhlak dan tanggungjawab dalam memimpin sebuah kerajaan yang menjadikannya tokoh yang dihormati dalam sejarah Kesultanan Melaka.

Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator

Rujukan:

William Shaw & Mohd Kassim Ali. 1970. Malacca Coins. Jabatan Muzium Malaysia: Kuala Lumpur

Mons. Manuel Teixera. 1986. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511 – 1958) Volume I. Instituto Cultural de Macau: Macau

A. Samad Ahmad. 1997. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Armando Cortesao. 2005. The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East, From the Red Sea to China, Written in Malacca and India in 1512 – 1515. Asian Educational Services: New Delhi

Muhammad Yusoff Hashim. 2015. Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Tun Suhana Tun Othman. 2020. Rahsia Penaklukan Melaka 1511. Penerbit Alami Sdn. Bhd.: Seremban

Saturday, November 22, 2025

Perihal Banyaknya Harimau di Melaka



Sejak dahulu lagi, harimau merupakan haiwan liar yang memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk Melaka. Kehadirannya bukan sahaja menakutkan, malah kadangkala membahayakan manusia dan ternakan. Banyak laporan akhbar antara tahun 1889 hingga 1948 mencatatkan pelbagai insiden melibatkan harimau, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Ayer Molek, Merlimau dan Asahan. Laporan-laporan ini menunjukkan bahawa penduduk tempatan hidup dalam ketakutan setiap kali harimau muncul di sekitar kampung atau estet.

Pada tahun 1889, sebuah insiden menarik berlaku apabila seekor harimau besar ditembak di Ayer Chermin. Harimau tersebut dikatakan antara yang terbesar pernah dilihat di Melaka pada masa itu. Pada tahun 1890 pula, penduduk berbangsa Melayu di Ayer Molek berjaya menangkap sepasang harimau jantan dan betina menggunakan perangkap lubang yang digali sendiri. Harimau jantan dipindahkan ke Singapura, manakala harimau betina tidak sempat dibawa masuk kerana kerajaan telah memutuskan untuk tidak memberikan ganjaran lagi. Pada tahun 1899, seorang lelaki Melayu cuba membawa seekor harimau hidup ke bandar Melaka, tetapi harimau itu melarikan diri ketika dia tertidur di Kubu. Harimau tersebut kemudian dilaporkan muncul di tebing Sungai Melaka sebelum hilang.

Pada tahun 1906, penduduk Melaka dikejutkan dengan kemunculan seekor harimau berhampiran jalan pantai menuju ke Tanjong Kling, kira-kira lima batu dari bandar. Harimau itu diburu sepanjang hari oleh pihak polis dan akhirnya berjaya ditembak, kejadian itu kelihatan pelik kerana haiwan tersebut ditemui di tengah-tengah sawah padi yang luas, jauh daripada kawasan hutan. Kejadian ini menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk kerana jarang sekali harimau muncul begitu dekat dengan kawasan bandar. Tidak lama kemudian, masyarakat Melaka mula terbiasa dengan kehadiran harimau kerana kejadian demi kejadian terus berlaku. Dua minggu selepas itu, seekor harimau betina pula ditembak di Jalan Portugis dan dalam tempoh sepuluh hari berikutnya seekor lagi harimau dilihat berjalan dari Fort Terrace ke Duyong, kemudian ke Bukit China dan akhirnya bersembunyi di Bukit St. John. Pihak polis dan beberapa pemburu cuba menjejaknya, namun usaha mereka tidak berhasil dan harimau tersebut dipercayai telah meninggalkan kawasan tersebut.

Selain membahayakan manusia, harimau juga sering menyerang ternakan kampung. Pada tahun 1915, seekor harimau sepanjang sembilan kaki dibunuh di Estet Kelemak selepas ia menyerang banyak lembu di kampung berhampiran. Di Merlimau pula, seorang pemburu bernama Matrus bin Samat berjaya menembak seekor harimau besar sepanjang 14 kaki pada tahun 1929 selepas berjaya menjejakinya. Matrus terkenal kerana pernah membunuh tiga ekor harimau lain di kawasan tersebut sebelum ini. Pada masa yang sama, seorang pekerja Melayu di Estet Melekek menembak seekor harimau dewasa dan menyerahkan bangkainya kepada seorang taksidermis di Seremban. Kejadian ini menunjukkan bahawa penduduk tempatan mempunyai keberanian dan kepakaran dalam menangani haiwan liar.

Namun, ada juga insiden tragis yang melibatkan kehilangan nyawa manusia. Pada tahun 1931, seorang wanita Melayu di Batu Berendam diserang dan dibunuh oleh harimau ketika keluar dari rumah pada awal pagi. Mayatnya ditemui dalam keadaan tercakar teruk, menunjukkan kekuatan haiwan tersebut. Pada tahun 1935 pula, seorang penoreh getah bernama Saleh bin Budin dipercayai telah dibawa lari oleh harimau di Asahan. Selain itu, berlaku juga kemalangan tembakan semasa pemburuan, apabila seorang pemburu tersalah tembak rakannya kerana menyangkakan cahaya lampu suluh adalah mata harimau. Kejadian-kejadian ini menekankan bahaya yang dihadapi penduduk setiap hari serta risiko pemburuan harimau.

Beberapa kejadian menarik dan luar biasa turut dilaporkan. Pada tahun 1935, seekor harimau dewasa dilanggar kereta oleh seorang pengurus estet ketika harimau tersebut sedang tidur di tengah jalan. Harimau tersebut mati di tempat kejadian. Pada tahun 1938, dua anggota polis terserempak dengan seekor harimau besar di Jalan Peringgit berhampiran Sungai Putat semasa rondaan malam. Penduduk tempatan mengaitkan kemunculan harimau itu dengan kepercayaan bahawa ia “penjaga” keramat Datok Sungai Putat. Pada tahun 1946 pula, satu perangkap babi hutan secara tidak sengaja menangkap seekor harimau hidup di Estet St. Francis, Gadek.

Pada lewat 1940-an, pemburuan harimau masih diteruskan walaupun banyak kawasan hutan telah diusahakan. Pada tahun 1948, Ong Kim Boo, seorang juruwang Perbandaran Melaka, berjaya membunuh seekor harimau besar di Asahan selepas dikejar oleh anjing pemburu. Pada tahun yang sama, O.C.P.D. Jasin, Encik Basha bin Talip, menembak mati seekor harimau yang terperangkap dalam jerat babi hutan.

Kesemua laporan ini menunjukkan bahawa harimau pernah menjadi ancaman nyata kepada penduduk Melaka pada masa lalu. Kehadirannya menuntut keberanian penduduk tempatan dan pemburu serta mencerminkan kehidupan masyarakat dahulu yang bergantung pada hutan dan tanah pertanian. Selain itu, kepercayaan tradisional juga mempengaruhi cara masyarakat menghadapi haiwan liar, di mana mereka percaya harimau tertentu berkait dengan unsur mistik dan keramat. Sejarah ini mengajar kita tentang kepentingan keberanian dan hubungan manusia dengan alam semula jadi.

Sumber rujukan :

Malacca News. Pinang Gazette and Straits Chronicle, 25 June 1889, Page 3

Malacca News. Straits Times Weekly Issue, 18 February 1890, Page 19

So Like Malay. Pinang Gazette and Straits Chronicle, 11 January 1899, Page 2

Tigers In Malacca. The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (Weekly), 24 January 1907, Page 61

Untitled. The Straits Times, 26 July 1915, Page 8

Jasin Notes. Malacca Guardian, 26 August 1929, Page 2

A Malacca "Bag". The Straits Times, 6 November 1929, Page 12

Woman Killed By A Tiger. The Straits Times, 7 August 1931, Page 12

Woman Killed By A Tiger. The Straits Budget, 13 August 1931, Page 12

Tiger Run Over By Planter Near Malacca. Pinang Gazette and Straits Chronicle, 26 August 1935, Page 1

Malacca Notes. Malaya Tribune, 27 August 1935, Page 19

Sleeping Tiger. The Straits Budget, 26 September 1935, Page 5

Shooting Accident. Malaya Tribune, 27 August 1935, Page 19

Tiger Takes Tapper. The Straits Times, 24 September 1935, Page 12

Tiger Takes Tapper. The Straits Budget, 26 September 1935, Page 8

Two Tiger Cubs Shot. The Straits Times, 26 February 1936, Page 16

Malacca Tiger Scare Confronts Policemen On Road. Morning Tribune, 6 June 1938, Page 3

Policemen Meet Tiger. Malaya Tribune, 6 June 1938, Page 13

Wild Boar Trap Gets Tiger. Malaya Tribune, 27 November 1946, Page 6

Tiger Scare In Asahan. Malaya Tribune, 28 May 1948, Page 3

Tiger Shot In Malacca. Morning Tribune, 11 December 1948, Page 3

O.C.P.D. Kills Tiger. The Straits Times, 24 December 1948, Page 8

Wednesday, November 5, 2025

Kronologi Penemuan Rangka Kayu Kapal Purba Berdekatan Pulau Melaka

Pada tahun 2020, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menerima laporan tentang penemuan beberapa artifak lama yang dipercayai berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Selain itu, rangka sebuah kapal purba yang karam juga ditemui di kawasan penambakan laut berhampiran Pulau Melaka. Penemuan ini berlaku dipercayai kerana perubahan aras air laut dan kerja-kerja penambakan di kawasan tersebut menyebabkan artifak lama timbul di permukaan lumpur dan daratan.

Pada 17 September 2020, pihak Jabatan Warisan Negara bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah menjalankan lawatan ke tapak penemuan itu. Hasil daripada lawatan tersebut, banyak artifak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka telah ditemui. Penemuan ini membuktikan bahawa kawasan Pulau Melaka suatu ketika dahulu mungkin menjadi tempat penting dalam kegiatan perdagangan maritim.

Selepas itu, pada 13 Oktober 2020, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan melibatkan beberapa agensi seperti PERZIM, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Pejabat Tanah Melaka Tengah, Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah dan kumpulan penyelidik tempatan. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan langkah seterusnya bagi menjalankan kajian lebih mendalam tentang tapak kapal karam yang ditemui di kawasan itu.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, satu kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi telah dijalankan oleh JWN bersama PERZIM dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari 25 hingga 31 Mac 2021. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti kedudukan sebenar artifak, membuat rakaman gambar serta menganalisis bahan yang ditemui. Hasil kajian menunjukkan bahawa penemuan ini sangat penting untuk membantu kita memahami sejarah perdagangan maritim Melaka pada masa dahulu.

Menurut catatan sejarah, sebelum adanya Pulau Melaka yang dibina melalui kerja penambakan laut, terdapat sebuah pulau kecil di kawasan tersebut yang dikenali sebagai Pulau Jawa. Dahulu, kawasan perairan ini sangat sibuk dengan kapal-kapal dagang dari pelbagai negara kerana Melaka merupakan pelabuhan entrepot yang terkenal di rantau ini.

Semasa terlibat dalam kerja-kerja penyelamata artifak berdekatan Pulau Melaka pada tahun 2021

Pada 20 Oktober hingga 2 Disember 2021, kerja ekskavasi fasa kedua dijalankan oleh PERZIM. Dalam kerja fasa kedua ini, pelbagai artifak berharga telah ditemui seperti seramik, mata wang dan serpihan kayu kapal. Antara yang menarik ialah porselin biru putih dari zaman Dinasti Ming dan Ching, tembikar batu serta tembikar tanah dari abad ke-19. Selain itu, terdapat juga wang timah zaman Kesultanan Melaka, mata wang Portugis, Belanda dan China. Serpihan kayu yang ditemui pula dipercayai berasal daripada rangka kapal atau perahu lama yang karam di perairan tersebut.

Secara keseluruhannya, penemuan artifak dan kapal purba di Pulau Melaka ini amat bermakna. Ia bukan sahaja membantu kita memahami sejarah Kesultanan Melayu Melaka dengan lebih mendalam, malah menunjukkan bahawa Melaka suatu ketika dahulu merupakan pusat perdagangan maritim yang penting di rantau ini. Oleh itu, penemuan ini wajar dipelihara dan dikaji dengan teliti agar warisan sejarah negara kita terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Tuesday, November 4, 2025

Kisah Ikan Paus di Sebatu dan Teluk Mas, Melaka

Pada tahun 1892, penduduk di kawasan Sebatu, Melaka dikejutkan dengan satu kejadian luar biasa. Seekor paus biru gergasi ditemui terdampar di tepi pantai. Panjangnya dianggarkan sekitar 42 kaki, menjadikannya antara haiwan laut terbesar yang pernah dilihat di kawasan itu.

Berita penemuan tersebut sampai ke Muzium Raffles di Singapura, yang pada masa itu terkenal sebagai pusat penyelidikan haiwan di Asia Tenggara. Pegawai muzium datang ke Melaka dan membawa rangka paus itu ke Singapura. Di sana mereka membersihkannya dengan teliti sebelum memasangnya semula untuk dijadikan pameran.

Pada 13 Februari 1907, muzium tersebut dibuka semula kepada orang ramai dengan sambutan luar biasa. Antara pameran yang paling menarik perhatian ialah rangka paus gergasi dari Sebatu yang akhirnya dipamerkan kepada umum buat pertama kali. Pameran ini menjadi kebanggaan kerana menunjukkan betapa kayanya hidupan laut di perairan Melaka.

Beberapa puluh tahun kemudian, pada 1974, Singapura menghadiahkan rangka paus tersebut kepada Muzium Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Langkah ini dianggap simbolik kerana rangka itu berasal dari Melaka, tanah air penemuannya.

Rangka paus ditanggalkan di National Museum Singapore untuk dipindahkan ke Muzium Negara Malaysia di Kuala Lumpur


Kini, selepas beberapa kali dipindahkan, rangka paus dari Sebatu dipamerkan di Muzium Labuan, Sabah sejak tahun 2003. Ia terus menjadi tarikan kepada para pelawat yang ingin melihat sendiri tinggalan berharga sejarah alam laut Melaka.

Lima puluh sembilan tahun selepas penemuan pertama, pada tahun 1955, penduduk Melaka sekali lagi dikejutkan dengan penemuan seekor paus di Telok Mas. Pada suatu pagi, sekumpulan nelayan ternampak sesuatu besar terapung di laut. Setelah dihampiri, mereka mendapati ia seekor paus sepanjang 15 kaki yang sudah lemah dan tidak mampu berenang. Tidak lama kemudian, paus itu mati dan terdampar di pantai.

Penemuan ini dimaklumkan kepada R. C. Cole, Pegawai Perikanan bagi kawasan Barat Daya Tanah Melayu. Beliau mengarahkan supaya tengkorak paus tersebut diselamatkan dan dihantar ke Muzium Raffles untuk dikaji oleh Dr. C. A. Gibson-Hill, seorang ahli zoologi dan kurator muzium. 

Hasil kajian menunjukkan bahawa paus dari Telok Mas ini termasuk dalam spesis paus bermuncung yang sangat jarang ditemui. Sebelum itu, paus seperti ini hanya pernah direkodkan di New Zealand dan belum pernah ditemui di Asia Tenggara. Penemuan dari Melaka ini dianggap sangat penting kerana ia menambah pengetahuan dunia tentang haiwan laut yang jarang dilihat.

Setahun kemudian, pada tahun 1956, Lembaga Muzium Melaka (Malacca Museum Board of Malaya) menghadiahkan tengkorak paus tersebut kepada Natural History Museum di London. Hadiah ini sangat istimewa kerana hanya ada satu lagi tengkorak seumpamanya di dunia, iaitu di United States National Museum. Tengkorak paus dari Telok Mas yang disimpan di London merupakan satu-satunya spesimen dari Asia Tenggara pada ketika itu. 

Kedua-dua kisah ini menunjukkan bahawa Melaka bukan sahaja terkenal sebagai negeri bersejarah, tetapi juga memainkan peranan penting dalam kajian sains dan alam semula jadi. Dari Sebatu ke Telok Mas, dari Melaka ke Singapura, Kuala Lumpur, Labuan dan London, kisah paus ini membuktikan bahawa lautan Melaka menyimpan banyak rahsia tentang kehidupan di bawah laut.

Sunday, October 26, 2025

Kisah Bibik Penjaga Pusara Hang Kasturi

Pusara Hang Kasturi terletak di tepi Jalan Gelanggang, berhampiran dengan sebuah tokong Cina. Keadaannya lebih terjaga berbanding pusara Hang Jebat. Kawasan seluas kira-kira lima puluh kaki persegi itu dilindungi pagar zink, sementara bahagian hadapan diperkukuh oleh tembok batu setinggi hampir tujuh kaki.

Makam Hang Kasturi yang pernah aku singgah pada tahun 2023

Pintu pagarnya berkunci. Namun, menurut penduduk sekitar, kunci tersebut dijaga oleh seorang wanita tua peranakan yang tinggal di rumah kecil di belakang pusara.

Wanita itu dikenali sebagai Bibik Gee Neo, berusia sekitar tujuh puluh tahun. Tubuhnya sedikit bongkok, namun langkahnya masih cermat. Rambutnya yang sudah memutih disanggul kemas dan wajahnya menyimpan tanda kehidupan yang sarat pengalaman.

“Saya jaga kubur ini sudah lebih tiga puluh tahun,” ujarnya tenang ketika memegang kunci pagar.

Setiap gerak-geri bibik itu memperlihatkan rasa hormat yang mendalam terhadap tempat tersebut.

Binaan pusara Hang Kasturi memukau sesiapa yang memerhatikannya dari dekat. Dibina dua tingkat dengan tiang-tiang batu di bahagian kepala dan kaki, pusara ini menonjolkan seni bina lama yang halus. Walaupun bentuknya jauh berbeza daripada pusara Hang Jebat, ukiran di pintu masuk dan bahagian tempat bara menunjukkan persamaan dari segi gaya sentuhan seni yang mungkin berasal dari zaman yang sama.

Menurut Bibik Gee Neo, tidak ramai yang datang menziarah.

“Biasanya orang luar Melaka. Mereka hulur derma untuk bibik,” katanya sambil tersenyum nipis.

Daripada derma itulah beliau membeli kapur, mengupah orang mengapur dan membersihkan kawasan pusara setahun sekali atau dua kali.

Apabila ditanya bagaimana beliau tahu pusara itu milik Hang Kasturi, jawapannya dirujuk pada masa silam.

“Dulu ada seorang lelaki tua, selalu datang baca doa di sini. Dia yang beritahu ini kubur Hang Kasturi. Itu kira-kira tiga puluh lima tahun dulu,” jelasnya.

Dalam satu perbualan, Bibik Gee Neo menceritakan sebuah pengalaman yang tidak pernah dilupakannya.

“Pernah bibik nampak lembaga berbaju kuning keluar dari kawasan kubur ini waktu malam, dalam lebih kurang tiga puluh lima tahun dulu. Dia keluar perlahan, jalan… kemudian masuk balik.”

Sejak peristiwa itu, beliau semakin menghormati pusara ini dan tidak membenarkan sebarang perlakuan tidak senonoh di kawasan tersebut.

Beliau juga pernah menanam pokok bunga di sekeliling pusara, namun kesemuanya dipetik oleh pelawat yang “tangan gatal”.

Selain itu, apabila tidak sihat, beliau sering berdoa di pusara tersebut, dan katanya, hajatnya selalu dimakbulkan.

Kini, pusara itu bukan sahaja berdiri sebagai lambang sejarah, tetapi juga sebagai saksi kesetiaan seorang wanita tua yang setia menjaga warisan tanpa bayaran tetap, hanya berbekalkan derma ikhlas pelawat dan kepercayaan terhadap sesuatu yang lebih besar daripada dirinya.

Di sebalik tembok batu dan pagar zink, terhimpun kisah tentang persahabatan lama yang telah lama berlalu serta kesetiaan baharu yang lahir daripada penghormatan dan rasa percaya. Dan di tengah semua itu berdirilah Bibik Gee Neo, penjaga sunyi yang tidak pernah melupakan tugasnya.

* Diolah dari kisah sebenar. Sumber rujukan : Pusara Hang Kasturi - Berita Harian 12 Oktober 1969.

Tuesday, September 23, 2025

Menara Jam Melaka Dalam Lintasan Sejarah: Legasi Keluarga Tan Beng Swee


Menara Jam di Melaka bukan sekadar bangunan lama yang berdiri di tengah kota. Ia adalah simbol kasih seorang ayah, tanda jasa sebuah keluarga dan saksi bisu perubahan zaman.

Segalanya bermula pada tahun 1873. Seorang hartawan terkenal, Tan Beng Swee, menghadiahkan sebuah jam besar kepada bandar Melaka dan sebuah menara khas didirikan. Seorang penjaga jam dilantik dengan gaji bulanan $4.50, jumlah yang ketika itu cukup besar semata-mata untuk memastikan jarum jam terus berdetik tepat pada waktunya.

Beberapa tahun kemudian, pada 1878, tugas itu diserahkan kepada Abdul Ghafar. Kawasan sekitarnya pula dirancang sebagai Taman Botani menjadikan menara jam ini bukan hanya tempat melihat waktu, tetapi juga pusat rekreasi dan tumpuan masyarakat.

Keindahan menara ini turut memikat hati orang luar. Pengembara terkenal, Isabella L. Bird, dalam bukunya The Golden Chersonese and the Way Thither (1883), menggambarkannya sebagai "a handsome clock-tower..." (sebuah menara jam yang indah) terletak berdekatan Stadthuys, menara ini menjadi mercu tanda yang mudah dikenali.

Apabila Tan Beng Swee meninggal dunia pada 1884, legasinya tidak berakhir. Anaknya, Tan Jiak Kim meneruskan jasa ayahnya. Pada tahun 1886, beliau membaik pulih menara ini dengan menambah empat muka jam bercahaya yang berkilau di malam yang menjadikannya lebih megah dari sebelumnya. Jam asalnya pula ditempah khas dari London, buatan John Smith & Sons, pengeluar jam terkemuka dunia pada era itu.

Namun, nama Tan Beng Swee tidak hanya terpahat kerana menara jam. Beliau juga dikenang sebagai Presiden Tokong Cina Melaka selama 17 tahun serta pengasas Sekolah Bebas (Free School), membuka peluang pendidikan untuk masyarakat.

Masa terus berjalan. Pada tahun 1982, jam asal dari England akhirnya digantikan dengan jam moden jenama Seiko dari Jepun. Walau begitu, menara ini tetap teguh berdiri, seakan nadi Kota Melaka yang tidak pernah berhenti berdenyut.

Hari ini, Menara Jam Melaka bukan sekadar penunjuk waktu. Ia adalah ikon warisan, dinding merahnya menyimpan kisah berabad lamanya dan setiap detik jarumnya mengingatkan kita bahawa sejarah tidak pernah berhenti, ia terus hidup, bernafas bersama kota Melaka yang bersejarah. 

Wednesday, May 21, 2025

Masjid Agung Melaka: Saksi Bisu Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah "masjid" merujuk kepada sebuah bangunan yang berfungsi sebagai tempat umat Islam melaksanakan ibadah kepada Allah, khususnya solat. Selain daripada fungsi utamanya sebagai tempat solat berjemaah, masjid turut memainkan peranan penting sebagai pusat aktiviti keagamaan, sosial, pendidikan dan kemasyarakatan dalam sesebuah komuniti Islam.

Perkataan "agung" pula ditakrifkan sebagai besar, mulia, tinggi martabatnya atau amat dihormati. Dalam konteks lain, ia turut membawa makna hebat atau luar biasa. Perkataan ini sering kali digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang mempunyai nilai simbolik, berprestij serta mencerminkan ketinggian darjat atau kedudukan sesuatu entiti.

Institusi masjid bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini dapat dilihat menerusi catatan dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang antara lainnya menggambarkan keberadaan masjid sebagai tempat ibadah bagi golongan pemerintah. Antara catatan yang signifikan ialah keberangkatan raja dan para pembesar dalam solat tarawih, solat jenazah Sultan Muhammad Syah di masjid serta pembangunan masjid pada era pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah.

Masjid Agung Melaka di dalam teks Portugis dirujuk sebagai The Great Mosque boleh ditafsirkan sebagai sebuah institusi keagamaan yang besar serta mempunyai kedudukan yang penting. Dalam Suma Oriental, Tome Pires mencatatkan bahawa Sultan Mansur Syah telah mendirikan sebuah masjid yang indah yang tapaknya didirikan kubu A' Famosa (Yang Termasyhur)Masjid ini digambarkan sebagai struktur paling mengagumkan di wilayah Melaka.

Jika catatan tersebut dijadikan rujukan yang sahih, maka dapat dirumuskan bahawa Masjid Agung Melaka telah dibina sekurang-kurangnya tiga dekad sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456–1477).

Masjid Agung Melaka dikatakan dibina menggunakan pelbagai bahan binaan seperti bongkah batu, kayu dan atap yang diperbuat daripada daun palma. Menurut Gaspar Correia, terdapat sebuah masjid yang besar yang dibina menggunakan bongkahan batu. Dari segi struktur, masjid ini dipercayai kukuh dan tersergam indah. Lokasinya pula amat strategik, terletak berhampiran dengan istana di atas bukit, muara sungai dan jambatan yang menghubungkan kedua-dua bahagian kota Melaka. 

Serangan Portugis terhadap Melaka pada 25 Julai 1511 (hari St. James) menunjukkan bahawa Masjid Agung merupakan antara struktur penting yang menjadi sasaran utama penjajah. Portugis telah menawan jambatan yang menghubungkan pusat pemerintahan Melaka dan kawasan seberang dengan membina kubu di kedua-dua hujung jambatan. Strategi ini bertujuan untuk memisahkan pasukan tentera Kesultanan Melaka dan menyekat bantuan dari kawasan Upeh (kini Jalan Jonker membawa ke Tengkera). 

Serangan ini menyaksikan pertempuran hebat antara tentera Portugis dan tentera Kesultanan Melayu Melaka yang mempertahankan masjid dan kubu berhampiran. Masjid akhirnya berjaya ditawan oleh Portugis setelah mereka mara dari arah pantai.

Setelah berjaya menguasai kawasan strategik, pihak Portugis telah membakar masjid dan istana sebagai sebahagian daripada usaha menundukkan kerajaan Melaka. Namun begitu, akibat keletihan dan kekurangan bekalan makanan, pasukan Portugis terpaksa berundur ke kapal yang kemudiannya memberi ruang kepada tentera Kesultanan Melaka untuk memperkukuh pertahanan dan menguasai semula kawasan tersebut.

Pada 10 Ogos 1511 di hari Jumaat (sesetengah sumber menyatakan 8 Ogos 1511), serangan kedua Portugis dilancarkan pada waktu subuh dengan tumpuan utama terhadap jambatan utama dan Masjid Agung. Masjid dipertahankan oleh Sultan dan menantunya bersama 3,000 orang, namun akhirnya jatuh ke tangan Portugis selepas benteng kayu (palisad) dimusnahkan. 

Arahan Albuquerque untuk membunuh semua penduduk yang ditemui telah menyebabkan pertumpahan darah besar-besaran. Serangan ini menandakan berakhirnya pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka di situ dengan Sultan dan para pengikutnya berundur. Masjid dan jambatan kekal sebagai lokasi strategik dalam pertempuran tersebut.

Bagi memperkukuh penguasaan mereka, Portugis telah membina kubu A' Famosa di tapak bekas Masjid Agung. Pembinaan ini menggunakan batu-batan dari Pulau Upeh, kubur-kubur lama sultan Melaka dan runtuhan Masjid Agung. A' Famosa siap sepenuhnya pada Januari 1514. Tindakan ini bukan sahaja bersifat strategik, tetapi juga simbolik bagi menggantikan institusi keagamaan umat Islam dengan struktur ketenteraan penjajah.

Tome Pires mencatatkan Kubu A' Famosa ini dibina dengan kukuh, mempunyai dua perigi air tawar di dalam menara dan dua atau tiga lagi di bahagian benteng. Sebelah kubu ini menghadap laut, manakala sebelah lagi menghadap sungai. Dinding kubu sangat tebal. Menara utamanya berketinggian 5 tingkat.

Menurut Fernao Lopes de Castanheda pula, kubu ini siap dibina pada awal Januari 1512 di tapak bekas Masjid Agung. Ia dikelilingi tembok batu setebal lapan kaki  dan mengikut bentuk muka bumi. Di salah satu sudut, terdapat menara empat tingkat berwarna merah gelap yang menghadap laut. Semasa air pasang kapal tanpa muatan seberat 200 tan boleh berlabuh di sebelah menara ini. Di bahagian menghadap bukit, setiap sudut tembok mempunyai dua menara dengan meriam untuk pertahanan. Di dalam kubu pula terdapat dua perigi dengan air minuman yang bersih. 

Manuel Godinho de Erédia memberikan gambaran tentang kubu A' Famosa  berbentuk segi empat dan setiap sisinya sepanjang 10 fathoms. Tingginya pula 40 fathoms. Di sebelah timur terdapat satu kawasan bulat yang dikelilingi dinding batu dan mortar. Di tengah-tengah kawasan itu ada sebuah perigi. Jadi, jika berlaku kekacauan atau peperangan, orang ramai bersama bekalan mereka boleh berlindung di dalam kawasan berdinding itu. Kubu ini mempunyai menara setinggi bukit.

Jadi di manakah lokasi Masjid Agung Melaka?

Gambar 1 merupakan lakaran Kota Melaka zaman pemerintahan Portugis yang dilakarkan oleh Gaspar Correira dalam catatannya Lendas de India bertarikh 1550-an Gambar 2 pula menunjukkan pandangan jarak dekat Kubu A' Famosa di mana di tapak inilah lokasi Masjid Agung Melaka. 

Gambar 1 : Kota Melaka zaman Portugis

Gambar 2 : Pandangan dekat Kubu A' Famosa

Gambar 3 pula menunjukkan pelan lantai Kubu A' Famosa yang dilakarkan oleh Manuel Godinho de Erédia bertajuk Planta da Fortaleza de Malaca dalam catatannya Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay pada tahun 1613. Berikut adalah ruang-ruang yang terdapat di dalam kubu A' Famosa seperti tercatat dalam pelan ini :

i. Fortaleza - Kubu utama 
ii. Almazem - Setor penyimpanan
iii. Tronco - Barak/ kediaman 
iv. Poco - Perigi
v. Salvarte - Pondok pengawal
vi. Porta - Pintu
 
Gambar 3 : Pelan lantai Kubu A' Famosa

Di gambar 4 ini adalah pelan Kota Melaka zaman Belanda yang dilakar pada tahun 1656 oleh pelukis pelan yang tidak diketahui (anonymous) bertajuk Plan van alle de bolwerken ofte punten, ooock alle andere principale plaetsen en Packhuysen binnen de stadt en fortresse Malacca enz.. Dapat dilihat Kubu A' Famosa bertanda huruf 'K' yang ditulis sebagai 't oud fort (Kota Lama) yang merujuk sebagai Kubu A' Famosa. Di sebelahnya terdapat Een Packhuys (gudang) bertanda 'S' merupakan binaan tambahan baharu di zaman Belanda.

Bangunan yang bertanda huruf 'L' ialah Heer Gouverneurs Huys (rumah Gabenor) iaitu tapak Stadthuys sekarang. Struktur yang bertanda 'B' pula merupakan Bastion Middleburg.

Apabila dibuat tindihan gambar pelan kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda ini (rujuk gambar 5), jelas di situlah merupakan kedudukan kubu A' Famosa. Perlu dijelaskan sekali lagi, A' Famosa didirikan oleh Portugis betul-betul di tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 4 : Pelan Kota Melaka zaman Belanda (VOC) 

Gambar 5 : Tindihan pelan lantai Kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda

Berdasarkan Google Maps iaitu gambaran terkini (rujuk gambar 6) kawasan yang diyakini tapak kubu A' Famosa seterusnya menjawab persoalan di manakah kedudukan Masjid Agung Melaka. Kewujudan Surau Warisan Dunia di hadapan Bastion Middleburg sebenarnya merupakan simbolik pada kewujudan Masjid Agung Melaka di sekitar kawasan itu. 

Gambar 6 : Anggaran kedudukan Kubu A' Famosa ke atas Google Maps zaman kini

Justeru, berdasarkan analisis kedudukan A' Famosa yang didokumentasikan melalui catatan, pelan dan lakaran oleh penulis-penulis Portugis, Belanda dan lain-lain dapat dirumuskan bahawa tapak Masjid Agung Melaka adalah terletak berdekatan kawasan parkir di bangunan Muzium Sejarah dan Etnografi (Stadthuys) dan di hadapannya terdapat Bastion Middleburg dan Galeri Warisan Kota Melaka yang wujud pada hari ini. Gambar-gambar 7 - 11 merupakan lokasi sebenar Masjid Agung Melaka.

Gambar 7 : Kawasan lereng bukit ini termasuk di bawahnya adalah tapak Masjid Agung Melaka

Gambar 8 : Lokasi Masjid Agung Melaka, di kawasan parkir Stadthuys

Gambar 9 : Lokasi tapak Masjid Agung Melaka

Gambar 10 : Lokasi tapak Masjid Agung Melaka, berdekatan Stadthuys

Gambar 11 : Sebahagian tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 11 : Lokasi tapak masjid Agung Melaka yang didirikan A' Famosa di sini

Rujukan :

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume I - Malacca. 1986

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume II - Malacca. 1986

A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).1997

Universiti Malaya. Albuquerque Caesar Timur - Teks-teks Pilihan daripada Afonso de Albuquerque dan Anaknya. 1995

Luis Filipe F. Reis Thomaz. Early Portuguese Malacca. 2000

Armando Cortesao (ed.). The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of The East From the Red Sea to China - Written in Malaccca and India 1512 - 1515. 2005

Mohd Jamil Mukmin. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. 2004

Hasanudin Yusof. Teknologi Kesultanan Melaka: Membongkar Keagungannya Berdasarkan Catatan Portugis. 2020

Thursday, May 8, 2025

Penemuan Serpihan Seramik Societe Ceramique di Pulau Melaka

Pada tahun 2021, satu kerja ekskavasi penyelamatan artifak telah dijalankan di kawasan tambak laut Pulau Melaka selama kira-kira dua bulan. Ekskavasi ini dilaksanakan oleh saya bersama beberapa orang lagi kakitangan daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai langkah awal bagi menyelamatkan tinggalan sejarah yang mungkin tertanam di kawasan tersebut sebelum projek pembangunan dijalankan.

Mencari bukti sejarah melalui sumber utama, artifak

Kawasan tambak laut ini mempunyai potensi tinggi dari sudut arkeologi memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pesisir pantai dan laluan perdagangan lama Melaka yang menghubungkan perdagangan Timur dan Barat.

Sepanjang tempoh ekskavasi, pelbagai jenis serpihan artifak telah ditemui, termasuk tembikar, seramik (akhir Ming - awal Qing), syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka dan lain-lain jumpaan. 

Antara penemuan yang lain ialah satu serpihan seramik yang mengandungi cap bertulis “Societe Ceramique – Maastricht – Made in Holland” bersama imej seekor singa. Penemuan ini menimbulkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul serpihan ini serta kaitannya dengan sejarah perdagangan Melaka.


Societe Ceramique ialah sebuah syarikat pengeluar seramik yang terletak di Maastricht, Belanda dan yang beroperasi sejak abad ke-19. Syarikat ini terkenal dengan penghasilan barangan seperti pinggan, mangkuk, teko dan barangan dapur lain yang berkualiti tinggi.


Produk mereka bukan sahaja digunakan di Eropah, tetapi turut dieksport ke pelbagai negara termasuk Asia Tenggara. Cap rasmi syarikat ini sering memaparkan nama syarikat bersama imej singa iaitu lambang negara Belanda yang juga menjadi identiti yang mudah dikenali dalam kalangan pengumpul artifak seramik.

Pada tahun 1958, Societe Ceramique telah bergabung dengan sebuah lagi syarikat Belanda terkenal, De Sphinx. Selepas penggabungan tersebut, cap asal Societe Ceramique tidak lagi digunakan. Oleh itu, penemuan serpihan seramik yang masih memaparkan cap ini menunjukkan bahawa ia merupakan produk yang dihasilkan sebelum tahun 1958. Ini menjadikan serpihan tersebut sebagai artifak antik yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Penemuan ini membuktikan bahawa kawasan Pulau Melaka suatu ketika dahulu telah terlibat secara langsung dalam jaringan perdagangan antarabangsa. Kehadiran seramik dari Eropah, khususnya dari Belanda, menunjukkan bahawa Melaka bukan sahaja menjadi tumpuan pedagang dari Asia, malah turut menerima kunjungan pedagang dari benua Eropah. 

Ekskavasi seperti ini penting dalam usaha kita untuk mengenal pasti, melindungi dan memulihara warisan sejarah negara. Penemuan serpihan seramik Societe Ceramique ini menjadi bukti fizikal kepada hubungan perdagangan antarabangsa yang pernah berlaku di Melaka dan memberikan kita ruang untuk meneroka lebih jauh kaitan antara artifak dan sejarah pelabuhan Melaka yang terkenal suatu ketika dahulu.

* Pulau Melaka terdapat beberapa nama lama seperti Pulau Jawa dan Ilha Das Naus, kini setelah ditambak menjadi Pulau Melaka (Pelan lama ada tertulis Pulo Malacca). Tidak jauh dari pulau ini, terdapat sebuah lagi pulau yang penting iaitu Pulau Upeh yang turut terkenal dengan panggilan Ilha das Pedras. Di antara kedua-dua pulau ini, terdapatnya pelabuhan lama Melaka di mana kapal-kapal dagang berlabuh di situ sebelum kapal-kapal lebih kecil mengangkut barang dari kapal dan memasuki muara sungai. 

Tuesday, April 8, 2025

Menjejak Melaka 1951: Cerita Sebuah Pelan Lama

Sila klik gambar untuk tumbesaran sempurna

Baru-baru ni, aku terjumpa satu pelan lama bandar Melaka. Dari pandangan pertama lagi, aku dah boleh agak ini bukan peta biasa. Reka bentuknya klasik, jenis yang biasa kita nampak dalam buku sejarah. Tajuk asal pelan ni ialah “Map in Malacca Town in 1951”, maksudnya pelan ni dibuat lebih 70 tahun lepas, masa Melaka masih di bawah pentadbiran British. Bila aku tengok lebih dekat, zaman Melaka dipenuhi bangunan kolonial, jalan kecil dan suasana klasik yang kita susah nak jumpa sekarang.

Sebenarnya aku jumpa pelan ni kat Google masa tengah cari bahan rujukan untuk siapkan penerangan baharu bagi salah satu pameran di muzium. Kebetulan pula peta ni muncul dan terus menarik perhatian aku. Jadi aku fikir, elok juga aku simpan dalam blog ni, boleh rujuk balik bila-bila nanti kalau nak guna dalam kerja atau sekadar nak tengok balik sejarah susun atur bandar Melaka. Kadang-kadang benda yang kita jumpa secara tak sengaja ni lah yang paling berguna untuk masa depan.

Antara benda paling menarik yang aku perasan ialah jalan-jalan utama yang ditanda dengan warna merah terang. Nampak sangat jalan-jalan ni memang penting pada waktu tu, antaranya Jalan Kubu, Jalan Bendahara, Jalan Bukit Cina, Jalan Laksamana dan Jalan Gajah Berang. Aku boleh bayangkan macam mana orang dulu guna jalan-jalan ni untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. Sungai Melaka yang berliku tu pun dilukis dengan sangat jelas, menunjukkan betapa pentingnya sungai tu sebagai laluan utama pada masa dulu.

Pelan ni bukan sekadar tunjuk jalan tapi ia penuh dengan info tentang bangunan dan tempat penting. Aku nampak nama-nama tempat yang masih wujud sampai hari ni macam Stadthuys, Gereja St. Paul, masjid lama dekat Jalan Mosque dan kuil di kawasan Temple Street. Ada juga pejabat-pejabat kerajaan lama macam balai polis, pejabat tanah, rumah rehat dan sekolah. Menariknya, bank klasik macam Hongkong & Shanghai Banking Corporation pun ada, jelas menunjukkan Melaka memang pusat ekonomi yang penting masa tu.

Bagi aku, pelan lama ni bukan sekadar koleksi sejarah tapi dia macam sebuah kenangan masa silam. Bila aku tengok pelan ni, aku rasa lebih faham bagaimana bandar Melaka dibentuk dan dibangunkan dulu. Kalau kita jenis yang suka sejarah atau sekadar nak tahu asal-usul kawasan yang kita selalu lalu, peta macam ni memang best untuk diterokai. Ia bukan saja menarik, tapi buat kita lebih hargai bandar yang kita diami ni.