Showing posts with label gambar istana melaka. Show all posts
Showing posts with label gambar istana melaka. Show all posts

Wednesday, December 31, 2025

KESULTANAN MELAYU MELAKA



1400
Seorang putera raja dari Palembang bernama Parameswara menjejakkan kaki di tepi Selat Melaka. Melihat keindahan dan keistimewaan lokasi itu, beliau memutuskan untuk menubuhkan sebuah penempatan baharu yang dinamakan Melaka. Melaka kemudiannya berkembang pesat, menjadi pusat perdagangan yang terkenal, menarik pedagang dari seluruh Nusantara dan jauh ke Timur Tengah.

1403
Dalam usaha memperluaskan pengaruh dan jaringan perdagangan China, Laksamana Ying Ching tiba di Melaka. Semasa singgah di bandar yang sedang berkembang pesat itu, beliau menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan pemerintah tempatan. Pertemuan ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan antara China dan Melaka malah membuka peluang baru bagi pertukaran barangan, budaya dan ilmu pengetahuan antara kedua-dua wilayah.

1405
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, Dinasti Ming menganugerahkan sebuah batu bersurat kepada Melaka. Batu itu memuatkan puisi yang dikarang sendiri oleh Maharaja dengan memuji kebijaksanaan Raja Melaka dan kemakmuran kerajaannya. Batu bersurat bersejarah ini kemudian ditempatkan di ‘Bukit Barat’ sebagai Bukit Pelindung Negara yang menjadi simbol hubungan akrab dan penghormatan antara dua kerajaan.

1411
Parameswara bersama isterinya dan seramai 540 pengikut berangkat ke China untuk menghadap Maharaja Dinasti Ming. Setibanya di sana, mereka disambut dengan penuh kebesaran dan kemuliaan yang menandakan penghormatan tinggi Maharaja terhadap Raja Melaka dan kerajaannya. Lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan antara Melaka dan China sekali gus meletakkan Melaka sebagai kota yang disegani di mata dunia.

1414
Setelah kemangkatan Parameswara, puteranya, Megat Iskandar Syah berangkat ke China untuk memaklumkan berita duka tersebut kepada Maharaja Dinasti Ming. Dengan pengiktirafan dari pihak China, Megat Iskandar Syah kemudian menaiki takhta sebagai Raja Melaka menggantikan ayahandanya dan meneruskan legasi kepimpinan serta hubungan diplomatik yang telah terjalin.

1424
Seri Maharaja menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Semasa zaman pemerintahan baginda, adat istiadat serta tertib Diraja telah disusun dan dilaksanakan dengan teratur. Usaha ini meletakkan asas penting kepada sistem pemerintahan dan kemuliaan institusi Kesultanan Melaka.

1444
Putera kepada Sultan Muhammad Syah, iaitu Parameswara Dewa Syah atau Raja Ibrahim, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abu Syahid. Pada ketika itu, usia baginda masih muda. Namun, pemerintahan baginda amat singkat apabila baginda terkorban dalam satu peristiwa rampasan kuasa yang dipimpin oleh kakanda tirinya, Raja Kassim, sekali gus menamatkan riwayat pemerintahannya.

1446
Raja Kassim kemudiannya menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Pada zaman pemerintahan baginda, empayar Kesultanan Melaka mula berkembang dengan pesat, meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu serta menjangkau ke bahagian utara Sumatera sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai kuasa besar di rantau ini.

1456
Setelah kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakanda baginda, Raja Abdullah, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Baginda meneruskan legasi ayahandanya dengan memperluaskan empayar Melaka, menjadikannya lebih kukuh dan berpengaruh. Dikenali sebagai seorang pemerintah yang bijak dan berwawasan, Sultan Mansur Syah dianggap antara sultan yang paling cemerlang dalam kalangan pemerintah terdahulu.

1477
Setelah kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakanda baginda, Raja Hussain, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda digambarkan sebagai seorang sultan yang mengutamakan keselamatan dalam negeri serta menitikberatkan hubungan diplomatik dengan wilayah-wilayah taklukannya demi memastikan kestabilan dan keharmonian empayar Melaka terus terpelihara.

1488
Setelah kemangkatan ayahandanya, Sultan Alauddin Riayat Syah, anakanda baginda, Raja Mamad, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Baginda dikenali sebagai seorang pemerintah tegas dan berwawasan, berperanan mengekalkan kestabilan kerajaan, menguruskan hubungan dengan para pembesar, serta meneruskan legasi Melaka sebagai pusat perdagangan dan kuasa politik utama di rantau ini.

1509
Dalam usaha menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka, Diogo Lopes de Sequeira tiba di Melaka untuk mendapatkan tapak bagi aktiviti perdagangan Portugis. Perbincangan antara kedua-dua pihak diadakan, namun rundingan itu berakhir dengan kekecohan dan Rui de Araujo bersama 19 orang Portugis lain ditangkap oleh pihak Melaka.

1511
Sultan Mahmud Syah mengundurkan diri dari takhta dan melantik puteranya, Ahmad sebagai Sultan Melaka dengan gelaran Sultan Ahmad Syah. Pada 25 Julai, Afonso de Albuquerque melancarkan serangan ke atas Melaka. Sultan Ahmad Syah mengetuai bala tentera bersama ayahandanya dalam mempertahankan kota, namun akhirnya Melaka kalah, memaksa Sultan Ahmad Syah dan ayahandanya berundur ke wilayah-wilayah takluk Melaka.

1516
Sultan Ahmad Syah dibunuh atas perintah ayahandanya, Sultan Mahmud Syah akibat konflik yang timbul antara baginda dengan para pembesar. Dengan kemangkatan puteranya itu, Sultan Mahmud Syah kembali menaiki takhta bagi meneruskan pemerintahan dan menstabilkan keadaan kerajaan.

1528
Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar, menandakan berakhirnya era Kesultanan Melayu Melaka. Kematian baginda menutup satu babak penting dalam sejarah Melayu, selepas berabad-abad Melaka menjadi pusat perdagangan dan kuasa politik yang disegani di rantau ini.

Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator

Rujukan:

Mons. Manuel Teixera. 1986. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511 – 1958) Volume I. Macau: Instituto Cultural de Macau

1995. Albuquerque Caesar Timur (Teks-Teks Pilihan Daripada Afonso De Albuquerque dan Anaknya). Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya

A. Samad Ahmad. 1997. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Armando Cortesao. 2005. The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East, From the Red Sea to China, Written in Malacca and India in 1512 – 1515. New Delhi: Asian Educational Services

Liang Liji. 2009. Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Muhammad Yusoff Hashim. 2015. Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Chong Kok Hoong. 2019. Laksamana Zheng He: Teladan Merentasi Zaman. Kuala Lumpur: Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia