Showing posts with label makam hang kasturi. Show all posts
Showing posts with label makam hang kasturi. Show all posts

Sunday, October 26, 2025

Kisah Bibik Penjaga Pusara Hang Kasturi

Pusara Hang Kasturi terletak di tepi Jalan Gelanggang, berhampiran dengan sebuah tokong Cina. Keadaannya lebih terjaga berbanding pusara Hang Jebat. Kawasan seluas kira-kira lima puluh kaki persegi itu dilindungi pagar zink, sementara bahagian hadapan diperkukuh oleh tembok batu setinggi hampir tujuh kaki.

Makam Hang Kasturi yang pernah aku singgah pada tahun 2023

Pintu pagarnya berkunci. Namun, menurut penduduk sekitar, kunci tersebut dijaga oleh seorang wanita tua peranakan yang tinggal di rumah kecil di belakang pusara.

Wanita itu dikenali sebagai Bibik Gee Neo, berusia sekitar tujuh puluh tahun. Tubuhnya sedikit bongkok, namun langkahnya masih cermat. Rambutnya yang sudah memutih disanggul kemas dan wajahnya menyimpan tanda kehidupan yang sarat pengalaman.

“Saya jaga kubur ini sudah lebih tiga puluh tahun,” ujarnya tenang ketika memegang kunci pagar.

Setiap gerak-geri bibik itu memperlihatkan rasa hormat yang mendalam terhadap tempat tersebut.

Binaan pusara Hang Kasturi memukau sesiapa yang memerhatikannya dari dekat. Dibina dua tingkat dengan tiang-tiang batu di bahagian kepala dan kaki, pusara ini menonjolkan seni bina lama yang halus. Walaupun bentuknya jauh berbeza daripada pusara Hang Jebat, ukiran di pintu masuk dan bahagian tempat bara menunjukkan persamaan dari segi gaya sentuhan seni yang mungkin berasal dari zaman yang sama.

Menurut Bibik Gee Neo, tidak ramai yang datang menziarah.

“Biasanya orang luar Melaka. Mereka hulur derma untuk bibik,” katanya sambil tersenyum nipis.

Daripada derma itulah beliau membeli kapur, mengupah orang mengapur dan membersihkan kawasan pusara setahun sekali atau dua kali.

Apabila ditanya bagaimana beliau tahu pusara itu milik Hang Kasturi, jawapannya dirujuk pada masa silam.

“Dulu ada seorang lelaki tua, selalu datang baca doa di sini. Dia yang beritahu ini kubur Hang Kasturi. Itu kira-kira tiga puluh lima tahun dulu,” jelasnya.

Dalam satu perbualan, Bibik Gee Neo menceritakan sebuah pengalaman yang tidak pernah dilupakannya.

“Pernah bibik nampak lembaga berbaju kuning keluar dari kawasan kubur ini waktu malam, dalam lebih kurang tiga puluh lima tahun dulu. Dia keluar perlahan, jalan… kemudian masuk balik.”

Sejak peristiwa itu, beliau semakin menghormati pusara ini dan tidak membenarkan sebarang perlakuan tidak senonoh di kawasan tersebut.

Beliau juga pernah menanam pokok bunga di sekeliling pusara, namun kesemuanya dipetik oleh pelawat yang “tangan gatal”.

Selain itu, apabila tidak sihat, beliau sering berdoa di pusara tersebut, dan katanya, hajatnya selalu dimakbulkan.

Kini, pusara itu bukan sahaja berdiri sebagai lambang sejarah, tetapi juga sebagai saksi kesetiaan seorang wanita tua yang setia menjaga warisan tanpa bayaran tetap, hanya berbekalkan derma ikhlas pelawat dan kepercayaan terhadap sesuatu yang lebih besar daripada dirinya.

Di sebalik tembok batu dan pagar zink, terhimpun kisah tentang persahabatan lama yang telah lama berlalu serta kesetiaan baharu yang lahir daripada penghormatan dan rasa percaya. Dan di tengah semua itu berdirilah Bibik Gee Neo, penjaga sunyi yang tidak pernah melupakan tugasnya.

* Diolah dari kisah sebenar. Sumber rujukan : Pusara Hang Kasturi - Berita Harian 12 Oktober 1969.

Saturday, June 10, 2023

Siapakah Hang Kasturi?

Terdapat beberapa gelaran ‘perhangan’ di zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Nadim, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan, Hang Hussin dan Hang Tuah. Walaupun terdapat di dalam catatan karya lama, watak-perwatakan yang banyak dicatatkan adalah Hang Tuah dan Hang Jebat.

Tidak seperti Hang Tuah yang diketahui nama asalnya iaitu Daeng Mempawah, namun tiada pula diketahui nama asal Hang Kasturi. Jika dirujuk kepada istilah bahasa, Kasturi membawa maksud haruman yang wangi.

Hang Kasturi digambarkan sebagai seorang sahabat dan hulubalang Melaka bersama-sama Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka berlima belajar ilmu mempertahankan diri di Gunung Ledang bersama seorang guru yang dikenali sebagai Adiputra. Selain daripada berperanan sebagai hulubalang istana, peranan lain Hang Kasturi tidak diketahui. Justeru, apa yang boleh digambarkan kepada watak Hang Kasturi ialah seorang yang memiliki watak yang serius, kurang bercakap namun cekap dalam menumpaskan ancaman musuh-musuh serta termasuk dalam senarai pahlawan terbilang di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Walaubagaimana pun, terdapat sedikit perbezaan yang tercatat pada dua karya agung Melayu iaitu di dalam catatan Hikayat Hang Tuah, yang menderhaka kepada sultan adalah Hang Jebat manakala di dalam karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) pula, individu yang menderhaka kepada Sultan adalah Hang Kasturi. Sekiranya hendak diambil watak-perwatakan Hang Kasturi seperti yang tertera di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), maka Hang Kasturi adalah seorang pahlawan yang terbilang yang mempunyai keberanian, namun suka berfoya-foya, pendendam serta seorang penuntut keadilan.

Hang Kasturi dipercayai dimakamkan di Jalan Hang Jebat yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Gelanggang. Makam ini merupakan makam yang bersaiz sederhana besar terletak di dalam kawasan batu bertembok dikelilingi pagar besi. Bahagian hadapan makam terdapat sebuah pintu gerbang. Sebahagian tembok kawasan makam berbentuk suku bulatan yang turut bercantum dengan rumah kedai disebelahnya. Makamnya pula dibina berbentuk segi empat bujur bertingkat-tingkat. Daripada corak batu nisannya dipercayai berasal dari kurun ke-18. Pada bahagian tembok makam pula turut dibina sebuah lubang berbentuk segi tiga yang digunakan sebagai tempat meletak lilin atau pelita. Berdasarkan dari corak binaan sedia ada makam ini telah diperbaiki dari semasa ke semasa.



Makam Hang Kasturi telah diwartakan sebagai Zon Penempatan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 pada 28 Disember 2006.

Trivia Makam Hang Kasturi

Pada sekitar tahun 1930-an makam Hang Kasturi telah dijaga oleh seorang Cina peranakan yang bernama Bibik Gee Neo. Beliau tinggal bersebelahan dengan makam Hang Kasturi. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang mengunjungi makan tersebut. Bibik Gee Neo tanpa mendapat mana-mana arahan, telah sendiri mejaga makam tersebut dengan membersihkan dan menanam pokok bunga bagi mencantikan kawasan tersebut. Beliau turut mengunci pagar makam Hang Kasturi kerana bimbang akan kerosakan dan vandalisme yang sering berlaku di makam tersebut.

Menurut Bibik Gee Neo, dahulu terdapat seorang tua yang kerap berulang-alik ke makam tersebut untuk membaca doa di situ. Beliau juga pernah berjumpa dengan lembaga berpakaian berwarna kuning sering keluar dan masuk ke kawasan makam Hang Kasturi di waktu malam. Semenjak dari itu, Bibik Gee Neo menghormati makam tersebut dan tidak membenarkan orang membuat perkara yang tidak baik di makam Hang Kasturi.

Sumber trivia : Berita Harian bertarikh 12 Oktober 1969

Wednesday, July 20, 2011

TAPAK BERSEJARAH DI MELAKA

Perigi Hang Tuah @ Kampung Duyong

Airnya tidak pernah kering

Dikhabarkan Hang Tuah pernah mandi di perigi ini.. Ops.. Jangan percaya, aku tipu je...

Perigi Portugis

Perigi Portugis dipercayai dibina oleh orang Portugis

Perigi Portugis yang dikatakan airnya tidak pernah kering

Megalit Datuk Tua

Batu megalit dipercayai "hidup" kerana ianya membesar dan akan bersinar pada waktu malam

Makam Tun Teja

Tun Teja anak Bendahara Pahang yang berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah

Tun Teja dikhabarkan sebagai wanita yang cantik tiada bandingnya di Pahang waktu itu

Makam Tok Senara

Seorang pembuka pekan Jasin. Nama sebenarnya Mat Yasin

Makam Hang Tuah

Bicara Hang Tuah, Tak Melayu Hilang Di Dunia





Makam yang panjang bukan bererti orangnya panjang namun mengikut pengkaji sejarah makam orang yang mempunyai martabat yang tinggi memang dipanjangkan sedikit saiznya.

Makam Hang Kasturi

Sahabat Hang Tuah dan tiga lagi Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu

Makam Datuk Dol Said

Al-Fatihah buat perwira negara

Makam Datuk Aroom. Kapitan Melayu yang dipercayai pemilik tanah asal yang terdapat di sekitar Bandar Melaka

Sekitar Makam Datuk Aroom. Batu nisan jenis Acheh

Makam Datuk Samsudin bin Datuk Aroom, anaknya Datuk Aroom.