Tuesday, April 21, 2026

Secebis Sejarah di Pulau Melaka

Pulo Malaca atau Ilha das Naos dalam bahasa Portugis membawa maksud “Pulau Kapal”. Menurut masyarakat tempatan, pulau ini dikenali sebagai Pulau Melaka dan pernah juga disebut sebagai Pulau Jawa. Kini, pulau tersebut telah ditambak dan diperbesarkan dan masih dikenali sebagai Pulau Melaka. Di kawasan ini juga terletaknya Masjid Selat Melaka yang menjadi ikon utama pulau tersebut. Pulau ini boleh dikunjungi melalui kawasan Melaka Raya dan dihubungkan dengan sebuah jambatan.

Kedududan Pulau Melaka dalam pelan lama yang dinamakan I. de. Iava (Ilhas de Jawa)

Dari segi fizikal, pulau ini pada asalnya kecil dan berbentuk seperti ladam kuda. Ukur lilitannya dianggarkan sekitar 60 braca (bersamaan kira-kira 6 kaki bagi setiap braca) manakala panjangnya pula kira-kira satu setengah kali ganda daripada lebarnya.


Pada era Portugis, pulau ini berperanan sebagai pelabuhan persinggahan bagi kapal dagang bersaiz besar yang dikenali sebagai naos de trato. Kapal-kapal ini menjalankan perdagangan antara Melaka dengan kawasan seperti China dan Jepun, membawa pelbagai barangan mewah termasuk emas dalam bentuk jongkong atau serbuk, ukiran kayu bersadur emas, kain sutera serta porselin. Nilai perdagangan ini begitu tinggi sehingga pada tahun 1602, sebuah kapal naos de trato dari Sao Thome ke Melaka telah dirampas oleh gabungan armada Inggeris dan Belanda, mengakibatkan kerugian mencecah 300,000 cruzados kepada Portugis.

Kepentingan pulau ini tidak terhad kepada perdagangan sahaja, malah turut terserlah dalam aspek pertahanan. Semasa kepungan Belanda terhadap Melaka pada tahun 1606, Laksamana Cornelis Matelief de Jonge telah melancarkan serangan ke atas Portugis menggunakan kapal-kapalnya serta sebuah meriam yang ditempatkan di Ilha das Naos. Kejadian ini memperlihatkan kelebihan strategik pulau tersebut dalam mengawal pertahanan Melaka.

Menyedari hakikat itu, sekitar tahun 1630 Portugis merancang pembinaan sebuah kubu kecil di pulau berkenaan bagi melindungi kapal-kapal besar yang berada di luar jangkauan meriam dari kubu utama di Melaka. Kubu tersebut dirancang berukuran kira-kira 30 langkah persegi dan dibina di atas bukit setinggi lebih kurang 30 kaki. Walau bagaimanapun, pembinaannya tidak diteruskan hingga siap kerana bahan binaan masih dalam proses pengumpulan dan pembinaan perlu dilakukan secara serentak bagi mengelakkan ia dirampas musuh. Justeru, kubu tersebut dipercayai tidak pernah disiapkan sepenuhnya.

Justeru, Pulo Malaca atau Ilha das Naos memainkan peranan yang amat penting pada zaman Portugis. Selain menjadi tempat perlindungan dan persinggahan kapal dagang besar, pulau ini juga mempunyai kedudukan strategik yang signifikan dalam sistem pertahanan Melaka. Kini, dengan pembangunan moden serta kemudahan perhubungan melalui jambatan dari Melaka Raya, kawasan ini terus dikenali dan menjadi tumpuan, khususnya dengan kewujudan Masjid Selat Melaka sebagai mercu tanda utama.

Selat Melaka Nadi Pelabuhan Melaka Zaman Dahulu

Selat Melaka merupakan laluan perdagangan penting sejak dahulu hingga kini. Kedudukannya yang strategik menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan menjadikannya laluan utama kapal dagang dari Timur dan Barat.


Pada zaman penjajahan Belanda di Melaka, pelabuhan Melaka menjadi pusat perdagangan yang sibuk. Kapal-kapal dari pelbagai wilayah membawa barangan seperti rempah ratus, kain, logam dan hasil dagangan lain. Syarikat Hindia Timur Belanda memainkan peranan penting dalam mengawal perdagangan di kawasan ini.

Selat Melaka penting kerana sesiapa yang menguasainya dapat mengawal aliran perdagangan antarabangsa. Oleh itu, kuasa seperti Portugis, Belanda dan British berusaha menguasai kawasan ini.

Sehingga hari ini, Selat Melaka kekal sebagai antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia. Pelbagai jenis kapal membawa barangan seperti minyak, barangan industri dan produk pengguna melalui selat ini.

Jika pelabuhan Melaka masih berfungsi seperti dahulu sebagai pusat utama perdagangan dunia, Melaka berpotensi menjadi negeri yang lebih maju dari segi ekonomi dan pembangunan.

Monday, March 9, 2026

Layang-layang dari Pandangan Munsyi Abdullah

Munsyi Abdullah merupakan seorang tokoh terkenal dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Beliau lahir di Melaka pada tahun 1796 dan dikenali sebagai seorang penulis yang menghasilkan karya penting seperti Hikayat Abdullah. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui bahawa sejak kecil lagi beliau juga mempunyai bakat dalam membuat dan melukis layang-layang.

Sumber gambar : Muzium Layang-layang Melaka

Menurut kisah dalam Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah telah mula membuat layang-layang sejak berumur sekitar sepuluh tahun. Beliau bukan sahaja membuat layang-layang, malah turut melukis pelbagai corak dan gambar di atasnya. Layang-layang yang dihasilkannya menjadi istimewa kerana beliau melukis bunga-bungaan dan pelbagai gambar dengan menggunakan dakwat berwarna.

Pada masa itu, ramai pembuat layang-layang lain hanya menampalkan kertas berwarna seperti merah, hijau dan hitam sebagai hiasan. Namun begitu, cara tersebut kurang menarik minat kanak-kanak. Munsyi Abdullah pula membuat layang-layang berwarna putih dan menyediakan dakwat berwarna untuk melukis gambar mengikut kehendak pembeli. Jika seorang kanak-kanak mahukan gambar gajah, beliau akan melukis gajah. Jika mereka mahukan gambar ikan, beliau akan melukis ikan pada layang-layang tersebut.

Oleh sebab itu, layang-layang yang dihasilkan oleh Munsyi Abdullah sangat digemari oleh kanak-kanak dan sering dibeli oleh mereka. Melalui pengalaman membuat dan melukis layang-layang ini juga, beliau mula belajar menulis serta melukis dengan lebih baik. Beliau sering memerhati orang Cina melukis bunga dan gambar kemudian menirunya pada layang-layang yang dibuat.

Sumber gambar : Muzium Layang-layang Melaka

Justeru, layang-layang dari pandangan Munsyi Abdullah bukan sekadar permainan, tetapi juga menjadi sumber pembelajaran, kreativiti dan cara untuk mencari duit belanja sejak kecil. Kisah ini menunjukkan bahawa usaha dan kreativiti boleh membantu seseorang memperoleh pengalaman dan ilmu yang berguna dalam kehidupan.

Sunday, January 25, 2026

Sejarah Gereja St. Paul, Melaka

Sumber: Digital New Zealand


Ramai pengunjung yang mendaki Bukit Melaka hari ini mengenali runtuhan gereja di puncaknya sebagai Gereja St. Paul. Nama ini sudah begitu sebati sehingga jarang dipersoalkan. Namun dari sudut sejarah, “St. Paul” bukanlah nama asal gereja ini dan sebenarnya hanya muncul agak lewat iaitu selepas Melaka ditawan oleh Belanda pada tahun 1641.

Sejarah tapak ini bermula seawal tahun 1521, apabila seorang pelayar Portugis bernama Duarte Coelho membina sebuah ermida, kapel (chapel) atau gereja kecil di puncak bukit. Kapel ini dibina sebagai nazar kepada Ibu Maria selepas beliau terselamat daripada pertempuran laut dengan armada China. Kapel kecil itu pada mulanya dinamakan Nossa Senhora da Graça dan kemudiannya dikenali sebagai Nossa Senhora da Madre de Deus. Sejak itu, bukit ini dikenali sebagai Bukit Nossa Senhora do Monte atau “Bukit Ibu Maria" iaitu nama yang wujud jauh lebih awal daripada gereja batu yang kita lihat hari ini.

Tapak ini menjadi semakin penting apabila dikaitkan dengan paderi Francis Xavier. Antara tahun 1545 hingga 1552, beliau beberapa kali singgah di Melaka dan sering berkhutbah, berdoa serta berehat di kapel Nossa Senhora do Monte. Selepas beliau meninggal dunia di Pulau Sancian pada 2 Disember 1552, jasadnya dibawa ke Melaka dan tiba pada 22 Mac 1553. Jasadnya telah dikebumikan sementara di gereja di atas bukit ini sebelum dipindahkan ke Goa, India. 

Menjelang pertengahan abad ke-16, kapel kecil yang dibina pada tahun 1521 itu sudah uzur. Selepas penubuhan kediaman Jesuit pada tahun 1548–1549, para Jesuit mengambil keputusan untuk membina sebuah gereja yang lebih besar. Sekitar tahun 1566, kapel lama tersebut dirobohkan dan sebuah gereja batu yang kukuh dibina di tapak yang sama. Gereja baharu ini dikenali sebagai Nossa Senhora do Monte atau Nossa Senhora do Oiteiro dan pembinaannya hanya siap sepenuhnya pada tahun 1590 apabila menara gereja didirikan.

Dari segi bahan binaan, gereja ini dibina  menggunakan batu laterit iaitu bahan yang banyak digunakan dalam seni bina Portugis di Melaka kerana ketahanannya serta kesesuaiannya dengan iklim tropika. Batu laterit ini berkemungkinan besar diperoleh dari kawasan sekitar Melaka dan dari Pulau Upeh yang diketahui sebagai sumber batu binaan pada zaman tersebut. Struktur gereja direka dengan dinding tebal, bukaan tingkap yang sempit serta binaan yang kukuh. Reka bentuk ini bukan sahaja sesuai untuk ibadat tetapi turut berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan kota Melaka dalam menghadapi serangan. 

Gereja ini juga pernah mempunyai sebuah menara loceng yang tinggi yang siap sekitar tahun 1590 yang dapat dilihat dari laut dan berfungsi sebagai mercu tanda kepada pelayar yang menghampiri Melaka. Menara ini kemudiannya dirobohkan pada zaman Belanda kerana keadaannya yang uzur dan berbahaya. Selain itu, ciri-ciri lain seperti laluan cerun dan bukaan struktur tertentu menunjukkan bahawa gereja ini dibina dengan mengambil kira keperluan ketenteraan. Penemuan arkeologi seperti jubin azulejos dan serpihan hiasan dalaman pula membuktikan bahawa bahagian dalam gereja ini suatu ketika dahulu mungkin dihias dengan lebih indah walaupun bahagian luarnya kelihatan sederhana.

Sumber: Digital New Zealand

Pada zaman Portugis, sebenarnya terdapat dua gereja utama yang berbeza di Melaka tetapi sering dikelirukan. Gereja yang dibina oleh Afonso d’Albuquerque berhampiran kubu A' Famosa di kaki bukit ialah gereja paroki yang dikenali sebagai Nossa Senhora da Annunciação dan kemudian sebagai Nossa Senhora da Assumpção apabila ia menjadi katedral pada tahun 1557. Gereja di puncak bukit pula ialah Nossa Senhora do Monte iaitu gereja Jesuit yang dibina antara tahun 1566 hingga 1590. Kedua-dua gereja ini berbeza dari segi lokasi, fungsi dan sejarah dan tidak pernah dianggap sebagai bangunan yang sama.

Perubahan besar berlaku selepas Melaka ditawan oleh Belanda pada 14 Januari 1641. Gereja Nossa Senhora do Monte tidak lagi digunakan sebagai gereja Katolik dan pada ketika inilah nama “St. Paul” mula digunakan. Nama ini bukan dipilih secara rawak dan bukan berasal daripada tradisi Portugis Melaka. Menurut kajian Fr. R. Cardon, nama “St. Paul” berkemungkinan besar diambil daripada hubungan gereja ini dengan Jesuit yang juga dikenali di Goa sebagai Paulists kerana mereka berpusat di College of St. Paul di Goa iaitu pusat utama misi Jesuit Portugis di Asia. Oleh itu, apabila Belanda mengambil alih dan menamakan semula gereja ini, nama “St. Paul” digunakan sebagai satu penanda institusi, bukannya sebagai dedikasi asal gereja tersebut.

Dengan kata lain, nama St. Paul ialah nama zaman Belanda bukan nama gereja semasa ia dibina dan digunakan oleh Portugis dan Jesuit. Sepanjang abad ke-16 dan awal abad ke-17, gereja ini tidak pernah didedikasikan kepada St. Paul tetapi sentiasa dikaitkan dengan Ibu Maria khususnya melalui nama Nossa Senhora do Monte.

Pada zaman Belanda, gereja ini digunakan secara terhad sebelum akhirnya ditinggalkan. Ia kemudiannya berfungsi sebagai tapak pengebumian bagi beberapa tokoh penting Belanda. Namun, sebelum 1641, sebenarnya telah mempunyai beberapa kubur orang Portugis di dalam gereja ini. 

Sumber: Digital New Zealand


Apa yang boleh dikatakan, gereja di Bukit Melaka yang kini dikenali sebagai Gereja St. Paul sebenarnya ialah Gereja Nossa Senhora do Monte, sebuah gereja Jesuit yang dibina antara tahun 1566 hingga 1590 di tapak kapel kecil yang diasaskan pada tahun 1521. Nama “St. Paul” hanyalah penamaan kemudian yang diperkenalkan selepas tahun 1641 yang berkemungkinan berkait dengan identiti Jesuit sebagai Paulists dan tidak mencerminkan nama atau dedikasi asal gereja tersebut.

Rujukan:

Father Schurhammer. (1934). The Church of St. Paul, Malacca. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, 12(2 (119)), 40–43. http://www.jstor.org/stable/41559509

Cardon, Fr. R., & Elkins, L. (1947). The Old Church on The Malacca Hill. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, 20(1 (141)), 188–234. http://www.jstor.org/stable/41560017