Showing posts with label hikayat. Show all posts
Showing posts with label hikayat. Show all posts

Sunday, July 19, 2026

Pelanduk Putih: Simbol Penubuhan Kerajaan dalam Tradisi Kesusasteraan Melayu

Pelanduk putih merupakan salah satu simbol yang sering muncul dalam karya-karya agung Melayu sebagai petanda kepada penubuhan sesebuah kerajaan atau negeri. Menariknya, simbol ini dapat ditemukan dalam tiga naskhah penting, iaitu Hikayat Patani, Hikayat Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Walaupun jalan ceritanya berbeza, ketiga-tiganya memperlihatkan pelanduk putih sebagai lambang luar biasa yang membawa petunjuk kepada lahirnya sebuah pusat pemerintahan baharu.


Dalam Hikayat Patani, Phya Tu Naqpa yang sedang berburu menyaksikan anjing buruannya menyalak ke arah seekor pelanduk putih yang besar dan berkilauan. Selepas bertemu seorang tua bernama Encik Tani, baginda memilih kawasan tersebut sebagai tapak kerajaan baharu yang kemudiannya dinamakan Patani.

Dalam Hikayat Raja Pasai pula, Raja Merah Silu berburu bersama anjing kesayangannya, Si Pasai. Apabila Si Pasai berhadapan dengan seekor pelanduk putih yang luar biasa berani, Raja Merah Silu menganggap kejadian itu sebagai petanda istimewa lalu mendirikan kerajaan dan menamakannya Pasai sempena nama anjing pemburunya.

Sementara itu, Sejarah Melayu meriwayatkan Parameswara melihat seekor pelanduk putih menendang anjing perburuannya ketika baginda berehat di bawah sebatang pokok Melaka. Peristiwa itu dianggap sebagai alamat yang baik sebelum baginda membuka penempatan yang dinamakan Melaka.

Persamaan ketiga-tiga kisah ini menunjukkan bahawa pelanduk putih bukan sekadar haiwan dalam cerita rakyat, tetapi menjadi simbol keberanian, keistimewaan dan petunjuk yang mengesahkan pemilihan sesuatu kawasan sebagai pusat pemerintahan. Pengulangan simbol ini dalam naskhah-naskhah Melayu klasik memperlihatkan bagaimana masyarakat Melayu tradisional menggunakan unsur alam dan perlambangan untuk menjelaskan asal usul penubuhan kerajaan, sekali gus mengangkat pelanduk putih sebagai salah satu simbol penting dalam sejarah dan warisan kesusasteraan Melayu.

Friday, March 11, 2011

PREVIEW FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA



Wow.. nampak hebat filem ini. Memang dalam hati berhasrat nak tonton. Tapi masih belum ada masa.




Thursday, March 3, 2011

FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Kerajaan Kedah Tua merupakan salah satu kerajaan lama selain Empayar Melaka yang telah wujud sejak sekian lama. Ini dapat dilihat dari wujudnya sumber bertulis iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang mencatatkan sejarah Kerajaan Kedah Tua. Jika Melaka terkenal dengan Sejarah Melayunya atau dikenali sebagai Sulalatus Salatin maka Hikayat Merong Mahawangsa adalah pula adalah gambaran dan penceritaan mengenai Kedah Tua.


Apa yang mahu aku kongsikan di sini ialah tentang filem Hikayat Merong Mahawangsa oleh Kru Studios yang bakal ditayangkan pada 10 Mac 2011 ini. Amat jarang sekali pengeluar filem negara kita membuat filem epik atau sejarah seperti ini. Aku sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan inisiatif yang dibuat oleh Kru Studios yang sanggup memikul tanggungjawab membuat filem sepik seperti ini.

Jika dahulu Seniman Agung, P. Ramlee telah membuat filem Hang Tuah, cerita sejarah Bukit Kepong pula diarahkan oleh Datuk Jins Shamsuddin dan filem seperti Puteri Gunung Ledang, kini giliran Kru Studios pula membuat filem berdasarkan sejarah iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Bagi pengarah-pengarah lain diluar sana, diharap dapat meniru atau mengambil pendekatan yang sama dalam membuat filem.

Pada pendapat aku, membuat filem berdasarkan epik, sejarah ataupun novel adalah baik juga diambil kira. Kalau kita lihat di Hollywood, terdapat banyak juga filem mereka adalah berdasarkan novel.

Lepas ini aku berharap agar Kru Studios atau mana-mana produksi mencuba pula membuat cerita berdasarkan teks Sulalatus Salatin. Memang terlalu banyak cerita dalam teks tersebut, tapi cubalah ambil kisah atau cerita-cerita tertentu untuk difilemkan. Mungkian boleh diambil kisah Putera dari Bukit Si Guntang, Wa'ad Demang Lebar Daun, Sultan Mangkat Dijulang dan sebagainya.




Sebenarnya, filem akan menjadi laris sekiranya berdasarkan teks ataupun novel kerana si pembaca pastinya akan lebih teruja untuk menonton cerita sepertimana yang pernah dibaca.

Aku yang 3 tahun tak menonton wayang inipun teramat teruja untuk menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa ini. Aku pasti akan menontonnya nanti. :)