Friday, December 12, 2025

Asal Usul Nama Negeri Melaka

SEBELUM KEWUJUDAN MELAKA

Sebelum muara Sungai Melaka berkembang sebagai pusat Kesultanan Melayu Melaka terdapat hanya sekitar 20 hingga 30 Orang Selat mendiami kawasan antara bukit dan sungai dengan bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut. Tiada perkampungan di seberang sungai kerana kawasan itu dipenuhi pokok gelam manakala bukitnya dilitupi hutan pokok Melaka.



ASAL USUL NAMA NEGERI MELAKA

POKOK MELAKA
Menurut Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), nama Melaka dikatakan berasal daripada nama sebatang pokok. Kisah penamaan ini berlaku ketika Parameswara dan para pengikutnya pergi berburu setelah berundur dari Temasik (Singapura). Dalam peristiwa tersebut, seekor pelanduk yang diburu dikatakan telah menendang anjing-anjing perburuan sehingga jatuh ke dalam sungai. Kejadian luar biasa ini dianggap oleh Parameswara sebagai suatu petanda yang aneh, ganjil serta melambangkan kekuatan dan kebesaran. Tersentuh dengan peristiwa itu, Parameswara berhasrat membuka sebuah negeri di lokasi berkenaan. Beliau kemudian menamakan kawasan tersebut sebagai Melaka bersempena dengan nama pokok Melaka (Emblica Pectinata atau Phyllanthus Pectinatus) yang menjadi tempat baginda bersandar ketika menyaksikan kejadian itu. Walaubagaimanapun, pembukaan negeri-negeri lain melalui kisah anjing berburuan dan pelanduk yang gagah turut terdapat di dalam Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Patani.

NAMA DAN TEORI LAIN

MALAKAT
Terdapat teori yang menyatakan bahawa nama Melaka berasal daripada istilah Arab iaitu Malakat yang bermaksud “perhimpunan segala dagang”. Pengertian ini dikatakan lebih hampir dengan perkataan Mulaqah, iaitu “pertemuan”. Penggunaan istilah tersebut dianggap sesuai dengan konteks Melaka pada waktu itu, memandangkan negeri ini berperanan sebagai pusat pertemuan serta tumpuan para pedagang dari Timur dan Barat.

AMALAKA
Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa nama Melaka berasal daripada nama buah dan pokok Amalaka (Emblic Myrobalan) yang dikaitkan dengan mitos Hindu. Pokok tersebut dipercayai sebagai antara tumbuhan terawal yang muncul di dunia dan dianggap memiliki kuasa ghaib yang berkaitan dengan kekayaan, kesihatan serta kekuatan fizikal dan spiritual manusia.

MALAQA
Menurut Suma Oriental karya Tome Pires, Melaka turut dikenali sebagai Malaqa yang membawa maksud “buruan tersembunyi”. Nama ini dikaitkan dengan peranan kawasan tersebut sebagai lokasi perlindungan bagi Parameswara selepas baginda berundur dari Palembang kemudian ke Temasik. Masyarakat Orang Selat menerima kehadiran Parameswara dan menyediakan kawasan itu sebagai tempat berlindung serta sebagai tapak awal pembentukan pusat pemerintahan baharunya.

Sumber : 

1. Muhammad Yusoff Hashim : Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua
2. Tome Pires : Suma Oriental
3. Syed Zulfida S.M. Noor : Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka : Kemunculan dan Kegemilangan

10 comments:

  1. kampung gelam tu sebab pokok gelam la ye? linda pun tak tau ada pokok nama gelam

    ReplyDelete
  2. dulu masa kecik kat bandar hilir masih banyak pokok melaka tu. mendongak juga nak tengok buah dia macam mana tapi tak pernah jumpa. duk bayang rupa buah melaka kuih tu ke.haha

    ReplyDelete
  3. Sy tahu pasal pokok Melaka tu aje, baru tahu ada perkataan lain jugak menjadikan nama Melaka tu.

    ReplyDelete
  4. Lama tak baca sejarah. Dah berkarat otak hahaha

    ReplyDelete
  5. Menarik info ini.....kalau tuan jadikan video AI memang lagi menarik.

    ReplyDelete
  6. Alaaa... kenapa tak prompt foto ai sebagai hiasan?

    ReplyDelete
  7. terima kasih, sharing info.. saya suka pi melaka

    ReplyDelete
  8. 1st time dtg Melaka pd thn 1988 selepas tamat SRP. Bermalam di SM Sains Muzaffar Shah...

    ReplyDelete
  9. Kalau baca 3 sejarahnya, saya cendrung percaya yg Malakat asal kata dari BHS arab. Krn memang Malaka dulu terkenal sebagai pusat perdagangan kan.

    ReplyDelete

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.