Sunday, April 17, 2022

Menikmati Tau Fu Fa di Bulan Ramadan

 


Tau Fu Fa telah menjadi menu wajib bagi aku sepanjang bulan Ramadan ini. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku menikmati Tau Fu Fa. Selepas solat tarawih, duduk di dapur seorang-seorang sambil menikmati Tau Fu Fa. Anak-anak yang lain tak berminat, maka biasanya aku akan beli satu bekas saja untuk aku makan sendiri.

Aku beli Tau Fu Fa hanya di gerai-gerai tepi jalan sahaja. Tak pergi mencari di Bazar Ramadan.  Ada tiga hingga empat gerai yang berdekatan dengan rumah ada menjual Tau Fu Fa, semua rasanya enak. Jadi aku boleh saja memilih di gerai mana pun untuk membelinya.

Sekiranya bukan di bulan Ramadan, agak sukar nak cari Tau Fu Fa. Kalau teringin nak makan, perlu cari di pasar malam. Tapi di bulan Ramadan ni, mana-mana tempat mesti ada jual Tau Fu Fa. Senang nak jumpa.

Ada yang suka makan Tau Fu Fa?

Thursday, April 14, 2022

Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan


Alhamdulillah.. Telah menjadi kelaziman jabatan tempat aku bekerja mengadakan program Tadarus Al-Quran apabila menjelang bulan Ramadan. Aku turut tidak melepaskan peluang untuk sama menyertai program ini. Rasanya sudah bertahun-tahun juga aku sertai program ini.

Alhamdulillah juga kerana tahun demi tahun dapat mempelajari dan memperbaiki bacaan walaupun pada hakikatnya aku masih belum pandai sepenuhnya membaca Al-Quran. Apabila kena tegur kerana silap membaca, aku suka ditegur kerana dengan teguran tersebut, insyaallah aku akan mengingati apa yang aku salah dan akan memperbaikinya.

Sebenarnya aku amat berterima kasih kerana jabatan aku mengadakan program sebegini. Secara tidak langsung, aku mula mengenal dan membaca Al-Quran. Sebelum ini membaca agak 'merangkak-rangkak'. Alhamdulillah, sekarang rasanya sudah agak baik. Namun, banyak lagi yang perlu diperbaiki dari aspek makhraj huruf, hukum tajwid, dan lain-lainnya.

Marilah tuan-puan, kita perbanyakkan membaca Al-Quran dan memperbanyakkan amalan di bulan yang mulia ini. Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah SWT.

Thursday, April 7, 2022

Hadirmu di Bulan Mulia


Alhamdulillah... Pada 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadan 1443 Hijrah lahirnya seorang anak lelaki buah hati pengarang jantung keluarga aku. Ini merupakan anak kelima kami dan rasanya cukuplah lima orang anak. Umur pun dah awal empat puluh siri, nanti bila dah bersara, ramai anak masih bersekolah payah juga nanti.

Isteri pun telah pulang ke rumah. Duduk wad sehari sahaja selepas bersalin. Di kala menaip entri pun terdengar suara bayi menangis. Apa lagi kalau bukan mahu menyusu. Terasa hilang rindu mendengar suara bayi menangis. 

Nama belum beri lagi. Sebelum bersalin lagi sudah mencari-cari nama yang sesuai, namun tidak dapat lagi. Iyalah, nama anak aku semua bermula dengan huruf "F" sepertimana nama aku. Huruf "F" ni macam kurang saja pilihan nama. Banyak nama orang lain dah ambil. 

Sekarang ni ada juga beberapa nama yang aku fikirkan. Cuma belum dimuktamadkan lagi. Tunggulah nanti, apabila pergi ke pejabat Jabatan  Pendaftaran Negara, nama yang dicatat, itulah namanya nanti 

Ada idea tak nama anak lelaki yang bermula dari huruf "F"?