Monday, September 26, 2011

SIRI JEJAK WARISAN NEGERI MELAKA : MEGALIT DATUK TUA





Megalit Datuk Tua



Terdapat lebih 100 kawasan megalit di daerah Alor Gajah dan Tampin dan saiz setiap batu-batu teresebut tidak seragam. Batu megalit banyak terletak di kawasan tanah perkuburan Islam dan ditanam berpasang-pasang seperti batu nisan. Batu megalith Datuk Tua dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai batu hidup dan mempercayai ianya kubur nenek moyang mereka. Batu megalit dikatakan hidup kerana dipercayai ianya membesar dari setahun ke setahun dan bersinar bila disuluh waktu makam.

(Ps : Perihal batu megalit dikatakan hidup dan membesar masih boleh dipersoalkan. Ini adalah kerana, mengikut kajian ahli sejarah, batu itu dikatakan membesar akibat daripada hakisan tanah yang berlaku pada pangkal batu tersebut menyebabkan bahagian-bahagian bawahnya terdedah dan dikatakan ia membesar dan hidup)

SIRI JEJAK WARISAN NEGERI MELAKA : MAKAM DATO' DOL SAID





Al-Fatihah kepada wira negara



Dato' Dol Said (Abdul Said) adalah Penghulu yang memerintah Wilayah Naning yang ke-9 menggantikan Dato' Penghulu Anjak. Beliau dilantik menjadi pengulu pada tahun 1802. Beliau merupakan seorang Penghulu yang gagah dan biajaksana. Pada tahun 1829, pemerintahan Inggeris di Melaka telah meminta Wilayah Naning membayar cukai 1/10 dari hasil tanaman. Hal ini tidak disetujui oleh Dato' Dol Said. Disebabkan itu pada tahun 1831 Inggeris telah menyerang Naning. Serangan tersebut telah dapat ditewaskan oleh Dato' Naning dan pengikut-pangikutnya yang membantah campurtangan Inggeris di Naning.

Pada bulan Mei 1832, Inggeris menyerang Naning buat kali yang kedua. Di dalam peperangan yang sengit dan mengorbankan banyak nyawa di kedua-dua belah pihak, akhirnya Dato' Dol Said terpaksa mengaku kalah dan menyerah diri kepada Inggeris pada tahun 1834, beliau diberi pencen sebanyak RM100 setiap bulan sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1849. Selepas dari peperangan tersebut Naning merupakan Wilayah yang istimewa dan institusi Naning berterusan walaupun ianya sebahagian dari takhluk Inggeris. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan ini. Binaan makam ini dibuat indah yang melambangkan makam seorang pemimpin. Bentuk dan senibina permakaman ini adalah ciri-ciri senibina pada era tersebut dan dipulihara pada tahun 1998.

SIRI JEJAK WARISAN NEGERI MELAKA : MAKAM TUN TEJA





Selamat datang ke Makam Tun Teja




Makam ini dipercayai makam Tun Teja atau nama sebenarnya Tun Teja Ratna Benggala anak kepada Seri Amar Diraja Bendahara Pahang (Inderapura). Tun Teja ialah isteri kepada Sultan Mahmud Shah (1458-1511). Apabila Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511, Baginda telah berundur ke Bentayan (Muar). Semasa pengunduran inilah Tun Teja yang ketika itu sedang gering akhirnya mangkat. Jasadnya dipercayai disemadikan di sini dengan penuh adat istiadat.

Tun Teja bukan sahaja seorang wanita yang jelita dan berhemah tinggi bahkan seorang isteri yang setia serta disayangi oleh Sultan dan telah menumpukan sepenuh ketaatsetiaan kepada negeri ini. Beliau telah membangkitkan semangat kepahlawanan dalam kalangan wanita Melayu untuk turut sama mempertahankan negeri daripada serangan Portugis. Segala jasa dan pengorbanan beliau akan tetap dikenang buat selamanya.