Showing posts with label gambar. Show all posts
Showing posts with label gambar. Show all posts

Sunday, December 3, 2023

Matahari Terbenam di Pantai Puteri

Menangkap gambar keindahan alam merupakan antara kesukaan aku. Suka sekadar suka kerana aku sukakan keindahan, kebersihan dan sesuatu yang menarik dipandang.

Mengambil gambar tayum temayum atau matahari terbenam merupakan antara kegemaran ku. Dalam bidang fotografi ia disebut sebagai masa keemasan atau golden hour.

Boleh dikatakan setiap hari aku akan memerhati langit. Melihat keindahan kejadian yang diciptakan Allah SWT sambil mengucapkan Maha Suci Allah. Setiap hari gambaran terbaharu terpapar di langit melambangkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.



Gambar ini aku rakamkan di Pantai Puteri, Melaka. Rasanya penulisan dalam blog ini banyak juga gambar-gambar dan kisah Pantai Puteri yang aku muat naik kerana ia sangat berhampiran dengan kampung aku iaitu berdekatan rumah bonda ku. 

Lagipun, anak saudara aku berniaga makanan di pantai ini justeru kerap juga aku ke sini melepak di kedainya bersama keluarga. Ada kalanya siap dengan khemah sekali aku dirikan untuk healing tepi pantai

Saturday, September 30, 2023

Gambar Hitam Putih | Black and White Pictures (Monokrom | Monochrome)











Gambar hitam putih juga disebut sebagai gambar monokrom atau gambar dua warna. Ia adalah sejenis gambar atau foto yang hanya menggunakan dua warna iaitu hitam dan putih tanpa terdapat warna-warna lain. 

Gambar ini sering digunakan untuk menciptakan kesan retro atau estetika klasik dan dapat menghasilkan kontras yang kuat antara elemen-elemen dalam gambar. Teknik fotografi hitam putih atau monokrom masih digunakan sebagai bentuk seni yang unik

Saturday, January 7, 2023

Nikmati Keindahan dan Kehijauan Saujana Mata Memandang di Kampung Agong, Pulau Pinang

Masih lagi berkisarkan tentang kunjungan ke Pulau Pinang. Kali ini mengenai lawatan aku ke Kampung Agong buat kali kedua. Ya, kali kedua dan ia tidak menjemukan.

Berkonsepkan pertanian, kehijauan dan suasana kampung merupakan kekuatan utama yang menarik perhatian pengunjung bagi mengunjungi perkampungan yang unik ini. Suasananya tenteram dan damai, angin menghembus syahdu dan alunan muzik era 60-an saling berkumandang di corong radio. 

Deretan pokok-pokok kelapa dan bendang padi saujana mata memandang merupakan tarikan utama di situ. Terdapat juga spot-spot menarik untuk bergambar turut dibina untuk pelancong bergambar. Satu idea yang menarik, seiring dengan peredaran zaman di mana orang suka bergambar dan memuatnaiknya ke media sosial.

Kunjungan kali kedua ini tidak banyak aku mengambil gambar dan kurang juga berjalan menjelajah ke seluruh kawasan kampung tersebut. Cuma aku berbasikal di situ dan ia juga merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan.

Kepada yang masih belum berkunjung ke Kampung Agong, jangan lepaskan peluang apabila berada di Pulau Pinang. 

Jom, layan sahaja, beberapa keping gambar yang sempat aku rakamkan buat kenang-kenangan sebagai tanda aku telah hadir ke sana. 







Friday, September 3, 2021

Oh! Teratai Bunga Indah


Aku bukanlah orang bandar. Orang kampung. Walaupun orang kampung, masa aku kecil-kecil tidak pernah ke sawah padi. Mungkin kerana tiada ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja di sawah. Lantaran itu, aku tidak pernah masuk ke sawah untuk bermain lumpur dan selut.

Walaupun begitu, bukan bererti aku tidak pernah langsung pergi ke bendang di masa kecil. Ya pernah, tapi cuma berlalu saja. Memancing di sawah pun tidak pernah. Dulu lebih suka memancing di pantai, kerana rumah mak pun berhampiran pantai. Cuma sekarang ini sahaja apabila berpindah di kawasan perumahan yang begitu hampir dengan sawah padi, aktiviti memancing di tali air telah menjadi kebiasaan aku.

Baru-baru ini aku berbasikal. Kayuh berseorangan melalui laluan kampung, tali air dan sawah padi yang terbentang luas. Ya Allah! Dalam hati aku kenapa aku tak pernah merasakan perasaan dan pemandangan yang begitu indah sekali sebelum ini. Kawasan ini dekat sahaja di kawasan perumahan aku, namun ia kelihatan asing bagiku kerana memang aku tak pernah melalui kawasan tersebut.

Beberapa kali dalam hati ini terdetik perasaan malang bagiku. Umur sudah melepasi 4 siri tetapi baru tahu ada tempat yang aman damai seperti ini. Kayuh basikal petang-petang walaupun berseorangan tidak merasa penat dan lelah. Ramai orang memancing di situ. Barangkali orang-orang kampung berdekatan. Sesekali berhenti mengayuh menyapa orang-orang yang sedang memancing. Ada yang muda, ada yang berusia.

Mungkin ini saja catatan aku pada kali ini. Benarlah kata orang-orang terdahulu, jauh perjalanan luas pemandangan. Maaf jika ada sedikit perubahan pada kata ganti nama diri. Awalnya dulu, memang menggunakan 'aku', kemudian tukar kepada 'saya'. Kini kembali menggunakan AKU kerana aku rasa ia lebih selesa bagiku menulis demikian. 

Friday, July 30, 2021

GAMBAR-GAMBAR YANG TAK INGIN KITA LIHAT

Saya mempunyai lebih 40 bloglist yang kebiasaannya memang wajib saya lawati setiap kali melakukan aktiviti blogwalking. Setiap kali melawat blog rakan-rakan, sudah pastinya saya akan meninggalkan komen bagi meninggalkan jejak agar diketahui oleh blogger tersebut bahawa kita telah melawat blognya.

Namun satu perkara yang sangat tidak disukai ketika hendak menerbitkan komen ialah terpaksa menekan butang "I am not a robot". Itu mungkin tidak seberapa, lagi menyakitkan hati apabila perlu memilih-milih gambar yang telah ditetapkan. Aduh, rumit sungguh! Apa yang tidak bagusnya apabila kita silap tekan gambar dan perlu memilih sekali lagi. AArrggghhh.. Sakit kepala. Kalau satu dua blog saja kita nak komen tak mengapalah juga, tapi lebih 40 blog masih menanti kunjungan. 

Gambar-gambar ini pula bukanlah mudah untuk dikenalpasti. Andai ada blogger yang sudah berusia, mata pun tak berapa nampak mungkin memberikan kesukaran untuk mengenalpasti gambar. Malah ada gambar yang mengelirukan dan ada juga yang kurang jelas. Apa perlunya ini semua? Mahu menyusahkan pengguna sahaja. Tak tahulah mengapa blog memerlukan ini semua sebagai pengesahan.

Berikut antara gambar-gambar yang pastinya tidak mahu dilihat oleh para bloggers apabila mahu menerbitkan komen :

Bas

Basikal

Bot

Kenderaan

Pokok Palma

Lampu Isyarat

Garisan Lintasan Pejalan Kaki

Meter Parkir Kereta

Tangga

Teksi

Traktor

Apa pandangan rakan-rakan?