Wednesday, December 31, 2025

KESULTANAN MELAYU MELAKA



1400
Seorang putera raja dari Palembang bernama Parameswara menjejakkan kaki di tepi Selat Melaka. Melihat keindahan dan keistimewaan lokasi itu, beliau memutuskan untuk menubuhkan sebuah penempatan baharu yang dinamakan Melaka. Melaka kemudiannya berkembang pesat, menjadi pusat perdagangan yang terkenal, menarik pedagang dari seluruh Nusantara dan jauh ke Timur Tengah.

1403
Dalam usaha memperluaskan pengaruh dan jaringan perdagangan China, Laksamana Ying Ching tiba di Melaka. Semasa singgah di bandar yang sedang berkembang pesat itu, beliau menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan pemerintah tempatan. Pertemuan ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan antara China dan Melaka malah membuka peluang baru bagi pertukaran barangan, budaya dan ilmu pengetahuan antara kedua-dua wilayah.

1405
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, Dinasti Ming menganugerahkan sebuah batu bersurat kepada Melaka. Batu itu memuatkan puisi yang dikarang sendiri oleh Maharaja dengan memuji kebijaksanaan Raja Melaka dan kemakmuran kerajaannya. Batu bersurat bersejarah ini kemudian ditempatkan di ‘Bukit Barat’ sebagai Bukit Pelindung Negara yang menjadi simbol hubungan akrab dan penghormatan antara dua kerajaan.

1411
Parameswara bersama isterinya dan seramai 540 pengikut berangkat ke China untuk menghadap Maharaja Dinasti Ming. Setibanya di sana, mereka disambut dengan penuh kebesaran dan kemuliaan yang menandakan penghormatan tinggi Maharaja terhadap Raja Melaka dan kerajaannya. Lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan antara Melaka dan China sekali gus meletakkan Melaka sebagai kota yang disegani di mata dunia.

1414
Setelah kemangkatan Parameswara, puteranya, Megat Iskandar Syah berangkat ke China untuk memaklumkan berita duka tersebut kepada Maharaja Dinasti Ming. Dengan pengiktirafan dari pihak China, Megat Iskandar Syah kemudian menaiki takhta sebagai Raja Melaka menggantikan ayahandanya dan meneruskan legasi kepimpinan serta hubungan diplomatik yang telah terjalin.

1424
Seri Maharaja menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Semasa zaman pemerintahan baginda, adat istiadat serta tertib Diraja telah disusun dan dilaksanakan dengan teratur. Usaha ini meletakkan asas penting kepada sistem pemerintahan dan kemuliaan institusi Kesultanan Melaka.

1444
Putera kepada Sultan Muhammad Syah, iaitu Parameswara Dewa Syah atau Raja Ibrahim, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abu Syahid. Pada ketika itu, usia baginda masih muda. Namun, pemerintahan baginda amat singkat apabila baginda terkorban dalam satu peristiwa rampasan kuasa yang dipimpin oleh kakanda tirinya, Raja Kassim, sekali gus menamatkan riwayat pemerintahannya.

1446
Raja Kassim kemudiannya menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Pada zaman pemerintahan baginda, empayar Kesultanan Melaka mula berkembang dengan pesat, meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu serta menjangkau ke bahagian utara Sumatera sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai kuasa besar di rantau ini.

1456
Setelah kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakanda baginda, Raja Abdullah, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Baginda meneruskan legasi ayahandanya dengan memperluaskan empayar Melaka, menjadikannya lebih kukuh dan berpengaruh. Dikenali sebagai seorang pemerintah yang bijak dan berwawasan, Sultan Mansur Syah dianggap antara sultan yang paling cemerlang dalam kalangan pemerintah terdahulu.

1477
Setelah kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakanda baginda, Raja Hussain, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda digambarkan sebagai seorang sultan yang mengutamakan keselamatan dalam negeri serta menitikberatkan hubungan diplomatik dengan wilayah-wilayah taklukannya demi memastikan kestabilan dan keharmonian empayar Melaka terus terpelihara.

1488
Setelah kemangkatan ayahandanya, Sultan Alauddin Riayat Syah, anakanda baginda, Raja Mamad, menaiki takhta dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Baginda dikenali sebagai seorang pemerintah tegas dan berwawasan, berperanan mengekalkan kestabilan kerajaan, menguruskan hubungan dengan para pembesar, serta meneruskan legasi Melaka sebagai pusat perdagangan dan kuasa politik utama di rantau ini.

1509
Dalam usaha menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka, Diogo Lopes de Sequeira tiba di Melaka untuk mendapatkan tapak bagi aktiviti perdagangan Portugis. Perbincangan antara kedua-dua pihak diadakan, namun rundingan itu berakhir dengan kekecohan dan Rui de Araujo bersama 19 orang Portugis lain ditangkap oleh pihak Melaka.

1511
Sultan Mahmud Syah mengundurkan diri dari takhta dan melantik puteranya, Ahmad sebagai Sultan Melaka dengan gelaran Sultan Ahmad Syah. Pada 25 Julai, Afonso de Albuquerque melancarkan serangan ke atas Melaka. Sultan Ahmad Syah mengetuai bala tentera bersama ayahandanya dalam mempertahankan kota, namun akhirnya Melaka kalah, memaksa Sultan Ahmad Syah dan ayahandanya berundur ke wilayah-wilayah takluk Melaka.

1516
Sultan Ahmad Syah dibunuh atas perintah ayahandanya, Sultan Mahmud Syah akibat konflik yang timbul antara baginda dengan para pembesar. Dengan kemangkatan puteranya itu, Sultan Mahmud Syah kembali menaiki takhta bagi meneruskan pemerintahan dan menstabilkan keadaan kerajaan.

1528
Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar, menandakan berakhirnya era Kesultanan Melayu Melaka. Kematian baginda menutup satu babak penting dalam sejarah Melayu, selepas berabad-abad Melaka menjadi pusat perdagangan dan kuasa politik yang disegani di rantau ini.

Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator

Rujukan:

Mons. Manuel Teixera. 1986. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511 – 1958) Volume I. Macau: Instituto Cultural de Macau

1995. Albuquerque Caesar Timur (Teks-Teks Pilihan Daripada Afonso De Albuquerque dan Anaknya). Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya

A. Samad Ahmad. 1997. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Armando Cortesao. 2005. The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East, From the Red Sea to China, Written in Malacca and India in 1512 – 1515. New Delhi: Asian Educational Services

Liang Liji. 2009. Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Muhammad Yusoff Hashim. 2015. Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Chong Kok Hoong. 2019. Laksamana Zheng He: Teladan Merentasi Zaman. Kuala Lumpur: Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia

Friday, December 19, 2025

SULTAN AHMAD SYAH: SULTAN MELAKA YANG DILUPAKAN

Kesultanan Melaka merupakan sebuah kerajaan Melayu yang terkenal dengan kekuatan politik dan perdagangan. Dalam sejarahnya, beberapa sultan telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman luar. Salah seorang daripada tokoh penting ini ialah Sultan Ahmad Syah, yang menaiki takhta pada tahun 1511 yang dilantik oleh ayahandanya, Sultan Mahmud Syah. Kepimpinan Sultan Ahmad Syah bukan sahaja diuji dengan cabaran dalaman seperti hubungan dengan para pembesar dan urusan pentadbiran tetapi ancaman luaran yang besar terutamanya serangan Portugis ke atas Kota Melaka. Perjuangan dan ketokohan baginda mencerminkan keberanian dan ketabahan seorang sultan muda yang berusaha menegakkan keadilan, mempertahankan tanah air serta meneruskan kesinambungan pemerintahan dinasti Melaka.

Raja Ahmad lahir daripada perkahwinan antara Sultan Mahmud Syah dan seorang permaisuri yang juga puteri Sultan Muhammad Syah dari Pahang yang menunjukkan hubungan kerabat diraja yang erat antara negeri-negeri Melayu. Sebagai anak sulung, Raja Ahmad memegang kedudukan penting dalam garis pewarisan manakala dua orang adik perempuannya melengkapkan keluarga diraja. Perkahwinan ini bukan sahaja menyatukan dua keluarga diraja tetapi memberi kestabilan politik dan sosial melalui pengukuhan hubungan antara Melaka dan Pahang.

Sultan Mahmud Syah terkenal dengan minat yang mendalam terhadap ilmu agama khususnya melalui bimbingan guru yang berilmu seperti Maulana Yusuf. Minat dan keazaman baginda dalam mempelajari agama bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi diterapkan kepada puteranya, Raja Ahmad. Ini menunjukkan bahawa pendidikan agama dianggap sangat penting dalam keluarga diraja, bukan sekadar untuk pembentukan peribadi tetapi sebagai persiapan bagi Raja Ahmad untuk memimpin dengan ilmu dan kebijaksanaan agama. Dengan mengaji tasauf di bawah bimbingan Makhdum Sadar Jahan, Raja Ahmad bukan sahaja mempelajari ilmu zahir, tetapi mendalami aspek rohani dan akhlak yang tinggi yang merupakan asas kepimpinan seorang putera raja.

Pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah berundur dari takhta Kesultanan Melaka dan melantik puteranya, Raja Ahmad yang kemudiannya bergelar Sultan Ahmad Syah. Baginda turun takhta kerana kecewa terhadap dirinya sendiri selepas menghukum mati Bendahara tanpa usul periksa sepertimana tercatat dalam Sejarah Melayu, "Maka Sultan Mahmud terlalu sangat menyesal diri baginda, oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Hatta Sultan Mahmud pun membuangkan kerajaan baginda, Raja Ahmadlah dirajakan baginda, bergelar Sultan Ahmad Syah." Peristiwa ini menggambarkan kesedaran Sultan Mahmud Syah terhadap kesilapannya serta menekankan kepentingan keadilan dan tanggungjawab dalam pemerintahan sambil memastikan kesinambungan kuasa dan kestabilan kerajaan melalui pelantikan Raja Ahmad.

Walaupun telah dimasyhurkan sebagai Sultan Melaka, Sultan Ahmad Syah tetap menunjukkan kasih sayang dan penghormatan yang tinggi terhadap ayahandanya, Sultan Mahmud Syah. Setiap kali ayahandanya berangkat ke mana-mana, Sultan Ahmad Syah menitahkan agar orang-orang besar dan pembesar negeri turut mengiringi baginda sebagai tanda kemuliaan dan keselamatan. Namun demikian, Sultan Mahmud Syah menolak untuk diiringi oleh para pembesar tersebut kerana baginda tidak lagi berhasrat menerima layanan sebagai seorang Sultan.

Pentadbiran Sultan Ahmad Syah dalam memerintah Melaka tidak semudah pemerintahan pemerintah terdahulu. Pada tahun pertama baginda menaiki takhta, Sultan Ahmad Syah diuji dengan kedatangan Portugis ke Melaka. Afonso de Albuquerque melancarkan serangan terhadap Melaka pada 25 Julai 1511. Ketokohan dan keberanian Sultan Ahmad Syah terserlah apabila baginda sendiri mengetuai angkatan tentera Melaka dengan menaiki gajah baginda yang bernama Jinak Ci bagi mempertahankan kota. Dengan tentangan yang hebat daripada Sultan Ahmad Syah dan bala tenteranya, serangan Portugis akhirnya gagal dan mereka terpaksa berundur ke kapal-kapal mereka.

Pada 10 Ogos 1511, Portugis sekali lagi melancarkan serangan terhadap Kota Melaka. Seperti serangan pertama, Sultan Ahmad Syah sendiri mengetuai pertahanan, menaiki gajahnya yang bernama Juru Demang. Serangan kali ini berskala besar dan terlalu hebat sehingga tentera Melaka terpaksa berundur meninggalkan Sultan Ahmad Syah dan gajahnya bertahan sendirian. Baginda dikepung dan cedera dalam pertempuran, akhirnya terpaksa berundur dan akhirnya pada 24 Ogos 1511 Kota Melaka jatuh sepenuhnya ke tangan Portugis. Sultan Ahmad Syah berundur ke Muar, kemudian Pahang dan seterusnya ke Bentan.

Walaupun Sultan Ahmad Syah dikatakan sebagai seorang pemuda yang baik budi pekerti dan pemurah tetapi turut mengamalkan diskriminasi terhadap para pembesar yang telah berusia dan lebih mengasihi para pembesar yang berusia muda. Dalam Sejarah Melayu mencatatkan, “Adapun Sultan Ahmad Syah, tiada kasih akan Orang Besar-besar; yang dikasihi baginda, pertama Tun Ali Hati seorang namanya,… dan segala orang-orang muda dua tiga belas orang…”. Ini menyebabkan para pembesar yang tua tidak menyukai Sultan Ahmad Syah.

Tindakan Sultan Ahmad Syah yang dikatakan tidak menghormati pembesar-pembesar yang lebih tua diketahui oleh ayahandanya, Sultan Mahmud Syah, lalu baginda amat murka. Baginda telah mengarahkan pengikutnya untuk membunuh anakandanya dan Sultan Ahmad Syah mangkat kira-kira pada tahun 1516. Dengan kemangkatan baginda, berakhirlah hayat seorang sultan yang namanya tercatat dalam sejarah sebagai tokoh yang berani memerangi Portugis.

Matawang syiling timah Sultan Ahmad Syah

Walaupun pemerintahan Sultan Ahmad Syah hanya berlangsung kira-kira lima tahun (1511–1516), namanya tercatat dalam sistem matawang zaman Kesultanan Melayu Melaka. Seperti Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah yang mempunyai nama tertera pada matawang timah, Sultan Ahmad Syah juga mempunyai matawang timah sendiri. Pada permukaan hadapan matawang tersebut tertulis “Ahmad ibni Mahmud” (Ahmad bin Mahmud) yang jelas menunjukkan identiti sultan, manakala di permukaan belakang tertera “Al-Sultan Al-Adil”, menandakan baginda seorang sultan yang adil. Kewujudan matawang ini membuktikan bahawa Sultan Ahmad Syah merupakan salah seorang sultan Melaka yang memiliki keistimewaan dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Kehidupan dan pemerintahan Sultan Ahmad Syah mencerminkan kepimpinan seorang sultan muda yang berani, berilmu dan berpegang kepada prinsip keadilan walaupun menghadapi cabaran besar daripada Portugis dan konflik dalaman dengan para pembesar. Walaupun pemerintahannya singkat dan berakhir dengan kemangkatan baginda pada tahun 1516, jasa serta ketokohannya tercatat dalam sejarah sebagai seorang pemimpin yang berani mempertahankan kedaulatan Melaka. Namanya perlu diangkat sebagai tokoh yang patut dikenang kerana warisannya bukan sahaja menonjolkan keberanian dalam peperangan tetapi menekankan kepentingan ilmu, akhlak dan tanggungjawab dalam memimpin sebuah kerajaan yang menjadikannya tokoh yang dihormati dalam sejarah Kesultanan Melaka.

Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator

Rujukan:

William Shaw & Mohd Kassim Ali. 1970. Malacca Coins. Jabatan Muzium Malaysia: Kuala Lumpur

Mons. Manuel Teixera. 1986. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511 – 1958) Volume I. Instituto Cultural de Macau: Macau

A. Samad Ahmad. 1997. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Armando Cortesao. 2005. The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East, From the Red Sea to China, Written in Malacca and India in 1512 – 1515. Asian Educational Services: New Delhi

Muhammad Yusoff Hashim. 2015. Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Tun Suhana Tun Othman. 2020. Rahsia Penaklukan Melaka 1511. Penerbit Alami Sdn. Bhd.: Seremban

Friday, December 12, 2025

Asal Usul Nama Negeri Melaka

SEBELUM KEWUJUDAN MELAKA

Sebelum muara Sungai Melaka berkembang sebagai pusat Kesultanan Melayu Melaka terdapat hanya sekitar 20 hingga 30 Orang Selat mendiami kawasan antara bukit dan sungai dengan bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut. Tiada perkampungan di seberang sungai kerana kawasan itu dipenuhi pokok gelam manakala bukitnya dilitupi hutan pokok Melaka.



ASAL USUL NAMA NEGERI MELAKA

POKOK MELAKA
Menurut Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), nama Melaka dikatakan berasal daripada nama sebatang pokok. Kisah penamaan ini berlaku ketika Parameswara dan para pengikutnya pergi berburu setelah berundur dari Temasik (Singapura). Dalam peristiwa tersebut, seekor pelanduk yang diburu dikatakan telah menendang anjing-anjing perburuan sehingga jatuh ke dalam sungai. Kejadian luar biasa ini dianggap oleh Parameswara sebagai suatu petanda yang aneh, ganjil serta melambangkan kekuatan dan kebesaran. Tersentuh dengan peristiwa itu, Parameswara berhasrat membuka sebuah negeri di lokasi berkenaan. Beliau kemudian menamakan kawasan tersebut sebagai Melaka bersempena dengan nama pokok Melaka (Emblica Pectinata atau Phyllanthus Pectinatus) yang menjadi tempat baginda bersandar ketika menyaksikan kejadian itu. Walaubagaimanapun, pembukaan negeri-negeri lain melalui kisah anjing berburuan dan pelanduk yang gagah turut terdapat di dalam Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Patani.

NAMA DAN TEORI LAIN

MALAKAT
Terdapat teori yang menyatakan bahawa nama Melaka berasal daripada istilah Arab iaitu Malakat yang bermaksud “perhimpunan segala dagang”. Pengertian ini dikatakan lebih hampir dengan perkataan Mulaqah, iaitu “pertemuan”. Penggunaan istilah tersebut dianggap sesuai dengan konteks Melaka pada waktu itu, memandangkan negeri ini berperanan sebagai pusat pertemuan serta tumpuan para pedagang dari Timur dan Barat.

AMALAKA
Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa nama Melaka berasal daripada nama buah dan pokok Amalaka (Emblic Myrobalan) yang dikaitkan dengan mitos Hindu. Pokok tersebut dipercayai sebagai antara tumbuhan terawal yang muncul di dunia dan dianggap memiliki kuasa ghaib yang berkaitan dengan kekayaan, kesihatan serta kekuatan fizikal dan spiritual manusia.

MALAQA
Menurut Suma Oriental karya Tome Pires, Melaka turut dikenali sebagai Malaqa yang membawa maksud “buruan tersembunyi”. Nama ini dikaitkan dengan peranan kawasan tersebut sebagai lokasi perlindungan bagi Parameswara selepas baginda berundur dari Palembang kemudian ke Temasik. Masyarakat Orang Selat menerima kehadiran Parameswara dan menyediakan kawasan itu sebagai tempat berlindung serta sebagai tapak awal pembentukan pusat pemerintahan baharunya.

Sumber : 

1. Muhammad Yusoff Hashim : Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua
2. Tome Pires : Suma Oriental
3. Syed Zulfida S.M. Noor : Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka : Kemunculan dan Kegemilangan